Friday, March 15, 2013

Pemimpin pandai cakap tak serupa bikin...

**************************** Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. **************************** Renungan ***************************** "Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32 ****************************** SEJAK 'pencen' saya habiskan waktu pagi di kebun. Menebas dan bercucuk tanam. Sambil itu saya dengar-dengar siaran Radio IKIM. Bagus juga siaran radio ini, boleh tambahkan pengetahuan agama dan mendapatkan panduan hidup. Suatu pagi siaran radio ini menyiarkan ucapan secara langsung oleh seorang pemimpin pada majlis yang menghimpunkan umara (pemerintah) ulama dan asnaf (golongan penerima zakat). ********************************** Terpegun saya mendengar ucapan itu. Persis seorang ulama pemimpin itu bercakap. Memetik ayat-ayat al-Quran, hadis dan cendekiawan Islam hebat seperti Al-Ghazali. Kalaulah tidak disebutkan nama tokoh yang bercakap itu tentunya saranannya seperti amalan wasatiyah (hidup sederhana) amat mempesonakan. *********************************** Namun apabila diamati-amati cara hidup terutama isteri dan keluarganya serta merta kekaguman itu pudar. Ya, 'ada benda' dicakap tak sama dibikin. Kini ramai orang pandai cakap tetapi tidak patuh kepada apa yang dicakapnya. Kata orang mulut dan lidah padai bermain kata-kata, berbelit-belit ataupun lidah bagaikan ular atau biawak yang bercabang. ******************************** Sebenarnya saya pun takut diri saya jatuh dalam kategori ini. Pandai cakap (tulis) saja, diri sendiri pun tak terurus! Melalui ruangan ini pandai saya mengesyorkan kepada pembaca supaya mengamalkan nilai-nilai murni seperti menjaga kebersihan (terutama tandas masjid seperti diungkapkan dalam celoteh mengenai Masjid Keroh, Kuala Krai tidak lama dulu) tetapi bagaimana tandas di rumah sendiri? **************************** Bagi mengelak hal ini, saya membiasakan diri membasuh dan memberus tandas. Kata ulama perbuatan ini bagus kerana ia dapat membantu mengurangkan rasa takabur dalam diri kita. Membersihkan tandas adalah amalan sesetengah ahli sufi untuk mendidik nafsu masing-masing. Apabila nafsu sudah dididik barulah kita boleh menunggang nafsu, ini asyik-asyik nafsu yang menunggang kita. *************************** Orang yang pandai cakap (dan juga menulis) tetapi tak pandai buat (atau tak buat apa yang dia cakap atau tulis) telah membenarkan nafsu menunggang dirinya. Apabila nafsu (atau iblis dan syaitan) sudah menunggang diri, maka apa saja boleh berlaku. Termasuklah ketika berucap asyik mengungkapkan ayat-ayat Quran, hadis dan kata-kata ulama; tetapi realitinya dia tidak membuat perkara yang dicakapnya itu. Kata orang moden sekarang - cakap tak serupa bikin! ******************************** Pada ketika musim pilihan raya sekarang ini, maka makin ramailah orang (pemimpin) akan bercakap. Kerana sedar semakin ramai orang pandai cakap tapi tak sama bikin, ada kaedah untuk kita menilai seseorang itu, sama ada dia pemimpin tulen atau penipu. **************************** Pemimpin tulen boleh dilihat daripada seiringnya cakap dan perbuatannya. Jika dia mengesyorkan rakyat hidup sederhana, dia pun hidup secara sederhana. Tidak bolehlah seorang pemimpin meminta rakyat mengikat perut bagi menghadapi zaman inflasi sedangkan dia boros berbelanja seperti mengadakan majlis kahwin anak macam Raja Donan (tujuh hari tujuh malam) dengan dihadiri 100,000 tetamu. Lebih malang lagi jika wang perbelanjaan daripada sumber diragukan seperti membabitkan harta benda kerajaan. ***************************** Tidak bolehlah pemimpin bercakap beriya-iya mengajak rakyat "mengikut ajaran Islam sebenar" sedangkan anak isterinya pun tidak berpakaian menutup aurat sepenuhnya. Atau anak-anaknya terbabit dalam pesta maksiat seperti menogok minuman keras. Atau dia sendiri tidak dapat menahan nafsu untuk berjoget sekali dengan Psy atau Shah Rukh Khan dalam keadaan penyanyi dan penari pengiring seolah-olah tidak berpakaian. Jika ini berlaku, bermakna pemimpin berkenaan sudah membenarkan nafsu menunggangnya! ****************************** Orang bermuka-muka dipanggil hipokrit. Dalam istilah Islam, itulah munafik. Ada ciri untuk mengenal orang munafik. Antaranya jika bercakap dia bohong, jika berjanji dia mungkir. Mereka juga pandai bermain slogan tetapi jarang menunaikannya.Apabila slogan ini kerap diulang-ulang maka jadilah ia satu bentuk indoktrinasi yang sekarang ini semakin menjadi-jadi dalam masyarakat kita. ********************************* Hanya BN-Umno saja mampu buat itu dan ini. Hanya BN-Umno saja yang mampu perintah negara - demikian antara lain kita disogokkan dengan slogan berbentuk indoktrinasi ini. Bagi mereka yang telah termakan dakyah 'parti dulu, kini dan selamanya' akan percaya tetapi bagi golongan yang bersedia membuka gedung minda mereka untuk berfikir, akan menyedari hal ini tidak benar; ia temberang dan mengarut saja sebab di dunia ini apa saja boleh berlaku seperti mana yang dikehendaki oleh Yang Maha Kuasa!

No comments: