Tuesday, June 19, 2012

Atas nama sukan, orang jadi 'hamba bola'

******************* DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. ***************** Renungan ************** "Ucapkanlah kepada mereka, kata-kata yang mulia dan rendahkan dirimu di hadapan kedua-dua ibu bapamu dengan penuh rasa sayang." (Surah al-Israk, ayat 23-24) ****************** PADA musim bola (Euro) sekarang ini dan Olimpik bulan depan, ramai orang jadi sasau. Dulu saya gila sukan terutama bola sepak (setakat menonton kerana bermain bola hanya mewakili kelas!) tetapi apabila usia sudah tua, barulah saya insaf semua itu merugi dan membodohkan diri. ************************ Maaflah jika saya berkata begitu, mungkin ada pembaca tidak setuju, tetapi bukankah negara ini mengamalkan demokrasi, seseorang boleh menyatakan pendapatnya secara bebas (tetapi ada batasannya-lah). Dulu teman gila bola saya dua orang. Seorang sudah meninggal dunia, seorang berubah sikap selepas isterinya meninggal, jadi takkan saya nak terkontang-kanting gila bola seorang diri pada penghujung usia ini? Entah esok lusa, saya masuk kubur, takkan soal bola ditanya Munkar dan Nakir? ******************** Bagi saya, Euro ini propaganda Barat dan dengan segala jenteranya berjaya memaksa penduduk dunia taksub kepada mereka sedangkan kalau difikir-fikirkan kejohanan ini tiada kena mengena dengan kita. Kalau Piala Dunia itu lainlah, ia membabitkan penduduk seluruh dunia tetapi Euro membabitkan negara Eropah saja. Kalau sukan negara Eropah kita sanjung tinggi, apakah penduduk rantau itu ambil peduli kejohanan peringkat benua kita, Asia. Mereka tidak ambil ‘pot’ pun. Kita terlebih sudu daripada kuah, berjaga siang malam kerana bola! ******************* Kegilaan kita menyanjung apa didakwa kehebatan Barat ini menunjukkan mentaliti kita dijajah sekalipun negara kita sudah merdeka daripada cengkaman mereka lebih setengah abad. Kita menyanjung Eropah, kononnya merekalah terbaik. Secara kebetulan dalam permainan bola sepak ini memanglah negara Eropah selain Amerika Selatan adalah hebat tetapi mengapa difokuskan kepada bola sedangkan dalam banyak bidang lain, rantau kita lebih hebat. Mengapa kita mahu tiru cara hidup orang Eropah (bukan Islam) sedangkan cara hidup Islam adalah terbaik dan dijamin oleh Allah SWT. *********************** Allah Taala mengiktiraf umat Islam adalah umat terbaik. Ini berdasarkan firman-Nya dalam Surah Ali Imran ayat 110 yang bermaksud: “Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara baik dan melarang daripada segala perkara salah (buruk dan keji) serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman) dan kalaulah ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka itu orang-orang yang fasik.” ******************* Berdasarkan ini, sepatutnya orang Eropah meniru orang Islam kerana umat Islam adalah sebaik-sebaik umat. Tetapi hari ini perkara yang sebaliknya berlaku, umat Islam yang meniru orang Barat malah memuji muja cara hidup mereka seperti mengagung-agungkan sukan bola sepak ini. Kenapa perkara ini berlaku? Akibat demam Euro, ramai sanggup berjaga malam, bersekang mata, tidak cukup tidur. Apakah ini akan membawa keuntungan pada kita? Pada saya yang untung besar adalah tauke-tauke komersial yang bijak mencuri kesempatan memanipulasi minat manusia bagi membolehkan mereka kaya raya seterusnya menjajah minda penduduk Dunia Ketiga terutama orang Islam. *********************** Berhubung gila bola ini, saya bertanyakan seorang ustaz dan beliau menjawab orang Islam sewajarnya menggunakan pendekatan agama bagi mendapatkan ketenangan dalam menjalani kehidupan. Gunakan ruang masa keheningan waktu malam untuk mendekatkan diri dengan bermunajat kepada-Nya seperti mendirikan solat malam dan memperbanyakkan zikrullah. Hanya dengan zikir seseorang itu boleh mencapai ketenangan. Namun cukup sukar seseorang bangun malam untuk mendirikan solat hatta dua rakaat sekalipun tetapi cukup istikamah berjaga malam untuk menonton perlawanan demi perlawanan bola. Ada pula kerana terlalu letih terlepas solat subuh yang wajib itu! ************************* Oleh kerana terlalu taksub mengikuti mereka, orang Barat tidak menghormati keperluan orang Islam. Mereka tahu orang Islam akan ikuti mereka; bukan mereka yang mengikuti orang Islam. Hal ini termasuklah dalam sukan. Jika atlet mereka terutama wanita hampir bertelanjang dalam bersukan (seperti acara gimnastik, renang dan bola tampar pantai), orang Islam pun ikut sama kecualilah beberapa ahli sukan dari Iran dan individu tertentu seperti atlet Bahrain, Rugaya Al-Ghasari. ********************** Disebabkan kecenderungan umat dan negara Islam menjadi pak turut inilah agaknya pihak Barat tidak peduli langsung melangsungkan Sukan Olimpik London 2012 ini pada bulan puasa (Ramadan). Bagi mereka, orang Islam berpuasa atau tidak itu bukan urusan mereka, yang penting seluruh dunia akur dengan kehebatan mereka. Bila agaknya mentaliti jiwa hamba kepada Barat terutama di kalangan orang Islam ini akan berakhir?

No comments: