Saturday, April 13, 2013

Antara imam 5 minit dan imam 5 tahun...

******************** Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. ********************** Renungan ******************** "Wafatkanlah aku dan keadaan Islam dan gabungkanlah aku dengan orang-orang saleh." (Maksud Ayat 101 Surah Yusuf) ********************** ANTARA tujuh golongan yang mendapat lindungan Arasy Allah SWT adalah imam (pemimpin) yang adil. Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya:” Terdapat tujuh golongan yang akan mendapat lindungan arasy-Nya pada hari yang tiada lindungan melainkan lindungan daripada-Nya. ************************* "Mereka adalah imam (pemimpin) yang adil; pemuda yang masanya dihabiskan untuk beribadah kepada Allah SWT; seseorang yang hatinya terpaut pada masjid; dua lelaki yang berkasih sayang dan bertemu dan berpisah kerana Allah SWT; lelaki yang digoda oleh perempuan cantik dan berpengaruh untuk melakukan maksiat tetapi dia menolak dengan mengatakan dia takutkan Allah; seseorang yang bersedekah dan menyembunyikannya sehinggakan tangan kanannya tidak mengetahui apa yang diberikan oleh tangan kirinya; dan seseorang yang mengingati Allah ketika bersendirian sehinggakan mengalir air matanya kerana Allah SWT.” (Riwayat Imam Muslim) ************************* Setiap imam (pemimpin) dipertanggungjawabkan dan akan dipersoalkan di akhirat kelak. Maka bergembiralah kepada mana-mana imam (pemimpin) yang dapat berlaku adil. Pemimpin adalah daripada setinggi-tinggi kedudukan (raja, presiden dan perdana menteri) sehinggalah seorang hamba yang bertanggungjawab ke atas harta tuannya. ************************** Kini demam memilih imam (pemimpin) sedang melanda negara kita. Malah PM Sementara, Najib Razak sebagai pemimpin (imam) tertinggi Barisan Nasional (BN) dalam menyampaikan manifesto komponen partinya yang disiarkan secara langsung selama 180 minit (sedangkan pembangkang ditawarkan membentangkan manifesto selama 10 minit itupun secara rakaman) oleh sejumlah stesen televisyen, beberapa hari lalu, secara terbuka mencabar rakyat sama ada memilih beliau, Anwar Ibrahim (Ketua Umum KeADILan) dan Tuan Guru Abdul Hadi Awang (Presiden PAS). *************************** “Inti pati PRU13 adalah sama ada kebolehpercayaan rakyat memberi kepercayaan kepada (Dato' Seri) Anwar Ibrahim atau Dato' Seri Hadi (Awang) atau saya sebagai Perdana Menteri," ungkap Najib. ****************************** Imam (pemimpin) wajar dipilih daripada kalangan orang terbaik, sama ada dari segi ilmu dan akhlak malah penampilannya. Jika imam masjid atau sesuatu jemaah (masa bertugasnya lima minit setiap solat) dipilih di kalangan ‘orang baik-baik’ adakah kita mahu 'cincai' saja dalam memilih imam (pemimpin) yang akan mengetuai tindak tanduk seluruh warga negara selama lima tahun (satu penggal pemerintahan sebelum pilihan raya berikutnya). Juga yang akan bertanggungjawab di akhirat kelak. *************************** Jika PM Sementara Najib sudah melontarkan pertanyaan terbuka (siapa menjadi pilihan anda sama ada Najib sendiri, Anwar atau Ustaz Hadi), ingin pula saya utarakan satu pertanyaan; jika orang yang sangat rapat dan kita kasihi meninggal dunia, di kalangan ketiga-tiga tokoh ini, kita pilih siapa menjadi imam solat jenazahnya? Jawablah secara jujur; apatah kita pilih Imam Najib, Imam Anwar atau Imam Hadi? Demikian juga siapa kita mahu jadikan imam solat waktu (lima minit)kita? ************************ Terpulanglah kepada pembaca untuk memilih siapa menjadi imam solat jenazah, imam lima minit (solat waktu berjemaah) dan imam lima tahun (pemerintah) tetapi ingatlah bahawa segala apa yang kita lakukan tidak berakhir di dunia ini sahaja tetapi akan berpanjangan di akhirat sana. Setiap orang akan dikumpulkan bersama orang (termasuk pemimpin-imam) yang dikasihinya. Sekali lagi tanya diri kita secara jujur, kita mahu dikumpulkan bersama siapa; Imam Najib, Imam Anwar atau Imam Hadi? ********************* Jika kita hanya memilih orang baik-baik untuk menjadi imam solat tetapi memilih imam yang terlalu memberatkan hal-hal dunia termasuk melakukan perbuatan lara seperti berjoget 'gangnam style' atau lebih buruk lagi menjadi perasuah dan penyamun harta rakyat di belakang tabir, percayalah akan lahir umat yang baik semasa di masjid (atau ketika solat saja), tapi apabila keluar daripada lingkungan itu, mereka tidak lagi kenal batas dosa atau pahala. *********************** Berkenaan memilih pemimpin ini seorang tok guru pernah menasihatkan: “Kalau pilih imam solat, wah, kita cari orang yang betul-betul baik. Orang yang betul-betul kita yakini. Kita tak pilih orang kaki judi. Kita tidak pilih kaki botol. ************************ “Bagaimanapun apabila lantik pemimpin, ini imam juga, kita pilih yang tak baik. Kita pilih yang rasuah. Kita pilih yang tak amanah. Imam sembayang lima minit aja, tapi kita nak yang terbaik, tapi imam di luar sana, masanya panjang, mungkin lima tahun (satu penggal pilihan raya), takkan kita nak serahkan nasib kita pada pemimpin jenis ini. Hah, nanti di akhirat nanti ikutlah pemimpin jenis ini.” *********************** Kata seorang lagi tok guru, kewajipan solat diterima oleh Nabi Muhammad s.a.w. ketika Israk Mikraj, jadi ada kaitan antara ibadah itu dengan peristiwa-peristiwa yang dipertontonkan kepada Nabi s.a.w. sepanjang perjalanan ke Sidratul Muntaha. ********************** Kalau memilih imam solat (imam lima minit), kita pilih yang terbaik di kalangan kita, tentulah apabila memilih pemimpin (lima tahun), kita akan memilih yang terbaik. Oleh itu janganlah pembunuh, perasuah, kaki perempuan, kaki botol, kaki judi dan pelbagai kaki buruk lain dipilih sebagai imam (pemimpin) lima minit atau lima tahun!

No comments: