Thursday, August 12, 2010

Hantu perosak dunia pendidikan bermaharajalela

***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Bandingan (pahala) orang yang membelanjakan harta mereka pada jalan Allah seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai dan setiap tangkai itu pula terdapat 100 biji, dan Allah akan melipat-gandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah maha luas (kurnia-Nya) lagi maha mengetahui." (Al-Baqarah 261)
***

DUNIA pendidikan (sekolah) semakin kelam-kabut, kata seorang guru kepada penulis. Lepas satu isu ke satu isu ditimbulkan pemimpin politik sedangkan yang lama belum diselesaikan. Pihak menanggung beban adalah guru yang bukan saja terbeban dengan gelagat orang politik yang menjadi hantu dunia pendidikan ini tetapi juga anak-anak murid yang semakin sukar diajar; ringkasnya kurang ajar.

Terbaru guru siswazah dibenarkan menyertai politik. Bunyinya macam pihak atasan begitu prihatin dan bersikap terbuka, namun jika difikirkan ia mendatangkan implikasi amat buruk.

Tentunya pada ketika Umno-BN memerintah, politik yang dibenarkan adalah politik Umno-BN, jadi dengan perubahan ini, guru-guru yang menyokong pembangkang usahlah berangan untuk melebarkan sayap; silap-silap haribulan dipulau dan dikirimkan ke pedalaman. Jadi tentulah cikgu berfikir, lebih baik diamkan diri, nanti dah pencen aktiflah seperti mana dilakukan ramai pesara guru.

Dulu pada ketika guru ini tidak dibenarkan aktif berpolitik, politik Umno termasuk Puterinya selalu masuk sekolah dan institusi pengajian tinggi untuk mempengaruhi pelajar, kelonggaran terbaru itu dibimbangi akan menyebabkan sekolah-sekolah akan menjadi sarang/markas Umno-BN.

Guru-guru pendukung Umno-BN akan berdendang di sekolah, dewan malah bilik darjah dan makmal akan bebas digunakan mereka menjalankan projek masing-masing. Bukankah ini menjadi cukup bahaya. Jika dulu dewan menjadi tempat mesyuarat agung Umno, nanti bilik guru pun jadi markas mereka. Umno apa peduli, masjid dan surau pun mereka salahgunakan untuk kepentingan politik sedangkan pemimpin mereka sendiri mencanangkan jangan gunakan masjid untuk tujuan politik.

Kenapalah agaknya dunia dan institusi pendidikan seperti sekolah dijadikan pemimpin Umno-BN untuk menunjukkan jaguh? Mengapa mereka kerap bertindak untuk mengubah keadaan kononnya? Misalnya, mengapa mereka pandai-pandai melontarkan pandangan untuk menghapuskan peperiksaan awam UPSR dan PMR?

Seorang pemimpin kesatuan guru berkata, dalam percubaan mereka untuk melakukan perubahan, mereka tidak pula menyatakan jawapan atau alternatif kepada cadangan itu sebaliknya menyuruh pihak bawahan membahaskannya.

Katanya, sepatutnya pihak berkenaan sudah menyiapkan syor, kajian, pilihan, dan jawapan berhubung cadangan itu tetapi nampaknya peserta diskusi membincangkan perkara yang belum ada. Misalnya, kalau dihapuskan UPSR dan PMR ini, apa pilihan yang ada. Ini masyarakat tidak tahu apa yang mahu ditawarkan, jadi teraba-rabalah mereka dalam perbahasan.

Ini samalah seperti idea seorang bekas PM dulu yang memaksakan penggunaan bahasa Inggeris dalam subjek Sains dan Matematik sedangkan kajian, pelan percubaan dan rancangan masa depan tidak ada lagi. Akhirnya, semuanya tidak menjadi, sekolah kembali ke pangkal jalan, budak-budak kembali menggunakan bahasa Melayu di sekolah kebangsaan dan bahasa ibunda di sekolah jenis kebangsaan.

Demikianlah mengapa dunia pendidikan gemar dikacau-kacau oleh hantu ini? Hantu-hantu ini mengharu-birukan dunia pendidikan, mereka ingat anak-anak murid dan guru-guru di sekolah itu ‘guinea pig’ untuk mereka melakukan ujian bagi membuktikan kehebatan mereka? Oleh itu, wahai hantu jangan mengacau lagi, nanti lebih banyak guru dan murid diserang histeria, rosak negara kita.


Hari ini dunia pendidikan anak bangsa kita amat huru-hara. Banyak hantu hidup dalam bidang ini, mereka menjadikan dunia pendidikan tempat untuk meraih populariti, lantas menjadi juara rakyat kononnya. Apabila tukar perdana menteri dan menteri, banyak perkara berubah, guru jadi pening kepala.

Dulu, ketika era PM Abdullah Ahmad Badawi, warga sekolah terutama cikgu diminta memahami dan kemudian menyerapkan fahaman Islam Hadhari di sekolah, kini mereka disibukkan pula dengan 1Malaysia. Islam Hadhari sudah tercampak ke mana, guru pun tidak ingat lagi 10 Prinsip Asasnya.

Kini guru diminta pula menghadam 1Malaysia. Mereka pun tidak faham apa itu 1Malaysia, tetapi kenalah buat-buat faham untuk disampaikan kepada anak murid.

Selain hantu dalam dunia pendidikan, warga pendidik juga terkesan dengan hantu-hantu yang berkeliaran di luar sekolah. Ini kerana hantu-hantu ini ada pengaruh besar ke atas anak-anak murid-murid mereka.

Antara hantu itu adalah hantu fitnah. Hantu ini adalah media massa. Surat khabar, TV dan radio adalah gengnya. Susah dipisahkan satu sama lain. Seolah-olah ada kerjasama yang amat erat sesama mereka. Hantu jenis ini percaya dia saja betul, lepas itu hasut orang percayakan dia. Dia buat ‘story’ memburukkan pihak lawan, kemudian siar gambar tak senonoh dan lucah.

Budak-budak sekolah cukup senang ditemberang oleh hantu media massa ini. Malah kadang-kadang mereka bersekongkol pula. Budak-budak sekolah pun sama jadi hantu, mereka lebih ‘advance’ pula, misalnya membuat penggambaran lucah dan menyebar-luaskannya dengan menggunakan telefon mudah alih dan komputer riba.

Demikian betapa banyak hantu mahu merosakkan kita, berdoalah agar hantu-hantu ini dimusnahkan pada pilihan raya akan datang. Biarlah mereka dipasung bagai syaitan dipasung pada bulan Ramadan. Jadi tidaklah lagi mereka berkeliaran di sekolah dan institusi pengajian tinggi!

No comments: