Monday, September 23, 2013

Seronoknya menjadi penghantar tetamu Allah...

*************************** DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. **************************** Renungan *************************** "Sesungguhnya kami memberi makanan kepadamu hanyalah untuk mengharapkan keredaan Allah, kami tidak menghendaki balasan daripada kamu dan tidak pula (ucapan) terima kasih." (Surah Al-Insaan, ayat 9) ************************* SEJAK menghantar ibu bapa saya ke Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya dalam perjalanan mereka menunaikan haji buat pertama kali pada tahun 1991, mungkin sudah belasan kali saya ke pusat pengumpulan jemaah haji bagi kawasan tengah Semenanjung itu. *************************** Namun sehingga kini setiap kali memandu kenderaan ke kompleks itu dari Melaka saya masih tidak yakin dapat menuju ke sana dengan tepat tanpa bertanya arah jalan kepada orang ramai termasuklah jurutol. Keadaan semakin tertekan jika kita terperangkap dalam kesesakan kenderaan ketika waktu kemuncak seperti sebelum dan selepas waktu pejabat. *************************** Pengalaman mutakhir ketika menghantar seorang adik perempuan dan suaminya yang akan ke Tanah Suci baru-baru ini juga menyaksikan saya terpaksa 'berpusing dan berpatah balik ke sana sini' sebelum akhirnya menghampiri kompleks yang terletak di kawasan perumahan itu. ***************************** Adalah biasa untuk orang luar kehilangan masa sejam dua terkial-kial mencari arah ke kompleks berkenaan. Sebaik sampai dan menurunkan jemaah haji dan bagasi mereka, cabaran seterusnya adalah untuk mempakir kenderaan. Jalan sepanjang kompleks itu dipenuhi kenderaan, maka terpaksalah mencari ruang kosong termasuk di hadapan rumah orang dan di padang. **************************** Diharapkan kepayahan orang luar mencari jalan ke Kompleks Tabung Haji di Kelana Jaya dapat diselesaikan dalam waktu terdekat. Mengikut laporan beberapa tahun lalu, Tabung Haji sudah membina sebuah kompleks haji bernilai RM150 juta berdekatan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Namun apa sudah jadi; apa perkembangan terbaru mengenai kompleks ini? **************************** Dalam masa menunggu ini, jemaah haji dan orang ramai terpaksa berpuas hati dengan kompleks lama di Kelana Jaya. Pada setiap musim haji, kompleks ini dibanjiri terlalu ramai orang. Bagi setiap kumpulan (KT) penerbangan mungkin ada 400 jemaah; jika satu pasangan jemaah haji (biasanya suami isteri) ada 20 penghantar (termasuk kanak-kanak), jumlah mereka yang berhimpun mungkin melebih 4,000 orang pada satu-satu masa. Itulah sebabnya untuk 'menenggekkan punggung' di penjuru platform dalam khemah pun payah; jadi ramailah yang terpaksa berdiri. ****************************** Kehadiran saudara-mara dan sahabat handai penghantar jemaah itulah yang menceriakan suasana. Keadaan hiruk pikuk dengan anak-anak berlari ke sana sini manakala penjual barangan permainan seperti belon dan watak kartun termasuk Spongebob Squarepants menambah gamat suasana. ***************************** Suasana meriah di Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya menunjukkan betapa seronoknya saudara-mara dan sahabat-handai menghantar orang kesayangan ke Tanah Suci. Insya-Allah dengan semangat itu, suatu hari mereka juga akan ke Tanah Suci, menunaikan haji. ****************************** Namun dalam kemeriahan orang ramai di Kompleks Haji, ada pengunjung 'terlepas pandang', mungkin mereka terlupa bahawa usaha mereka menghantar jemaah itu sebenarnya adalah 'suatu ibadat' - mereka membantu dan meraikan ibu bapa, saudara-mara atau sahabat-handai melengkapkan Rukun Islam masing-masing. ************************** Ada wanita penghantar jemaah tidak bertudung, ada yang berpakaian sendat dan ketat; jadi amat janggal kelihatan ketika mereka bersalam-salaman dan berpeluk-pelukan dengan jemaah yang akan berlepas. Jika begini keadaannya masakan kunjungan mereka ini dikira ibadat; sebenarnya bukan hanya orang yang pergi menunaikan haji saja perlu mempertingkatkan ibadat mereka tetapi juga orang yang ditinggalkan di tanah air. ************************* Jemaah haji Malaysia mungkin 22,000 orang saja; tetapi yang tinggal di sini jutaan orang; jadi apa amalan yang boleh dilakukan mereka pada musim haji ini? Banyak perkara boleh dilaksanakan seperti mengambil peranan ibu bapa kepada anak-anak yang ditinggalkan jemaah dan ada amalan khusus yang amat digalakkan kepada kita di tanah air seperti berpuasa pada 1-9 Zulhijah (terutamanya pada 9 Zulhijah iaitu Hari Wukuf), memperbanyakkan doa, berzikir dan bersedekah. ********************* Kemudian pada 10 Zulhijah (Hari Raya Haji) ada amalannya; demikian juga pada Hari Tasyrik (11,12 dan 13 Zulhijjah). Antara amalan yang sangat digalakkan adalah melakukan korban binatang. Demikian betapa banyak amalan yang boleh dilakukan oleh orang yang tidak mengerjakan haji; jadi Hari Raya Haji bukanlah khusus untuk orang menunaikan haji semata-mata!

No comments: