Wednesday, October 3, 2012

Lakonan air: Hidup ini bukan satu sandiwara

************************** DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. ************************** Renungan *************************** Saiyidatina ‘Aisyah r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. ada bersabda mafhumnya: “Tidak ada hari yang lebih banyak Allah Taala memerdekaan hamba-Nya daripada api neraka selain daripada Hari Arafah (Hari Wukuf) dan sesungguhnya Allah Azzawajalla menghampiri (hamba-hamba-Nya) dan berbangga dengan mereka di kalangan para malaikat serta berfirman apa yang dikehendaki oleh mereka.” ********************* Bersyukur ke hadrat Illahi kita diberi kesempatan oleh-Nya bagi memuzakarahkan isu semasa dan kali ini kita akan menyentuh propaganda murahan pihak tertentu, mutakhir ini dengan membuat filem atau iklan bagi menunjukkan apa didakwa masalah bekalan air di negeri-negeri dikuasai Pakatan Rakyat. ****************************** Bagi orang beragama hidup ini amat mudah. Hidup mereka berpandukan perintah dan larangan Allah SWT. Mereka patuh kepada hukum Allah. Hukum syara’ terbahagi kepada lima – wajib, sunat, harus, makruh dan haram. Perkara wajib mereka buat, yang sunat digalakkan membuatnya, yang harus terpulanglah kepada seseorang, yang makruh digalakkan untuk ditinggalkan manakala yang haram ditinggalkan terus kerana ia mengundang dosa. ******************************* Membuat filem atau iklan menggambarkan keadaan penduduk mengalami masalah air sedangkan hakikat adalah sebaliknya, sebagai kempen propaganda murahan bagi meraihkan kepentingan politik perlu dinilai berdasarkan hukum syara’ tadi – wajib, sunat, harus, makruh dan haram. Bagi orang berfikir dan beriman, ia adalah haram. Haram untuk melakukan pembohongan dan kemudian menyebarkan pendustaan itu. Yalah, semua pihak yang bertarung dalam pilihan raya mahukan kemenangan tetapi matlamat tidak menghalalkan cara. Kaedah Machiavelli tidak terpakai dalam ajaran murni Islam. Semua orang bertanggungjawab di atas perbuatannya – tidak kira kecil atau besar semuanya akan dibalas bukan saja di akhirat tetapi kadang-kadang di dunia lagi Allah SWT sudah tunjukkan buktinya. ********************************* Pembohongan bukan saja tidak dapat diterima oleh Islam tetapi semua masyarakat dunia. Bagi orang Barat, mereka ada watak Pinnochio yang jika setiap kali dia berbohong akan bertambah panjang hidungnya. Bagi ketua kerajaan, menteri dan ahli Parlimen, pembohongan akan menyebabkan mereka kena ‘grill’ (diselidiki secara terperinci) oleh jawatankuasa khas dan jika didapat bersalah, alamat berakhirlah karier politik masing-masing. Ini kerana melakukan pembohongan tidak dapat diterima sama sekali oleh masyarakat negara-negara maju ini. ******************************** Bagi penduduk setempat yang berlakon dalam isu air, mereka perlu memikirkan ‘dosa pahala’ perbuatan mereka itu. Benar jika dipandang sepintas lalu mereka akan ‘untung’ apabila diberi RM50 atau RM100 sebagai upah untuk berlakon beratur dan mengangkat air, tetapi insaflah bahawa hidup ini sebenarnya bukan satu lakonan. Perbuatan kita seolah-olah mengundang bala Allah SWT, apa kata jika benar-benar berlaku krisis air (itu yang kita pinta melalui lakonan kita), tidak berbaloi langsung wang RM50 yang kita dapat itu jika hari-hari terpaksa mengangkat berbaldi air ke kediaman kita di tingkat 24 misalnya (jika ditakdirkan lif rosak). Jadi fikirlah masak-masak sebelum kita dieksploitasi dalam kerja-kerja propaganda murahan yang mengundang dosa dan bala ini. ************************* Penyakit ‘pembohong’ di kalangan masyarakat terutama pemimpin politik tertentu semakin kronik. Pembohongan juga dilakukan oleh sesetengah media kita. Kalau tersilap lapor, boleh dimaafkan tetapi jika sengaja menyiarkan laporan tidak benar semata-mata untuk memuaskan pihak tertentu, ia akan 'melahirkan pembohong' dalam masyarakat kita. *************************** Pembohongan yang semakin menjadi-jadi ini ini akan mendatangkan kesan negatif kepada anak-anak. Jika orang tua sudah mengajar mereka berbohong, hampir pasti sifat buruk itu akan diteladani. Kata orang jika guru kencing berdiri, pasti anak murid kencing berlari, jadi tak guna guru terpekik-pekik 'mengajar' kisah Pinnochio. ************************* Politik negara kita menyaksikan pembohongan kronik. Misalnya, dari peringkat paling atas, cakap-cakap mengenai demokrasi dan hak asasi dihebohkan, tetapi setakat mana ia benar-benar dikotakan, tidaklah diketahui. Sifat hipokrit begitu ketara menjelang satu-satu pilihan raya. Bukankah semua ini menunjukkan sesetengah pihak amat hipokrit (munafik) dalam menjalani penghidupan sehingga dalam isu air pun mereka mahu berbohong!

1 comment:

TRANSIT 56 said...

Semoga seluruh umat diberi hidayah oleh Alloh SWT.Usaha haq dan batil akan berterusan sampai kiamat.Setiap rasul mendepani kaumnya yang melakukan pembohongan dan olok-olok yang hebat.Firaun langsung mengiktiraf dirinya aku Tuhan tertinggi.Nauzubillah.Tapi utusan Alloh tidak pernah berputus asa atau mengadu masalah kepada makhluk..tugas menyeru dengan hikmah, tabah, sabar, tanpa mengharap pangkat,, upah diteruskan...keputusan,hukum semua diserahkan kepada Alloh...dan merekapun tidak mendoakan keburukan..inilah fitrah, tabii menyeru manusia kepada Alloh..semoga kita diberi sifat sedemikian dalam menyampaikan risalah Alloh.