Tuesday, February 1, 2011

Selamat Hari WP: Usah anak kera di hutan disusui...

***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
Adalah amat menghairankan sikap orang-orang yang mahu menetapkan kesedihan, kegundahan, dan kesukaran yang akan menimpanya esok, hari yang belum tentu dilaluinya; oleh sebab itu jauhi dirimu daripada angan-angan yang tidak bererti. - Dr Aidh Al-Qarni

***
Sudah lama saya tidak ke Pasar Seni. Tetapi suatu hari menjelang Hari Wilayah, saya 'tersinggah' juga di situ. Secara kebetulan pagi itu bas ekspres yang saya naiki berhenti di jalan besar depan Pasar Seni (Central Market). Biasanya bas itu akan melalui Jalan Pudu sebelum ke Puduraya (ini cerita lama, sekarang ini di Stesen Bas Sementara Bukit Jalil).

Saya pun ambil kesempatan, turun dan bergegas ke belakang kawasan Pasar Seni untuk mendapatkan bas. Biasanya saya menaiki LRT tetapi hari itu 'teringin' pula melihat-lihat suasana kosmopolitan KL daripada dalam bas.

Belum sempat saya menaiki bas, terasa 'teringin' pula membuang air. Saya pun bergegas ke 'Central Market' kerana saya tahu di situ ada tandas awam. Mendekati saja tandas itu, terkejut juga saya kerana kawasan itu sudah diubah suai. Tidak tahulah saya sama ada ia ada kaitan dengan Tahun Melawat Malaysia.

Tandas awam di 'Central Market' bukan lagi sembarangan tandas. Ia bukan lagi tandas yang saya kenali dan pernah gunakan beberapa kali sebelum ini. Ketika itu kadar 'tol' tandas adalah RM0.30. Ketika itu 'jurutol' duduk dekat sebuah meja. Duit diletakkan di atas meja sebelum seseorang itu masuk.

Untuk memasuki tandas 'Central Market' sekarang ini seseorang itu perlu melalui penghadang yang diperbuat daripada besi. Kalau tidak silap perkiraan saya ada tiga lorong. Ada peti duit pada setiap 'pintu'. Apabila dimasukkan duit dalam 'peti' itu, barulah palangnya terbuka.

Jika dulu bayaran masuk RM0.30 sen, kini sudah meningkat RM0.50. Lima puluh sen untuk buang air kecil, aahh betapa mahalnya kos hidup sekarang ini. Tetapi saya tidak mempunyai pilihan lain, jadi masuklah saja.

Apabila masuk, saya tidak saja buang air tetapi melakukan tinjauan. Maklumlah saya bayar 50 sen. Saya tengok sana, tekan sana, uji segala alat yang disediakan. Mula-mula saya teliti sinki basuh. Ini bukan sinki batu biasa yang berwarna putih tetapi macam tempayan. Ada lima atau enam tempayan, saya tidak berapa perasaan.

Selepas membasuh muka saya menjengok wajah di cermin. Alahai, di bingkai cermin ada ukiran, macam jurai-jurai akar kayu. Terasa saya seolah-olah ibu tiri 'Snow White' yang melihat wajahnya dalam cermin ajaib.

Kemudian saya ke jamban pula. Sebelum.....saya 'testing' dulu. 'Flush'nya kira okay. Untuk 'flush' kena tekan butang. Tetapi macam mana nak cebuk. Saya tercari-cari kepala paip. Tidak ada. Gelang getah (hos) pun tidak ada. Saya cuba tekan satu lagi butang yang ada.

Terperanjat saya, apabila tertekan saja, air deras terpancut dari mangkok tandas. Nasib baik tak kena pakaian saya. Kalau tidak, alamat lencunlah saya ke pejabat. Rupa-rupanya kalau seseorang itu hendak 'cebuk' dia perlu membasuh dengan air yang 'ditembak' dari lubang tandas. Sungguh pelik dan ajaib saya dengan kaedah 'cebuk' baru ini.

Dulu saya pernah melalui pengalaman yang sama di PWTC. Tetapi air tembakan di PWTC itu lembut saja tidak sederas dan selaju di 'Central Market'. Sebelum beredar dari 'tandas magik' itu, saya baru perasan pintu tandas diperbuat daripada kayu. Ia menggunakan selak kayu. Aduhai sungguh antik dan unik. Tembok tandas pun bukan batu biasa tetapi berukir-ukir.

Apabila memandang ke atas pula kelihatan lampu antik. Aduhai nak.........pun perlukan 'environment' (persekitaran) yang sungguh luar biasa dan unik. Senanglah 'berak' dalam suasana begitu agaknya. Kalau macam tu, baiklah habiskan masa 30 minit dalam tandas, bukan seperti biasa, satu minit pun sudah memadai.

Demikianlah, betapa hebatnya kemajuan di kota KL ini. Dalam kerajaan hebat berkempen...oh tandas, oh tandas, oh tandas seperti dibuktikan dengan kesediaan TPM merasmikan sebuah tandas di Bukit Bintang, pihak swasta mengambil kesempatan menyediakan kemudahan yang ternyata bukan benar-benar diperlukan rakyat.

Rakyat hanya mahukan tandas bersih dan senang untuk mereka 'membereskan urusan masing-masing' bukan tandas berciri tradisional. Rakyat tidak perlukan itu semua. Rakyat mahu tandas yang caj penggunaannya murah, bukan 50 sen atau RM2.00. Rakyat mahu diperbanyakkan tandas awam yang bersih dan bukan menyediakan tandas eksklusif atau 'first class'. Rakyat ada banyak kerja, tidak mahu menikmati 'environment' hebat dalam tandas yang perlukan masa sejam atau dua jam.

Tandas-tandas 'glamour' ini mungkin untuk mendatangkan rasa senang hati di kalangan pelancong. Kononnya akan berkata-katalah di hati mereka: "ohh, hebatnya tandas orang Malaysia. Jika tandas sudah hebat tentulah orang Malaysia lagi hebat'. Jika tandas sudah 'first class' tentulah mentaliti orang Malaysia juga 'first class'.

Waduh, ini bertepatanlah dengan peribahasa Melayu - anak kera di hutan disusui, anak di riba dibiarkan kematian! Satu persoalan di sini, betulkah banyak prasarana di KL yang akan menyambut ulang tahun Hari Wilayah pada 1 Februari ini adalah untuk penduduk awam atau untuk orang kaya, berkuasa, VIP dan pelancong mewah (bukan backpackers)?

Akhir kata, selamat menyambut Hari Wilayah Persekutuan.

No comments: