Friday, November 5, 2010

Corat coret Tanah Suci

***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Hai orang-orang yang beriman, penuhilah seruan Allah dan Rasul apabila Rasul menyerumu kepada suatu yang memberikan kehidupan kepadamu. Ketahuilah sesungguhnya Allah SWT membatasi di antara manusia dan hatinya dan sesungguhnya kepada-Nyalah kamu akan dikumpulkan." (Al-Anfal 24)
***

KEHIDUPAN akan bertambah ceria jika sesekali disulami seloroh dan kadang-kadang lawak bodoh. Hal yang sama tidak terkecuali di kalangan jemaah haji dan umrah.

Walaupun kebanyakan jemaah serius, bersungguh-sungguh dalam mencari keredaan Ilahi dengan menghabiskan kebanyakan waktu di masjid dan lokasi manasik haji, sesekali ketika berada di bilik, ketika membeli belah dan menikmati makanan sama ada di hotel atau restoren, terjadi adegan menggeletek hati.

Senario 1

Pada salah satu musim haji, saya ditempatkan bersama enam jemaah lain. Sekalipun jemaah diminta mengelakkan menyentuh politik kepartian, ada tidak peduli. Seorang rakan saja menyindir rakan-rakan lain, dengan mempromosi partinya dengan menyebutnya kuat-kuat.

Apabila ada saja kawan mengajak dia melakukan sesuatu, dia akan menjawab kuat-kuat. Contohnya, rakannya berkata: “Jom pergi masjid”, dia akan menjawab: “PAS, PAS.” Apabila ada rakan ‘berbulu’ dengan jawapan itu dia menyambung: “Ok, PAS, Ok PAS.”

Maka terkebil-kebillah rakan yang kurang senang tadi, dia tidak dapat berbuat apa-apa kerana jawapan tadi memang tepat, orang yang diajak ke masjid, menerima ajakan itu dengan menyebut ‘pas’ yang bermaksud ‘aku terima ajakanmu’.

Senario 2

Bagi sesetengah orang, memperbaharui wuduk adalah antara masalah besar di Masjidilharam. Ini kerana tandas dan tempat berwuduk bawah tanah adalah terlalu sesak pada musim haji. Ketika kemuncak, pada pintu tandas mungkin ada 10 orang sedang beratur, demikian juga di paip mengambil wuduk.

Suatu ketika, semasa beratur menunggu giliran mengambil wuduk, saya melihat dua jemaah di depan mengambil wuduk serentak dengan pergerakannya dilakukan selang seli. Seorang sedang membasuh muka, seorang lagi menadah air di tangannya, apabila orang kedua membasuh muka, orang pertama tadi sudah menghulurkan tangannya; demikianlah seterusnya sehingga selesai.

Apabila tiba giliran, saya berpasangan dengan dengan seorang lelaki India berjambang lebat. Inilah kali pertama saya mengambil wuduk cara begitu. Dia membasuh muka, saya menadah air di tangan; dia membasuh tangan, saya membasuh muka. Dia ketawa, saya pun ketawa. Demikianlah dalam keseriusan untuk beribadat, timbul suasana lucu, terasa nikmatnya persaudaraan sesama, susah dan senang diharungi bersama.

Senario 3

Di tanah air, ketika berada di restoren dan warung, sedap saja kita ‘bantai’ makanan di pinggan sedangkan makanan itu belum sah milik kita kerana kita belum membayarnya. Saya bertanyakan seorang ustaz akan hal itu, dia kata okey (tidak jadi hal) sebab sudah termaklum bahawa kita akan membayarnya kemudian.

Tetapi di Tanah Suci, jangan buat hal itu. Di kebanyakan kedai, BAYAR dulu, makan kemudian. Sekalipun, kita mahu makan di kedai, kita tidak boleh ambil makanan dan duduk-duduk enak menikmatinya sebelum membayarnya.
Pekedai Arab akan mengingatkannya dalam bahasa Melayu: “BAYAR dulu.” Lagi pun di sejumlah kedai, disediakan kaunter untuk kita membuat pembayaran ketika memesan makanan. Si Arab akan memberikan kita resit dan dengan resit itu barulah kita boleh mengambil makanan. Minuman pun sama, bayar dulu, dapatkan resit, kemudian barulah kita boleh dapatkan minumannya.


Senario 4

Apabila balik daripada solat di Masjidilharam, salah satu kenikmatan adalah merasai aiskrim. Memang aiskrim Arab sedap, apatah lagi dengan cuaca gurun Arab yang membahang.

