Sunday, March 31, 2013

Perbaiki akhlak pemimpin, rakyat

**************************** DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. *************************** Renungan "Dan janganlah engkau berdoa selain daripada Allah, iaitu sesuatu yang tidak dapat memberikan manfaat kepadamu, dan tidak pula mendatangkan mudarat. Maka jika engkau perbuat juga, sesungguhnya engkau pada waktu itu, termasuk orang-orang yang menganiaya dirinnya sendiri." (Maksud Ayat 106 Surah Yunus) **************** Ketika rejim Umno-BN di penghujung kuasa dengan terbubarnya Dewan Undangan Negeri (Dun) dan Parlimen secara automatik seterusnya membawa kepada kewujudan sebuah kerajaan sementara menunggu penubuhan kerajaan baru, adalah bermanfaat kita merujuk kepada pandangan cendekiawan Islam seperti Sayyid Abul A'la Maududi mengenai keberkesanan sesebuah pemerintahan. ************************ Kata Maududi, tugas utama pemerintahan yang diasaskan oleh Rasulullah s.a.w. adalah untuk menyampaikan ajaran Islam kepada penduduk seluruhnya. Kemudian bagi memurnikan akhlak masyarakat ketika itu berdasarkan akhlak yang tinggi lagi mulia. ***************************** Tidak ada sistem pemerintahan pun yang akan berjaya jika pemimpinnya tidak mempunyai akhlak yang tinggi dan masyarakatnya tidak bertakwa dan amanah. Keadaan ini akan terus berpanjangan walaupun sistem pemerintahan itu mempunyai perundangan yang baik dan pada zahirnya kelihatan hebat dan berkaliber. ************************** Itulah sebabnya, setelah mengajak supaya beriman kepada ajaran Islam dan seterusnya mengembangkannya, Rasulullah s.a.w. sangat menekankan persoalan ketakwaan dan akhlak yang mulia. ***************************** Hari ini kita dapat saksikan betapa longgarnya pemimpin kita dari segi akhlak. Amalan rasuah, salah guna kuasa, boros, cakap tak serupa bikin, aneka jenayah dan maksiat semakin menjadi-jadi. Perilaku buruk ini menjadi ikutan rakyat; peribahasa Melayu ada menyebutkan bagaimana acuan begitulah kuihnya ataupun bapa borek anak rintik. ****************************** Asas yang penting di dalam sistem yang ditegakkan oleh baginda ialah menganjurkan akhlak masyarakat supaya menepati akan kehendak dan ajaran sistem tersebut. Keadaan ini tidak memerlukan penggunaan kuasa kekerasan untuk manusia tunduk dan patuh kepada undang-undang tersebut. **************************** Cukuplah apabila dikatakan di sini bahawa semua telah diperintahkan oleh Allah, maka terpulanglah kepada masyarakat untuk mematuhinya. Pada zaman Rasulullah s.a.w. tidak ada pasukan polis dan tidak terdapat penjara-penjara. Tidak terfikir langsung akan keadaan di mana masyarakat menerima arahan daripada Rasulullah s.a.w. tetapi tidak mematuhinya. **************************** Contohnya, kita ambil kes mengenai larangan meminum arak itu sendiri. Apabila dikhabarkan di kota Madinah yang arak itu haram, maka tempat menyimpan arak semuanya dipecahkan dan masyarakat Madinah terus berhenti meminum minuman tersebut. ********************** Di sini, sejarah gagal untuk memberi contoh akan kepatuhan kepada undang-undang secara spontan. Malah, berjuta-juta dolar dibelanjakan di Amerika Syarikat untuk menjelaskan kepada masyarakat akan kesan buruk daripada arak itu sendiri. ************************ Satu propaganda besar-besaran telah dilancarkan untuk tujuan tersebut. Dengan sambutan masyarakat, satu pembaharuan telah dibuat di dalam undang-undang Amerika Syarikat untuk meluluskan satu undang-undang mengharamkan arak. Tetapi keesokan harinya masyarakat meminum pula minuman lain yang beracun dan berbahaya. Perbuatan ini merebak dengan cepatnya di mana akhirnya undang-undang pengharaman arak tadi terpaksa ditarik balik. ************************ Jadi, marilah kita membuat perbandingan ke atas dua keadaan yang berlaku tadi. Pertamanya, di mana arahan yang dikeluarkan telah dipatuhi dengan serta-merta. Keduanya di mana satu undang-undang telah digubal setelah satu perbelanjaan dan propaganda yang besar dijalankan yang disokong oleh masyarakat tetapi akhirnya mereka juga yang melanggarnya. *********************** Ini jelas menunjukkan bahawa asas pada satu-satunya sistem pemerintahan adalah terletak kepada keimanan dan akhlak yang mulia. Jika kedua-dua asas ini tidak ada, maka satu-satu sistem pemerintahan itu tidak akan berjaya, walaupun undang-undang itu telah digubal dengan baik. **************************** Ya, pemimpin paling takut kepada Allah persis dua Umar (Umar Al-Khattab dan Umar Abdul Aziz) begitu didambakan masyarakat. Pilihlah mereka yang menghampiri ciri-ciri ini bukan pemimpin lara yang tidak keberatan menari di pentas Gangnam Style. Ingatlah di akhirat kelak seseorang akan dihimpunkan bersama orang (pemimpin) dikasihi mereka. Anda mahu dihimpunkan bersama tok-tok guru dan ustaz atau tokoh penyemarak Gangnam Style dan pencinta bintang Bollywood dan beg tangan Birkin?

No comments: