Saturday, November 16, 2013

Antara deretan 'A' dan keikhlasan cuci tandas...

****************** DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. ************************ Renungan ******************** "Dan Dia yang menjadikan malam dan siang silih berganti bagi orang yang ingin mengambil pelajaran atau orang yang bersyukur." (Surah Al-Furqan; ayat 62) ************************ KETIKA pelajar sekolah menengah sibuk menduduki peperiksaan awam sekarang ini - SPM dan STPM - seorang pembaca meminta saya 'mencelotehkan' perihal sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang dakwanya telah memeningkan sejumlah guru sehingga ada yang termuntah-muntah dan mencetuskan pergaduhan 'laki-bini'. *************************** Pelaksanaan PBS yang dimulaikan dengan murid tingkatan satu pada 2011 adalah bermatlamat melahirkan modal insan holistik serta seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek seperti yang dihasratkan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan bagi menggantikan sistem pendidikan yang terlalu berorientaskan peperiksaan. ****************************** Menurut sesetengah guru terbabit, PBS membabitkan kerja-kerja pengkeranian yang terlalu banyak dan yang paling 'tension' sekali adalah untuk menghantar laporan pengredan dan penilaian melalui sistem komputer Kementerian Pendidikan. Kerap benar, dakwa sesetengah guru, sistemnya 'hang'; sehingga ramai guru yang bangun jam tiga pagi untuk memasukkan data dengan harapan 'line clear' pada masa kebanyakan orang sedang berdengkur! ************************ Penulis bukan arif untuk membincangkan mengenai PBS (malahan hal ehwal sekolah sekalipun), namun berharap masalah ini dapat diselesaikan segera agar tidak menjejaskan dengan teruk pembelajaran anak-anak kita yang banyak pihak mendakwa menjadi semakin buruk dari semasa ke semasa. ************************* Apa yang ingin penulis celotehkan kali ini adalah berdasarkan perkara yang ditazkirahkan oleh seorang tuan guru yang penulis ikuti baru-baru ini. Kata Tuan guru keberkatan ilmu adalah tersangat penting; untuk mendapatkannya perlulah menjaga adab-adab menuntut ilmu iaitu niat yang baik (betul) di samping mengikuti Sunah Rasul, 'menghinakan' diri (jangan sombong) pada guru dan yang akhirnya mengamalkan ilmu tersebut. ************************* Hal 'menghinakan diri' pada guru menarik perhatian penulis yang berpendapat kini ia hampir tidak wujud dalam sistem pendidikan kita hari ini. Kejayaan pendidikan (tepatnya persekolahan) kita hari ini diukur berdasarkan prestasi akademik, selalunya berkisar pada peratusan kelulusan dan gred dalam pepeperiksaan awam seperti SPM dan STPM dan jumlah pelajar yang mendapat semua 'A' (atau A+). ***************************** Malah seorang pelajar yang mendapat keputusan peperiksaan kerap ditanya: "Berapa 'A' kamu dapat?" Dengan memperolehi deretan 'A', dia menjadi kebanggaan sekolah, guru, ibu bapa dan masyarakat. Lagi banyak 'A' lagi bagus, seolah-olah inilah ukuran kejayaan mutlak seorang murid. **************************** 'Kegilaan' melahirkan pelajar dengan deretan 'A' ini telah menyebabkan 'berlaku jurang perbezaan besar' antara penuntut ilmu dulu dan sekarang. Dulu, kata tuan guru, anak-anak murid bersedia dengan ikhlas 'menghinakan diri' pada guru seperti melakukan khidmat kepada mereka seperti mengangkat air, membelah kayu api, membersihkan kawasan persekitaran tempat belajar dan mencuci tandas dan longkang. ****************************** Namun sekarang, apakah ada anak-anak murid bersifat seperti itu? Ya, kita boleh berdoa mereka berkelakuan begitu tetapi apa yang kita saksikan menyebabkan kita mengurut dada dan beristifar panjang. Apa, adakah pelajar sekarang (hatta anak-anak kita sendiri pun) ikhlas mencuci tandas dan longkang tanpa disuruh atau paksa? ****************************** Bagaimana mahu melahirkan penuntut yang menghinakan diri pada guru, hakikatnya sekarang ini murid-murid semakin kurang ajar pada guru; hendak meminta mereka menolong mengangkat buku latihan ke kereta cikgu pun banyak disoal mereka; malah kereta cikgu pun ada yang mencari peluang untuk dipancitkan tayar atau dicakar mereka. ***************************** Jika 'kebaikan' ringan pun enggan dibuat mereka, bagaimana hendak menyuruh mereka mencuci tandas atau longkang? Seorang guru pernah memberitahu penulis ketika disuruh seorang murid mengutip sampah, dia menjawab balik; "bukan saya yang dibuang cikgu" dan ketika diminta seorang lagi murid menyapu kelas, dia menjawab; "di rumah pun saya tak pernah menyapu." Seorang lagi murid ketika disuruh mengemas kelas menjawab: "Di rumah saya 'maid' (pembantu rumah) yang buat cikgu!" **************************** Sesuatu mesti dilakukan bagi 'menolong' anak-anak kita yang semakin tersasar ini dan tentunya kita tidak ingin keadaan menjadi terlalu buruk sehingga jika seseorang anak murid diminta untuk membersihkan bilik darjah akan menjadi terlalu kurang ajar sehingga memberitahu gurunya; "Lu (cikgu) bikinlah sendiri!"

1 comment:

Abd Hamid said...

Alhamdulillah asalamualaikum...

mind set semua pihak hari ini termasuk kaum guru adalah anak-anak mendapat kecemerlangan dalam pendidikan. Memang tidak dapat dinafikan semua pihak mahukan anak-anaknya cemerlang namun dalam masa yang sama aspek yang paling penting sekali dalam kehidupan ini telah di abaikan iaitu pembentukan sahsiah/keperibadian. Dalam zaman yang serba maju. dunia tanpa sempadan dan maklumat di hujung jari kini telah melahirkan kebejatan sosial yang sangat meruncing dan membimbangkan semua pihak yang inginkan pembangunan sahsiah dan akademik yang seimbang.

Nilai-nilai murni yang selama kini diamalkan oleh masyarakat melayu khasnya kian luntur dan seolah-olah ditelan zaman...semuanya ini berkaitan dengan perangai/akhlak.

persekitaran, kawan-kawan dan suasana di rumah adalah diantara penyumbang kepada masalah keruntuhan fitrah manusia itu sendiri. Semua pihak seolah2 sudah kehilangan idea dan kaedah untuk menangani masalah tersebut.

Alhamdulillah kini sebuah syarikat milik penuh bumiputera 3 G DIMENSI 108 mahu berganding bahu bersama semua pihak dalam menangani permasalah di atas.

pautan http://dimensi108.blogspot.com/