Suatu ketika semasa balik, saya terkejut besar apabila peniaga aiskrim melaung memanggil pelanggan dalam bahasa Melayu: “Sedap, sedap, jilat, jilat.” Terkejut besar saya, Melayu mana yang ajar penjual aiskrim Arab bercakap begitu?

Ramai pekedai pandai bercakap dan faham bahasa Melayu. Ketika membeli-belah, berhati-hati dengan perkataan yang diucapkan kepada isteri atau rakan. Jika kita membebel, mengumpat atau merungut harga barangan mahal, si Arab akan tiba-tiba bercakap: “Murah, murah Siti Rahmah, tak mahal!”

1 comment:

MoneyCome2u said...

Salamun alaikum encik Roslan.

Saya sentiasa mengikuti tulisan tuan terutamanya dalam ruangan Harakah dan blog ini.

Apa yang hendak saya tulis di sini bukanlah tujuan untuk menyesatkan tuan, tetapi hendak mengajak tuan berfikir dan mengkaji semula isi kandungan Al-Quran secara terperinci.

Saya mulai sedar perkara ini sejak dahulu lagi tetapi disebabkan saya dibesarkan dalam keluarga yang alim dan pernah belajar di sekolah pondok maka saya tidak berani mempersoalkannya secara terbuka.

Hasil penyelidikan dan perbincangan di internet, saya mulai sedar bahawa kebanyakan ajaran Arab adalah bertentangan dengan ajaran Tuhan. Memang sukar untuk menerimanya tetapi bila difikirkan secara logik dan merujuk kpd Al-Quran memang saya yakin bangunan 4 segi di Mekah itu hanyalah semata-mata berhala.

Surah Al-Baqarah ayat 125-127, jika dikaji semula, tuan akan mendapati sangat banyak perkataan asal telah diubah maksud oleh orang2 Arab yg membawa maksud 'mengerjakan haji di Mekah'

Hasil kajian, saya juga mendapati bahawa sesiapa yg menyembah, mempersimbolkan, mempertandakan atau memperantarakan Tuhan dengan 'sesuatu' akan dibakar dalam api neraka selama-lamanya.

Saya yakin, salah satu dari 'sesuatu' itu dimaksudkan ialah bangunan 4 segi di Mekah yg mana Tuhan jelaskan ciri-cirinya:

1-Diperbuat dari batu,
2-Ditutup dengan kain lambungan,
3-Mempunyai bumbung,
4 dan 3 tiang dibawanya.

Ciri 1 dan 2 tuan boleh kaji Al-Quran sendiri tp 3 dan 4 tuan boleh dapat dlm surah Al-Mursallat, ayat 29-31, maksudnya:

"Pergilah kamu mendapatkan azab yang dahulunya kamu mendustakannya. Pergilah kamu mendapatkan naungan yang mempunyai 3 cabang , yang tidak melindungi dan tidak pula menolak nyalaan api neraka."

Tuan boleh googleimages, apa sebenarnya di dalam Kaabah itu

Saya boleh tulis banyak lagi penipuan orang2 Arab dengan ajaran Tuhan sebenarnya tapi disini hanyalah ruangan komen.

Saya tidak berani membicangkan hal ini secara terbuka kerana masalahnya orang2 Melayu Malaysia merupakan pengikut Arab yang paling setia di atas muka Bumi ini.

Silap2 saya boleh diISAkan. Tuhan menyatakan dalam Al-Quran, jika kamu berjalan di atas muka bumi ini, kamu akan mendapati majoriti manusia mempersekutukan Tuhan tetapi mereka tidak menyedarinya, dan kamu sekali-kali tidak dapat membantu mereka kerana hati mereka sombong.

Tuan boleh cari sendiri ayat ini.

Saya tak berkuasa untuk memberi 'hidayah' kepada sesiapa pun tetapi selepas membaca artikel 'Marilah kita bersatu lahirkan haji-haji muda' oleh Abdul Wahab Al-Hajj dalam Harakah keluaran terbaru, saya merasa ini memang sudah melampau dan berasa terpanggil untuk menulis di ruangan komen ini.

Mungkin tuan akan kata saya golongan sesat tapi bagaimana tuan berasa yakin bahawa tuan tidak pula sesat. Satu-satunya cara untuk membuktikan kebenaran ialah kita mesti berani mencari kebenaran itu walaupun kemungkinan hasilnya mengejutkan kita.

saya sarankan tuan melawat:-

www.mentalbondageinthenameofgod.wordpress.com/

Saya hanya mengajak tuan berfikir dan mengkaji semula isi kandungan al-quran itu secara terperinci. Hendak katakan saya golongan sesat atau tidak terpulanglah kepada tuan dengan syarat selepas tuan kaji semula ayat 125-127 dalam surah Al-Baqarah.