Sunday, August 5, 2012

‘Nak bersara umur berapa, 55 atau 60 tahun?’

****************** Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. ***************** Renungan *************** Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (al-Quran) pada Lailatulqadar. Dan tahukah kamu apakah Lailatulqadar? Lailatulqadar itu adalah lebih baik daripada 1,000 bulan." (Maksud ayat 1-3 Surah Al-Qadr) **************** SEKARANG negara di ambang menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-55. Tema sambutan ‘Janji Ditepati’ menjadi kontroversi. Sejak merdeka pada 1957, hanya Umno-BN (dulunya Umno-Perikatan) yang memerintah negara ini. ********************** Jadi tahun ini, sempena tarikh keramat 55 tahun itu, sudah cukup tempohnya Umno-BN memerintah negara ini; kalau seorang pekerja bolehlah bersiap sedia pencen! Ini kerana umur pencen pekerja asalnya 55 tahun, hanya tidak lama dulu dinaikkan kepada 56, kemudian 58 dan akhirnya-akhir ini 60 tahun. ********************** Apakah Umno-BN mahu atau terpaksa pencen setelah 55 tahun memerintah negara ini? Kalau komponen parti ini kalah pada pilihan raya umum ke-13 (PRU) yang mesti diadakan dalam masa terdekat ini, maka terpaksalah Umno-BN pencen pada 55 tahun. Tetapi jika Umno-BN menang, ia boleh melanjutkan umur persaraannya, mungkin sampai 60 tahun sehingga PRU14 diadakan. ********************* Sudah tentu Umno-BN tidak mahu pencen setelah 55 tahun memerintah. Pekerja pun tidak mahu pencen pada 55 tahun. Masih muda, kata kebanyakannya, terutama daripada sektor awam. Masih banyak boleh disumbangkan kepada agama, bangsa dan negara, dakwa sesetengahnya. ********************* Demikianlah betapa banyak alasan diberi sedangkan jika mereka tidak pencen, macam mana ada kekosongan bagi membolehkan anak cucu masuk dalam dunia pekerjaan. Itulah antara sebabnya puluhan ribu graduan kini menganggur! ************************* Ini kerana di ofis berlaku lambakan ‘datuk’ dan ‘nenek’. Masakan tidak ramai golongan veteran membanjiri dunia pekerjaan kerana hampir tiada yang mahu bersara pada usia 55 tahun kerana bimbang tidak dapat imbuhan malah ada ura-ura tidak boleh keluar wang KWSP sepenuhnya pada usia itu sebaliknya 60 tahun. *********************** Ramai juga tak mahu pencen pada usia 56 dan 58 tahun dan baru-baru ini boleh dikatakan hampir semua kakitangan kerajaan ‘sign’ akan pencen pada usia 60 tahun. Jika pekerja yang ‘tiada kepentingan sangat’ enggan pencen pada usia 55 tahun tentunya Umno-BN tidak mahu kerusi empuk yang didudukinya direnggut pada usia 55 tahun ini. ***************** Mestilah Umno-BN mahu berganjak ke angka 60, 65 atau 70 tahun. Atau lebih baik lagi dulu, kini dan selamanya…Apabila Umno-BN tidak sedia pencen pada usia 55 tahun ini (berdasarkan propaganda hebat dilancarkannya terutama melalui media massa), apakah rakyat boleh berterusan berdiam diri? ***************** Seorang kakitangan (pekerja) yang mahu usia persaraannya dilanjutkan sehingga 60 tahun mestilah menunjukkan prestasi baik bahawa dia masih boleh menyumbang bakti sekali pun badannya sudah sakit sana sakit sini. ************************* Tidak guna ‘sign’ kontrak bersara umur 60 tahun tetapi tahun-tahun terakhir bekerja dipenuhi MC, terlantar di wad hospital, ponteng, termenung sana termenung sini kerana kaki sudah dipotong kerana diabetes, tak larat bekerja dan sebagainya yang pasti menjejaskan operasi jabatan atau syarikat. Hal ini akan menyusahkan pihak pengurusan dan rakan-rakan sekerja. Lebih buruk lagi, dalam usia senja itu terbabit pula dalam amalan buruk seperti rasuah malah cuba merogol dan mencabul anak dara orang pula! ************************ Jika seorang pekerja boleh disemak rekodnya sama ada dia layak bekerja sehingga umur 60 tahun, Umno-BN juga boleh diperiksa prestasinya sama ada ia layak dipencenkan pada usia 55 tahun ini atau sehingga usia 60 tahun apabila PRU14 diadakan atau boleh bekerja sehingga usia kemerdekaan negara 65 atau 70 tahun. ************************** Akhir-akhir ini apabila Umno-BN sudah ada tanda-tanda kena pencen pada usia 55 tahun, dirinya semakin gelisah sehingga terpaksa ‘masuk bakul angkat sendiri’. Maklumlah takut dipencenkan pada ‘usia muda’ kononnya! Tukang kempennya seperti media massa sarat dengan puji-pujian melangit, membodek Umno-BN sebaliknya menjadi kaki kutuk paling dahsyat terhadap lawannya. *********************** Jika kita tengok TV, hampir setiap masa rakyat disogokkan dengan kejayaan BR1M, Kedai 1-Malaysia, Klinik 1-Malaysia dan program membeli undi rakyat lainnya. Beritanya sarat dengan propaganda murahan sehingga rakyat ‘tidak ghairah’ lagi ‘membuka’ TV. "Boleh jalanlah kau dengan TV kau!” *********************** Ketakutan Umno-BN untuk pencen pada usia 55 tahun ini juga menyebabkan ia begitu tak ketentuan sehingga sanggup mengangkat lagu kempen parti ‘Janji Ditepati’ sebagai tema Hari Kemerdekaan. ******************** Tubuh badan Umno-BN sudah rosak teruk, menjadi sarang penyakit, oleh itu bersaralah wahai Umno-BN pada usia 55 tahun; kalau tak, rakyat akan memaksa anda! Hentilah cakap besar untuk terus ‘bekerja’ sehingga 60 tahun atau lebih teruk lagi ‘dulu, kini dan selamanya’!

1 comment:

SysOp said...

Bhai Lanh14...

Setuju.. setuju bahawa umur persaraan wajib dikekalkan pada 55 tahun jer.. dan bukannya ditambah menjadi 60 tahun...

Maknanyer.. BN perlu pencen pada 55 tahun... dan bukannyer 60 tahun... hahahaha...

Setuju bebenor lar gua... hahaha

C++
CipanTapirTenuk.Blogspot