Tuesday, October 16, 2012

Kahwin: Lelaki perlu 3 ‘ras’ bukan jutaan ringgit...!

**************** DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. ******************* Renungan ********************* Daripada Aisyah r.a., berkata: "Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Semua manusia dikumpulkan tanpa memakai alas kaki, telanjang dan belum dikhatan.' Aisyah bertanya; 'Apakah antara lelaki dan perempuan akan saling melihat antara satu dengan yang lain?' Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Urusan pada hari itu lebih dahsyat daripada mementingkan hal-hal seperti itu.'" (HR. Bukhari dan Muslim) ************************ SEORANG saudara meminta saya berceloteh mengenai kisah kahwin didakwa menelan belanja RM1.3 juta dengan dihadiri 130,000 tetamu yang berlangsung berhampiran kampung saya baru-baru ini. *********************** Maaflah, saya keberatan berbuat demikian. Ini bukan kerana kerana saya tidak hadir malah tidak dijemput pun ke majlis itu bagi membolehkan saya mudah berceloteh mengenainya tetapi bimbang terlebih celoteh; takut-takut nanti kalau saya kahwinkan anak saya, saya pula terikut-ikut gaya mewah berkenaan, saya terlebih pula – mengata dulang..., awak pula lebih teruk! ****************** Sebenarnya ini bukanlah kali pertama saya ‘terbaca’ kisah perkahwinan yang hebat-hebat. Dulu semasa kecil, saya kuat berangan dengan membaca buku hikayat Melayu lama (Penglipur Lara) seperti Hikayat Raja Donan, Hikayat Anggun Cik Tunggal, Hikayat Raja Muda, Hikayat Malim Demam, Hikayat Awang Suluh Merah Muda dan Hikayat Malim Dewa. ******************* Tentunya saya sudah lupa jalan cerita kisah-kisah ini tetapi ingatan terhadap gambaran perkahwinan putera dan puteri raja masih tertancap di minda. ********************* Pesta kahwinnya berlangsung 7 hari 7 malam, atau lebih dahsyat lagi 40 hari 40 malam dengan ‘kerak nasi membukit’, ‘darah sembelihan lembu macam sungai’ malah ada puisi khas mengenai tetamu (rakyat) iaitu “yang capik datang bertongkat, yang buta datang berpimpin, yang pekak datang bertanya, yang kurang mengekor angin.” Agaknya, jika semua rakyat datang, tidak sukar mengumpulkan 100,000 tetamu! ****************** Kisah cinta asyik mahsyuk Sultan Mahmud Melaka terhadap Puteri Gunung Ledang juga saya ikuti penuh minat. Puteri itu melalui Tun Mamat dikatakan meminta antara lain; tujuh dulang hati kuman, tujuh dulang hati nyamuk, dibina jambatan emas menghubungkan Gunung Ledang dengan Melaka dan semangkuk darah anakanda Sultan, Raja Ahmad sebagai hantaran peminangan. Sultan Mahmud dikatakan tidak sanggup menyediakan darah Raja Ahmad, jadi perkahwinan itu tidak menjadi kenyataan. *********************** Selepas mengikuti ‘kisah-kisah perkahwinan yang dahsyat’ ini, saya ‘berat hati’ untuk membuat ulasan majlis perkahwinan dekat kampung saya itu yang khabarnya dimasukkan ke dalam buku Rekod Malaysia sebagai majlis perkahwinan mencatatkan paling ramai tetamu iaitu 130,000 orang. ********************* Pada pendapat saya yang daif ini, jumlah kehadiran atau kos perkahwinan (130,000 orang dengan kos RM1.3 juta) tidak ada apa-apa sumbangan bagi kebahagiaan pasangan suami isteri agar hidup mereka penuh kasih sayang sepanjang hayat dengan berpandukan kehendak Islam. ******************** Apa yang berlaku selepas perkahwinan perlu diberi penekanan; berhubung perkara ini saya sungguh tertarik dengan celoteh Ustaz Mohamad Abdullah Al-Amin di Radio IKIM baru-baru ini mengenai hal yang perlu ada pada pengantin lelaki baru dan lama dalam melayari rumah tangga. Beliau memberitahu lelaki perlu ada ‘3 ras’ bagi membina rumah tangga bahagia. ********************* ‘Ras’ pertama adalah ‘waras’, katanya. Orang lelaki mesti waras dalam segala tindak tanduknya. Sentiasa sabar dan tenang. Matang dalam pemikiran. Semua tindakan dan keputusan dibuatnya adalah berpandukan kehendak agama. Tidaklah dengan mudah bertindak memukul atau menceraikan isteri. ***************** Dalam kes orang mengahwinkan anak, tak tahulah kita lelaki yang berbelanja jutaan ringgit atau mengharapkan kehadiran ratusan ribu tetamu di majlisnya sebagai orang waras atau tidak. ****************** ‘Ras’ kedua adalah ‘beras’. Ertinya lelaki mestilah sentiasa memenuhi keperluan isteri dan anak-anaknya. Nafkah perlu dipenuhi; termasuk dari segi keperluan makanan. Orang Malaysia (Melayu), makanan asasinya nasi (beras) jadi pastikan bekalan beras sentiasa ada dalam rumah. ******************** ‘Ras’ ketiga adalah ‘keras’. Hah! Hah! Hah! ‘Keras’ ini bermakna kesihatan. Orang lelaki mesti menjaga kesihatan diri. Makan dan minumlah bahan baik-baik seperti madu dan makanan tambahan kesihatan. Jangan lupa bersenam, jaga badan. Tak guna ada wang berjuta-juta ringgit (termasuk untuk kahwinkan anak) jika tak ada ‘ras’ ketiga ini! Jadi jagalah ‘ras’ ini baik-baik!!!

No comments: