Thursday, February 3, 2011

Merlimau realisasikan anak sulung PAS Melaka?

***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"...Barangsiapa yang berpegang teguh kepada Allah, maka sesungguhnya dia telah diberi petunjuk kepada jalan yang lurus." (Ali Imran: 101)
***

PILIHAN raya kecil N27 Merlimau yang insya-Allah akan diadakan tidak lama lagi, membuka peluang kepada PAS Melaka melahirkan anak sulung yang diidam-idamkannya sejak sekian lama.

Ini peluang terbaik PAS Melaka merealisasikan impiannya kerana jika ditunggu pilihan raya umum ke-13, PAS bukan saja perlu melahirkan anak sulung tetapi kembar sembilan bagi membolehkan ia menerajui kerajaan negeri.

Perkara ini saya sentuh dalam artikel saya di ruangan ini sebelum ini. Apa yang saya maksudkan dalam artikel itu PAS negeri tidak boleh melakukan gerak kerja seolah-olah mahu melahirkan anak sulung saja sebaliknya perlu bekerja terlalu keras bagi memenangi sekurang-kurangnya sembilan kerusi untuk membolehkannya dengan rakan Pakatan Rakyat - Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP - membentuk kerajaan negeri yang diterajuinya.

Namun dengan adanya pilihan raya kecil Dun Merlimau berikutan kematian penyandang kerusinya, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan pada 20 Januari lalu, PAS Melaka tidak perlu melahirkan anak sulung kembar sembilan tetapi cukuplah anak sulung tunggal yang akan menggembirakan penyokong dan pendukungnya.

Jika kerusi Dun Merlimau ini dapat diraihnya, PAS Melaka mencatat sejarah berjaya menghantar wakilnya ke Sidang Dun Melaka buat pertama kalinya sejak 1974. Ketika itu PAS Melaka ada wakil di Dun tetapi parti itu adalah anggota komponen Barisan Nasional (BN). Sudah pasti sejarah ini tidak mahu diingati ahli dan pemimpin PAS, jadi melalui pilihan raya kecil Merlimau ini pulang terbuka luas baginya membuka lembaran baru di Melaka.

Namun begitu laluan PAS Melaka bukan mudah. Dun Merlimau (dalam Parlimen Jasin) yang mempunyai 10,471 pengundi adalah kubu kuat Umno. Peratusan pengundi Melayu di sini adalah 64.69 peratus, Cina 21.11 peratus, India 14.16 peratus manakala kaum-kaum lain 0.04 peratus. Pada pilihan raya umum 2008, Mohamad Hidhir menewaskan calon PAS, Jasme Tompang dengan majoriti 2,827 undi.

Sebahagian besar pengundi Melayu dikenal pasti sebagai penyumbang tetap dan setia kepada kemenangan calon Umno-BN namun dengan peratusan orang bukan Melayu yang tinggi (kira-kira 35 peratus), harapan PAS boleh dicapai jika ia berjaya membolot undi dan sokongan mereka.

Sokongan pengundi bukan Melayu kepada PAS di Melaka ketara di kawasan bermajoritikan Melayu tetapi mempunyai pengundi bukan Melayu yang besar. Pada pilihan raya umum 2008 misalnya, di kawasan pengundinya bercampur-campur seperti Dun Bukit Baru yang pengundi Melayunya hanya kira-kira 55 peratus, Ketua Menteri Mohd Ali Rustam hanya menang dengan majoriti 2,708 undi.

PAS juga mencatat keputusan baik di kawasan pengundi bercampur-campur seperti di Lendu dan Durian Tunggal di mana pengundi Melayunya kira-kira 70 peratus tetapi tidak di kawasan bermajoriti Melayu yang tinggi seperti Tanjung Bidara (pengundi Melayunya 93 peratus), Ayer Limau (89 peratus) dan Serkam (87 peratus).

Berdasarkan hujah ini, jelaslah PAS mempunyai harapan tinggi di Dun Merlimau kerana pengundi bukan Melayunya besar (35 peratus). Jika PAS dapat meraih separuh daripada undi orang Melayu dan tiga perempat undi bukan Melayu, insya-Allah akan lahirlah anak sulungnya di Melaka!

Berikut tersiarnya dengan artikel saya sebelum ini, beberapa pembaca telah membuat komen mengenainya. Pemimpin, ahli serta penyokong Pas Melaka perlu bersedia menerima teguran ini, setidak-tidaknya bagi membantu mereka menghadapi pilihan raya kecil Merlimau yang insya-Allah akan melahirkan anak sulung mereka.

* Perjuangan ikhlas untuk menang pilihan raya dengan PAS menggantikan Umno memerlukan diri sendiri yang mahu berubah. Di samping kita marah dengan sikap sikap Umno mentadbir negeri, pada masa yang sama, kita lihat, perbaiki, perkemaskan, perbaharui sikap kita yang perlu dibaiki.

Kita ‘check’ (semak) diri kita sama ada amalan solat kita lengkap lima waktu, puasa Ramadan kita bagaimana pula, cara kita mendapat rezeki bagaimana, kecintaan kita kepada dunia bagaimana? Perubahan untuk menukar kerajaan memerlukan kita sendiri seiring perubahan diri yang lebih baik sebab politik itu ialah siasah.

Pengorbanan wang, tenaga, harta, pandangan antara elemen yang perlu untuk menang pilihan raya. Jiwa yang tabah juga perlu ada dalam perjuangan politik.

Kita tak boleh mengharapkan orang mempunyai ketabahan sebagaimana yang kita ada. Dunia sekarang ni pelik, manusia mengejar wang. Saya pernah berpengalaman di Selangor dulu sebelum pilihan raya masuk kampung untuk memberi penerangan, bergaul dengan masyarakat agar pada pilihan raya umum ke-12 lalu Umno ditewaskan.

Pernah sampai tahap duit dalam seluar ada RM3.50, dalam perjalanan, ada pulak orang yang nak meminjam RM10, macam mana tu…terpaksa gagah sekejap berjumpa kawan lain untuk pinjam duit RM10, kemudian dengan duit itu berilah pinjam kepada orang yang hendak meminjam daripada saya.

Melawan Umno seumpama durian melawan mentimun, tentu ada calar balar, dihina biasa, tak ada duit biasa di pihak kita, jika ada duit itu dah jadi luar biasa.

Jika PAS Melaka mampu, ada ketabahan sebagaimana yang pernah saya rasa, insya-Allah bukan satu kerusi sahaja,malah kesemua kerusi yang Umno tandingi melalui BN, insya-Allah Pas akan menang.

* PAS Melaka dah tak 'terarah'...lihat saja Markas Negeri...dulu penuh aktiviti....sekarang LESU.

Di Bukit Katil...ahlinya terlalu 'sukar' untuk memasyarakatkan PAS...masih lagi ada mentaliti "orang sebelah sana"…kenapa masih begitu?

Ustaz Kamarudin Sidik (Ketua Pemuda PAS Negeri) pun satu hal...ubahlah sikit penampilan....mesra rakyat sikit...jangan terlampau 'serius'....nak 'tackle' rakyat usaha mesti lebih sikit.

* Cubalah tanya Ustaz Mujahid Yusuf Rawa, bagaimana perkembangan Pas/Islam di Pulau Pinang setelah Lim Guan Eng jadi Ketua Menteri. La ni DAP, PKR atau PAS semunya tak boleh menang sendirian.

No comments: