Saturday, November 2, 2013

Antara 'barang naik dan tak naik'...

****************** Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. ******************* Renungan ****************** “Dan keluarkanlah hartamu di jalan Allah serta janganlah kamu campakkan diri kamu sendiri ke dalam kebinasaan.” (Al-Baqarah: 195) *********************** KADANG-KADANG terlalu 'tension' (penuh tekanan) kita rasakan hidup ini. Sukar mendapatkan ketenangan. Sekarang ini dengan harga sejumlah barangan keperluan harian sudah naik berikutan pembentangan belanjawan oleh Perdana Menteri Najib Razak yang menyaksikan harga gula naik mencanak keesokan harinya, kita menjadi semakin 'tension'. ************************ Harga gula naik kepada RM2.84 sekilogram selepas subsidinya dihapuskan. Tetapi mana ada pekedai jual dengan harga itu kerana duit 1 sen sudah lama tak dipakai, jadi terpaksalah pengguna bayar RM2.85. Hairan juga, kalau belanjawan berwawasan takkan hari ini bentang, keesokan harinya harga barangan sudah naik. Ini bukan merancang belanjawan namanya, ini nak 'perkena' rakyat. ************************** Itulah hidup penuh 'tension'. Dalam menjalani hidup penuh 'tension' ini, pegangan agama banyak membantu kita. Kalau tak, dah lama kita mengamuk, kita jadi 'Hang Jebat'...kita hilang pertimbangan dan bertindak di luar kewarasan fikiran. ************************** Namun, apabila kita amat-amati, kehidupan penuh 'tension' sekarang ini menyebabkan masyarakat kita semakin huru-hara. Semakin ramai orang mengamuk (beberapa hari lalu seorang pemandu van rokok hilang pertimbangan dan menikam sejumlah orang awam menyebabkan dua orang terbunuh), seorang pengawal keselamatan menembak mati seorang pegawai bank wanita, sejumlah ibu bapa mendera anak dan kita percaya ada orang terbabit dalam 'eksiden' sengaja 'tempah bala' sebab mereka 'nak lepas geram'. ***************************** Geram, geram; mana tak geramnya hidup makin 'tension' apabila banyak masalah termasuklah harga barangan keperluan naik sedangkan gaji tak naik-naik. Namun syukur, kehidupan beragama menyelamatkan kita. Ya, apa yang Nabi s.a.w. ajar kita? Orang mukmin itu luar biasa kehidupannya - jika dia ditimpa kesusahan dan ujian dia bersabar dan apabila dia diberi kurnia walaupun sedikit dia bersyukur. ************************ Bersabar dan bersyukur itu nikmat kurniaan Allah kepada orang beriman. Sifat ini didatangkan oleh Allah SWT dan bukan dibuat-buat. Orang beriman selalu berdoa; yang antara lain bermaksud: "Ya Tuhanku, tolong jangan lepaskan diriku pada diriku sendiri." *********************** Sebenarnya Allah SWT-lah yang menghias diri kita dengan sifat sabar dan bersyukur itu. Jika Allah Taala tarik sifat sabar itu, kita yang perasaan kita orang sabar boleh naik angin dengan serta-merta. Selama ini kita sopan santun, tetapi disebabkan 'satu hal' kita tiba-tiba boleh meletup; demikian juga sifat bersyukur, ada kalanya kita menjadi takabur pula dengan kelebihan diri. ************************ Kalau Allah Taala tarik sifat-sifat baik yang ada pada diri kita, maka jadilah kita jahat. Jadi janganlah perasaan kita ini orang baik. Yang membuat kita baik atau suka beribadat kepada-Nya seperti solat adalah Allah. Jika Allah Taala 'lepaskan diri kita pada diri kita sendiri' dikhuatiri kita akan cenderung kepada yang jahat-jahat. ************************** Ulama menafsirkan bahawa Nabi Yusuf a.s. yang dapat menyelamatkan dirinya daripada godaan Zulaikha pun bersyukur kepada Allah SWT kerana Allah 'tidak melepaskan dirinya pada dirinya sendiri'. Kalau dilepaskan pada diri sendiri, Nabi Yusuf pun khuatir baginda tidak mampu menyelamatkan dirinya daripada godaan itu. Jadi Allah SWT-lah yang menolong kita dalam segala serbi. ***************************** Memang kita 'tension' dengan harga barangan yang naik termasuklah gula. Namun 'tension' kita bertambah lagi apabila pemimpin dengan gaya 'tersenyum mengejek' menyatakan itu adalah langkah untuk menjaga kesihatan rakyat. Kata mereka, selama ini rakyat sudah terlalu banyak makan gula, maka ramai yang 'kena' kencing manis, jadi penghapusan subsidi gula (menaikkan harga gulalah tu) adalah untuk mengurangkan pengambilan gula mereka. ************************* Malah PM Najib menambah 'tension' kita apabila pada konvensyen tahunan Parti Gerakan, 'memperli' rakyat kononnya pengambilan gula berlebihan akan mengurangkan tenaga batin kita. *********************** Nampaknya, 'lawak' ini sudah 'over'! Yang sebenarnya, wahai pemimpin yang bijak 'menggula-gulakan' rakyat, 'barang' rakyat tak naik (para suami tahulah ni) kerana terlalu 'tension' memikirkan masalah yang kamu bebankan ke bahu mereka! ********************************** Kalau dah terlalu 'tension' mana boleh naik!

No comments: