Wednesday, September 11, 2013

Bertindak proaktif hadapi kenaikan harga minyak

******************** Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. ********************** Renungan ********************** "Dan mereka sekalian tetap akan berhimpun menghadap Allah (untuk dihisab pada hari kiamat); kemudian orang-orang yang lemah (yang menjadi pengikut) kepada orang-orang yang sombong takbur itu akan berkata kepada mereka (yang menjadi pemimpinnya): "Sesungguhnya kami telah menjadi pengikut kamu; maka adakah kamu dapat menolak daripada kami sedikit dari azab Allah?" Mereka menjawab: "Kalaulah Allah menunjukkan jalan selamat kepada kami, tentulah kami tunjukkan jalan itu kepada kamu. (Sekarang) sama sahaja kepada kita, sama ada kita menggelisah dan mengeluh atau kita bersabar, tiadalah sebarang jalan bagi kita untuk melepaskan diri (daripada azab itu)". (Ibrahim:21) ************************** KENAIKAN harga petrol RON95 dan diesel (yang terbaru 20 sen seliter) memberi kesan terhadap pelbagai perspektif kehidupan rakyat terutama kepada golongan kelas pertengahan dan bawahan. Hanya orang 'tidak waras' menyatakan kenaikan itu 'tidak mendatangkan apa-apa' kepada kehidupan mereka. ********************************** Kenaikan 20 sen jika dilihat sepintas lalu tanpa 'menggunakan otak' memanglah kecil. Allah, 20 sen saja, kata sesetengah orang dan pihak. Tetapi 20 sen daripada apa? Pertambahan 20 sen adalah bagi setiap liter minyak - sebelum kenaikan RM1.90 kini menjadi RM2.10. Mana ada pemilik kenderaan; hatta 'kapcai' sekalipun mengisi minyak seliter setiap kali ke stesen minyak? ************************************ Kenaikan itu adalah lebih 10 peratus; setiap kali mengisi minyak kereta sebanyak RM10 kita perlu tambah RM1 manakala RM30 lebih kurang RM3. Kalau dalam sebulan keperluan minyak kita adalah RM200; dengan kenaikan itu perlu menyediakan tambahan RM20. Itu baru kenaikan harga minyak, bagaimana kenaikan harga barangan dan perkhidmatan? *************************************** Kebanyakan 'orang biasa' merungut-rungut dengan kenaikan itu. Namun tindakan itu tidak membantu 'orang biasa seperti kita' ke mana-mana pun. Bijak pandai mencadangkan kepada kita dua pilihan bagi menghadapinya; pertama bertindak segera bagi menambahkan pendapatan bagi menampung kos kenaikan itu manakala satu lagi jalan mengurangkan kos kehidupan. ************************************ Bagi menambahkan pendapatan, mereka mencadangkan kita meningkatkan prestasi kerja dan pengeluaran. Misalnya jika kita seorang peniaga kecil, jika dulu kita menjual 50 roti canai, apa kata kita tingkatkan kepada 70 butir. Atau kita kekalkan 50 butir dengan harga sama tetapi kita kecil atau nipiskan sikit roti canai kita seperti dibuat sesetengah peniaga (ini berdosa; harap anda tidak lakukannya). Jika kita seorang buruh kasar pada siang hari, apa kata pada malam hari kita menjadi atenden di pam minyak. *************************************** Kaedah mengurangkan kos pula; berjimat cermatlah. Misalnya, jika dulu kita memandu 'berseorangan' ke tempat kerja, apa kata kita kongsi kereta atau tinggalkan kereta di rumah dan kita menggunakan pengangkutan awam. Kalau ke masjid yang berdekatan rumah, tungganglah basikal atau berjalan. Ini baik untuk kesihatan anda! Kalau dulu anda melanggan akhbar harian, tak payah beli langsung terutama 'yang meloya tu' sebaliknya berkunjunglah ke perpustakaan atau baca di pejabat saja! *************************** Ya, demikianlah dua pendekatan proaktif utama untuk menghadapi peningkatan kos sara hidup - meningkatkan pendapatan dan mengurangkan kos hidup. Persoalannya, bagaimana kita mahu melakukan pendekatan ini? Ketika kenaikan harga minyak 2006, Timbalan Perdana Menteri ketika itu (kini sudah jadi PM) Najib Razak memberikan penyelesaian 'terbaik' - UBAH GAYA HIDUP. ****************************** Betul, kita perlu ubah gaya hidup untuk 'survival' di dunia penuh cabaran. Tetapi kita perlukan contoh, 'kepimpinan melalui teladan'. Bagi orang Islam, idola kita adalah junjungan Rasul s.a.w. Dalam menghadapi ujian, Nabi Muhammad s.a.w. adalah pendahulu apa diajarkan. Rumah baginda pernah 'tidak berasap' (tiada makanan) selama berbulan-bulan. Baginda tidur di atas tikar kasar sedangkan harta benda melimpah ruah memasuki 'empayar Islam'. ******************************* Sehubungan itu, wahai pemimpin tanah air; UBAH GAYA HIDUP anda. Bikinlah seperti apa yang anda cakap. Apa kata selepas ini anda tinggalkan 'istana' yang hebat dengan bil utiliti mencapai jutaan ringgit; kenderaan mewah dan pelbagai elaun untuk belajar sedikit sebanyak derita rakyat. Didiklah isteri dan anak supaya tidak bermewah dan boros atau menghabiskan harta negara, ajar mereka mencontohi Sayidatina Khadijah dan Fatimah yang tetap bersyukur sekalipun tiada apa untuk dimakan di rumah. UBAHLAH GAYA HIDUP ANDA wahai semua termasuk diri ini dan pemimpin!

No comments: