Monday, November 1, 2010

Apabila Utusan disamatarafkan dengan Harakah, Suara Keadilan...

Posted on 1 Nov 2010
***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan kamu menjalankan hukuman 'qisas' (balasan yang seimbang) dalam perkara orang-orang yang mati dibunuh iaitu; orang merdeka dengan orang merdeka, dan hamba dengan hamba, dan perempuan dengan perempuan." (Surah al-Baqarah, ayat 178)
***

DALAM kolum Dr Mohd Ridhuan Tee di Mingguan Malaysia (31.10.2010) bertajuk 'Sifat toleransi kerana Islam', beliau antara lain menulis: "Saya tidak bertujuan untuk mempertahankan Utusan, hanya diberi peluang untuk menulis dalam kolum setiap hujung minggu. Apa yang ingin saya suarakan adalah, akhbar Utusan tidak pula berkempen supaya memboikot akhbar Suara Keadilan ataupun Harakah. Walaupun tidak kurang hebatnya kedua akhbar ini mengkritik Utusan dan kerajaan.

"Atas nama kebebasan bersuara dan demokrasi, saya nampak akhbar Utusan lebih terbuka. Mungkin ada yang berkata, Utusan adalah akhbar Umno atau akhbar kerajaan BN. Jika begitulah keadaan; Keadilan, Roket dan Harakah, juga adalah akhbar parti.

"Berita-berita mereka, walaupun didakwa benar dan tidak ada putar belit, mereka tetap menentang dan mengkritik Umno dan kerajaan yang dipimpinnya. Malang sungguh akhbar orang Melayu terpaksa berhadapan dengan orang Melayu sendiri. Sedangkan akhbar orang lain asyik bekerjasama dan jarang bergaduh atau saling kutuk mengutuk. Apa yang jelas mereka saling sokong menyokong dan begitu bersatu hati mempertahankan hak-hak mereka."

TERIMA kasih Dr Riduan atas pandangan ini, apa yang ingin perbetulkan adalah Dr tersilap membuat perbandingan, menyamakan status akhbar Utusan Malaysia/Mingguan Malaysia dengan akhbar parti iaitu Harakah, Suara Keadilan dan Roket. Adalah tersasar untuk menyamakannya begitu.

Kalau tidak silap saya akhbar parti Umno adalah MERDEKA, yang dulu pejabat lama saya (NSTP) turut terbabit dalam penerbitannya. Akhbar ini tidak mendapat sambutan, diberikan percuma pun susah untuk diedarkan. Saya tidak tahu sama ada akhbar Merdeka ini masih hidup atau sudah mati.

Jika Dr menyamatarafkan akhbar Utusan Malaysia/Mingguan Malaysia pada kedudukan yang sama dengan Harakah, Suara Keadilan dan Roket, sebagai akhbar parti, Utusan Malaysia/Mingguan Malaysia perlulah antara lain;

1. Merayu, mengemis permit yang memang sukar didapati. Lihatlah bagaimana nasib akhbar Suara Keadilan, permitnya sudah digantung dan tidak diperbaharui sehingga hari ini. Jadi pertimbangkanlah untuk menggantung penerbitan Utusan Malaysia/Mingguan Malaysia.

2. Utusan Malaysia/Mingguan Malaysia adalah untuk ahli Umno saja. Sila tulis dengan perkataan besar di muka depan UNTUK AHLI UMNO SAJA.

3. Jika Utusan Malaysia/Mingguan Malaysia dijual pada umum, terpampang di kedai mamak, pihak berkuasa hendaklah merampasnya. Kilang pencetakan juga boleh diserbu dan naskhah akhbar ditahan, tidak dibenarkan untuk edaran. Sediakan satu rak khas untuk jualan Utusan Malaysia/Utusan Malaysia dengan tertera perkataan besar UNTUK AHLI SAJA. Dan ingat, jual akhbar Utusan Malaysia/Mingguan Malaysia di 'markas' Umno saja.

3. Sebagai akhbar parti akhbar Utusan Malaysia/Mingguan Malaysia hanya boleh diterbitkan dua kali seminggu. Kadang-kadang kekerapan ini ditarik balik sesuka hati menteri sehingga menjadi dua kali sebulan seperti dialami Harakah selepas pilihan raya umum 1999 sehinggalah pada Ogos 2008.

4. Akhbar Utusan Malaysia/Mingguan Malaysia perlu kerap diberi amaran kerana melanggar syarat permit, banyak cerita pasal perkauman, ini bahaya untuk keselamatan negara. Pengarangnya perlu kerap dihadapkan ke KDN untuk memberi keterangan dan diberi kaunseling termasuk gertakan dan tekanan.

5. Akhbar Utusan Malaysia/Mingguan Malaysia tidak dibenarkan sesuka hati 'mengiklankan dirinya' di siaran televisyen, malah di billboard dan papan tanda lain kerana akhbar Harakah, Suara Keadilan, Roket dinafikan hak ini.

6. Akhbar Utusan Malaysia/Mingguan Malaysia jangan dibacakan di kaca televisyen melalui slot Selamat Pagi Malaysia atau mana-mana siaran RTM atau TV3 dan sebagainya. Ini kerana tidak pernah dilihat atau didengari berita Harakah atau Suara Keadilan dibaca dan dihebahkan dalam rancangan pagi TV.

7. Akhbar Utusan Malaysia/Mingguan Malaysia tidak boleh dibawa ke pejabat, sekolah dan mana-mana premis kerajaan. Ini kerana propaganda akhbar parti seperti Utusan Malaysia/Mingguan Malaysia sangat bahaya. Orang mengepit akhbar Utusan Malaysia/Mingguan Malaysia perlu dipandang secara sinis kerana membawa sebuah akhbar 'bahaya'.

8.Pemerintah boleh mengarahkan Utusan Malaysia/Mingguan Malaysia tidak dijual di tempat tertentu seperti mana Harakah, Suara Keadilan, Roket tidak boleh dijual di Melaka Sentral. Kalau ada pekedai yang degil, PALANG saja kedai mereka!

9. Wartawan akhbar Utusan Malaysia/Mingguan Malaysia adalah wartawan akhbar parti. Oleh itu mereka dihalang daripada membuat liputan pada majlis tertentu seperti mana wartawan Malaysiakini diusir daripada Perhimpunan Agung Umno di PWTC.

10. Akhbar Harakah dan Suara Keadilan tidak pernah menyiarkan keputusan empat nombor ekor (JUDI) atau SMS mengenainya. Oleh itu Utusan Malaysia/Mingguan Malaysia mesti mencontohi akhbar parti ini, berhenti daripada 'memakan duit hasil JUDI'. Bersihkan akhbar daripada judi seperti wartawan Utusan mahu kerajaan negeri Pulau Pinang lakukan. Tidak guna berkhutbah bahana judi dalam rencana agama atau KOLUM tetapi akhbar masih menyiarkan keputusan EMPAT NOMBOR EKOR. Cakap mesti serupa bikin. Penulis kolum perlu berdakwah kepada pengarang, wartawan dan pekerja dulu sebelum berdakwah kepada masyarakat di luar.

11. Akhbar Harakah dan Suara Keadilan (yang sudah dimatikan, tetapi insya-Allah akan bangkit), tidak ada menyiarkan gambar artis-artis yang menunjukkan aset yang sepatutnya disembunyikan seperti buah dada dan kaki seksi, tetapi Utusan Malaysia/Mingguan Malaysia gemar berbuat demikian. Harap berhentikan kerana ia memberi kesan buruk kepada ahli-ahli Umno yang gemar membaca akhbar ini.

Demikianlah antara perkara yang perlu dilalui oleh Utusan Malaysia/Mingguan Malaysia yang digambarkan oleh Dr Riduan sebagai sama taraf dengan akhbar Harakah, Suara Keadilan dan Roket.

Moga-moga Dr Riduan insaf bahawa Utusan Malaysia itu dibaca oleh semua golongan masyarakat termasuk anak-anak di bangku sekolah, maka akan terjojollah bijik mata mereka melihat gambar buah dada artis yang disiarkan oleh Mingguan Malaysia terutama dalam seksyen Pancainderanya!

No comments: