Friday, June 22, 2012

Ulasan buku 'Travelog Wartawan Islam' oleh Beritakampus USM

***************** Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. ***************** Renungan ******************** "Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32 *** ULASAN buku 'Travelog Wartawan Islam' karya LanH yang disiarkan oleh 'Beritakampus USM' **************** Buku: Travelog Wartawan Islam, Penerbit, Kemilau Publika ******************** Diterbitkan pada Jumaat, 18 May 2012 04:47 ***************** Pengulas Sitti Hadijah Ahmad ********************* SETELAH 12 tahun bergelar seorang wartawan, idea menghasilkan Travelog Wartawan Islam tercetus apabila penulis buku ini melihat hampir kesemua buku-buku yang berkaitan kewartawanan Islam di pasaran hanya bercerita dari sudut teori dan panduan sahaja. ***************** Tiada satu pun buku di pasaran yang memaparkan pengalaman sebenar, pahit manis, jatuh bangun yang dilalui oleh seorang wartawan. ******************* Tulisan tajam berdasarkan pemerhatian adalah senjata menyengat penulis buku ini. ************** Realitinya, buku ini menceritakan pengalaman Roslan Hamid atau lebih dikenali dengan panggilan LanH dan suka duka yang dialaminya sepanjang begelar seorang wartawan di salah satu syarikat akhbar Melayu terbesar negara. ******************** Di dalam buku ini, agak menarik di mana penulis cuba menjelaskan tentang konsep kerja menurut Islam dan cabaran yang perlu dibawa oleh seorang muslim dalam setiap kerja yang dilakukan. ************************* Penulis berjaya menimbulkan satu perasaan bahawa tugas wartawan tidaklah bersifat murni sebagaimana tugas-tugas mulia yang lain dan penulis buku ini berjaya memperkenalkan satu istilah mengikut cita rasanya sendiri iaitu wartawan sekular yang hanya bersifat duniawi. ******************* Maka buku ini bagaikan sebuah catatan kecewa seorang wartawan apabila tuntutan tugasnya selama ini menyebabkan beliau tidak dapat menyempurnakan tanggungjawabnya kepada Tuhan. Sama ada kesempatan untuk menyempurnakan solat fardu lima waktu, menghadiri kelas belajar dan mengaji al-Quran sehinggalah menghalangnya untuk menyambut setiap kali tibanya 1 Syawal. ************************ Pengalaman selok-belok dan liku-liku atau rencah kehidupan seorang wartawan adalah bahan menarik yang diselitkan di dalam buku ini. Tanpa meninggalkan cabaran dimarahi oleh ketua, mengejar ‘deadline’ dan sebagainya. Semua ini membuat beliau muhasabah diri dan akhirnya memutuskan untuk meletak jawatan. ******************** LanH turut menceritakan bagaimana dunia kewartawanan masa kini penuh dengan pertentangan etika yang dipelajari sewaktu di universiti, serta turut berlawanan antara unsur baik atau buruk. Misalnya, dalam kehebatan akhbar menceritakan keburukan judi dan minuman keras, tetapi pihak yang sama juga memperuntukkan ruangan iklan minuman keras dan ruangan khas keputusan empat nombor ekor secara terang-terangan. ************************ Pengakuannya sangat jelas dan ikhlas. Adakalanya unsur baik dan buruk bercampur gaul di dalam dunia kewartawanan dan penerbitan. Artikel agama tentang aurat yang dimuatkan dalam ruang agama, tetapi dihelaian lainnya memaparkan juga aksi artis bagaikan tidak cukup kain. *********************** Buku ini boleh dikatakan terbahagi kepada dua sisi. Sisi pertama menceritakan pengalaman beliau sebagai wartawan dan sisi yang satu lagi adalah koleksi tulisan penulis ketika mengisi ruangan ‘Kisah Atara Dua Kota’ yang pernah beliau siarkan ketika bertugas di sebuah syarikat akhbar terkemuka negara. Ia meliputi pelbagai tajuk tanpa terhad kepada bidang tugasnya sebagai Pengarang Meja Luar Negara. ********************** Wartawan bukan seperti sasterawan. Kerja wartawan berkejar dengan masa, wartawan harus cepat. Itulah salah satu penekanan yang dilakukan LanH dalam buku ini. ********* Pelbagai perkongsian berharga turut disisipkan di dalam buku ini yang dapat dijadikan pengajaran dan tauladan kepada pelajar-pelajar pengajian media dan individu yang mempunyai aspirasi untuk menjadi wartawan. **************** Beliau mampu berdakwah dan menasihat, bagai menarik benang dalam tepung, benang tidak putus dan tepung dan tidak berselerak. Buku ini wajar dibaca oleh semua golongan supaya dapat menilai dengan bijak akan kerjaya wartawan yang memberi sumbangan yang besar kepada masyarakat.

1 comment:

Annuar said...

Assalaamu alaikum
Please contact bro Abdullah Arshad. He's trying to get in touch with you.