Tuesday, June 11, 2013

Beri hak pembangkang kendali akhbar, TV sendiri

******************* DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. ***************** Renungan "Wafatkanlah aku dan keadaan Islam dan gabungkanlah aku dengan orang-orang saleh." (Maksud Ayat 101 Surah Yusuf) ******************* Bersyukur ke hadrat Illahi kerana dipanjangkan usia kita dan dilimpahi rahmat yang tidak terhitung banyaknya yang antaranya membolehkan kita memuzakarahkan isu semasa. Kali ini kita ingin menyentuh hal media massa terutama selepas pihak berkuasa bertindak merampas dan menyekat pengedaran akhbar alternatif seperti Harakah dan Suara Keadilan. ******************************** PRU13 sudah berlalu, namun satu daripada banyak perkara dikesalkan adalah media massa kita. Akses kepada media massa yang adil adalah antara lapan tuntutan Bersih 2.0. Namun hal ini dikesampingkan oleh pemerintah; menjelang PRU13 malah hingga ke hari ini kita dapat saksikan betapa media massa yang didakwa sebagai arus perdana itu diperkuda sepuas-puasnya oleh parti pemerintah - mereka ‘mengamuk sakan’ – 'membodek melangit’ parti pemerintah sebaliknya ‘membunuh’ parti-parti pesaing. **************************** Perkembangan ini amat jelek ketika dunia diklasifikasikan sebagai tanpa sempadan kerana perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi yang memungkinkan situasi apa dipanggil ‘langit terbuka’. Namun sebagai negara sedang membangun, perkembangan terbaru ini tidak merata di seluruh negara kita. Pelbagai halangan seperti prasarana komunikasi, perhubungan, kemampuan ekonomi dan pendidikan menyebabkan sebahagian besar rakyat masih bergantung kepada media massa tradisional seperti akhbar cetak, televisyen dan radio. ******************************** Media tradisional inilah yang menjadi ‘benteng terakhir’ medan propaganda parti pemerintah. Sudah pasti pihak ini tidak akan melepaskan ‘cengkaman’ mereka terhadap media ini, tetapi apa yang kita pinta, pihak berkuasa perlulah memberi hak kepada pesaing mereka untuk memajukan media massa mereka sendiri. *************************** Di negara-negara maju, di samping media tradisional, peranan media alternatif tidak dikesampingkan. Sebagai pihak yang sama-sama menyambut Hari Kebebasan Akhbar Sedunia pada 3 Mei lalu, pihak berwajib perlu mengiktiraf atau setidak-tidaknya menghormati peranan media alternatif seperti Harakah dalam pembangunan negara. **************************** Di negara-negara maju, media massa alternatif mempunyai peranan besar bagi mengetengahkan kehidupan, termasuk perjuangan golongan atau kumpulan minoriti. Media alternatif secara tradisinya dilihat sebagai suara kumpulan minoriti tetapi tidak mustahil ia boleh mewakili golongan majoriti. **************************** Berdasarkan perkembangan di negara Barat ini yang demokrasinya menjadi sanjungan banyak pihak di Malaysia termasuk parti pemerintah, maka perlulah pihak berwajib memberikan hak untuk semua parti-parti politik termasuklah daripada pembangkang seperti PAS untuk membangunkan media massa mereka sendiri termasuk TV dan radio yang siaran atau terbitannya tidak terhad kepada ahli parti tetapi untuk semua warga. ************************ Jika situasi ini dibenarkan, akan wujudlah persaingan sihat media massa yang sudah tentu akan menguntung serta memaju serta mematangkan rakyat negara ini. *********************** Namun apa yang berlaku, pihak berkuasa tidak membenarkan hal ini berlaku kerana mereka mahu memonopoli siaran media bagi membolehkan mereka terus berpropaganda demi mengekalkan kuasa ‘dulu, kini dan selama-lamanya’. Kita ingin bertanya, apa sudah jadi dengan permohonan parti-parti berkaitan untuk menerbitkan akhbar harian 'Purnama' (PAS) dan 'Utusan Rakyat' (KeADILan) tidak lama dulu? ********************** Selepas PRU13, apabila kuasa sudah dirasakan kejap di tangan, pihak berkuasa bertindak keterlaluan seperti merampas Harakah dan menakut-nakutkan mereka yang terbabit dalam pengendalian akhbar ini seperti pengedar dan peruncit. Namun media massa arus perdana dibiarkan bebas membicarakan isu rasis yang membahayakan masa depan negara. Mereka terus dibela bagi membolehkan kuasa berada di tangan dulu, kini dan selamanya. *********************** Sebagai memperkotakan kata-kata 'keramat' seperti 'rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan', kita mencabar pihak berkenaan membenarkan parti-parti politik termasuk pembangkang mengendalikan media massa mereka sendiri termasuk akhbar, radio dan TV dengan siarannya diketengahkan kepada semua rakyat. Usah ada sekatan seperti sekarang. Biarlah rakyat membuat penilaian sendiri; siapa yang mendahulukan rakyat dan siapa yang membelakangi mereka!

No comments: