Tuesday, August 18, 2009

Keindahan Pulau Lumut (Indah) kian pudar

Baru-baru ini penulis mengunjungi rumah seorang saudara di Pandamaran, Klang. Dari arah selatan Lebuh Raya Utara-Selatan, penulis memasuki susur keluar ke KLIA dan Ipoh, seterusnya Lebuh Raya Kesas menuju Pulau Indah (nama lamanya Pulau Lumut).

Susah juga mencari rumah saudara di Pandamaran Jaya itu. Sejam penulis berpusing-pusing di Pandamaran, bertanya arah kepada hampir 10 orang. Memeranjatkan kerana hampir semua ditanya orang Indonesia dan Bangladesh. Mungkin benarlah dakwaan sesetengah pihak negara kita kini dipenuhi pendatang asing.

Di lebuh raya melihat papan tanda tertulis Pulau Indah dan Shah Alam (di mana PAS akan mengadakan Muktamar ke-55 pada 5-7 Jun ini), membuatkan penulis senyum sendirian. Kenangan di Pulau Lumut kira-kira 25 tahun lalu, menggamit penulis menukilkan sebuah kisah di sini.

Ketika itu Pulau Lumut sebuah kawasan hutan bakau dengan kampung-kampung Melayu menghiasai landskapnya. Tetapi hari ini, di sinilah terletak pelabuhan hebat bernama Inggeris, Westport. Selain itu, ada zon perindustrian bersepadu bernilai berbilion ringgit dan juga pusat pelancongan terkemuka.

Di sini juga ‘berpusat’ skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) yang memalukan negara itu. Diberitakan perbelanjaan modal (capital expenditure) Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) yang asalnya RM2 bilion akhirnya melonjak ke paras melepasi paras RM12 bilion dalam pembangunan PKFZ itu.

Kisah penulis di Pulau Lumut adalah pada 1984, selepas selesai membuat pendaftaran semester baru di UiTM. Bagi mengatasi kebosanan lantaran kelas pengajian belum bermula, penulis bersama seorang rakan ‘kamceng’, Zack, meninggalkan kampus Shah Alam, menuju Pelabuhan Klang dengan sebuah motosikal kapcai.

Selepas puas melepak di pelabuhan, pada petang itu kami menaiki bot penambang ke Pulau Lumut. Penulis teringatkan gambar lama, menunjukkan Sultan Selangor ketika itu, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (kini Almarhum) berbasikal di Pulau Lumut. Baginda mengayuh basikal di hadapan, diikuti pegawai-pegawainya. Gambar itu sungguh mengasyikan, menggamit penulis berkunjung ke Pulau Lumut.

Jika Sultan berbasikal di Pulau Lumut, tentulah kenderaan besar seperti kereta dan bas tiada di sana, demikian fikir penulis. Oleh itu alangkah seronoknya jika dapat ke Pulau Lumut. Penulis bertambah gembira apabila pemilik bot penambang mengizinkan kapcai dibawa bersama. Perjalanan ke Pulau Lumut mengambil masa setengah jam.

Kami kemudian meronda Pulau Lumut dengan kapcai itu. Memang betul di pulau itu tiada kereta. Laluan yang ada hanya boleh dilalui basikal dan motosikal. Kebanyakan penduduk menggunakan basikal, motosikal jarang kelihatan. Maka dengan bangganya, penulis dan Zack menyanyi, ‘berdondang sayang’ di atas motosikal, menjelajah pulau itu.

Ketika itu musim durian, banyaklah durian dimakan penulis dan Zack. Kaedah ‘makan free’ tidak susah, apabila tiba di tempat pengumpulan durian di dusun, buat-buatlah nak beli, tetapi apabila durian yang hendak dibeli itu sebiji atau dua saja, pemiliknya tidak mahu duit kami, sebaliknya menyedekahkannya.

Sibuk makan, kami tidak sedar hari sudah lewat petang. Kami bergegas ke jeti untuk pulang, malangnya diberitahu tiada perkhidmatan bot penambang selepas jam 6.00 petang.

Kami panik, di mana mahu bermalam di pulau itu. Senja itu, berdasarkan alunan azan, kami tiba di sebuah surau. Selepas solat maghrib, kami pun menuju ke penjuru masjid, mencari tempat untuk ‘landing’. Nampaknya terpaksalah kami bertemankan nyamuk dalam keadaan sejuk dan sepi di surau itu.

Namun sebelum isyak, kami berkenalan dengan seorang lelaki pertengahan usia yang kami panggil pakcik yang sedia menumpangkan kami di rumahnya. Selepas isyak, kami ke sana. Untuk makan malam, kami dihidangkan nasi, beberapa jenis lauk dan tempoyak. Selepas itu, kami dihidangkan buah durian.

Pada malam itu, pakcik itu menunjukkan kami album keluarganya. Dia menunjukkan gambar semua anggota keluarganya, termasuk seorang anak perempuan remaja yang katanya bersekolah asrama di Klang. Kami mengiya dan tersengih, tidak melayan sangat kerana mahu cepat tidur.

Esoknya, pagi-pagi lagi pakcik itu kejutkan kami. Kami mengambil wuduk menggunakan air dari tempayan. Selepas bumi disimbahi cahaya matahari, kami pun pergi mandi. Cara mandinya unik, tidak dapat saya lupakan.

Kami diminta menuruni sebuah tangga dalam sebuah perigi. Apabila kaki dan badan menyentuh air terasa begitu dingin sekali. Tidak sampai seminit kami sudah naik ke tanah, tubuh menggigil kesejukan.

Pagi itu kami bersarapan kuih muih berperisa durian. Kami dihidangkan buah durian lagi. Demikianlah kami makan durian sehingga tidak mampu makan lagi. Apabila pulang, pakcik itu mahu membekalkan kami dengan beberapa biji durian tetapi kami menolaknya dengan baik kerana tahu ia akan membebankan termasuk membawanya ke dalam bot penambang.

Memang, penduduk Pulau Lumut begitu baik hati. Alam semula jadinya indah, tidak banyak terusik. Kebanyakan penduduk berbasikal, itulah agak saya Sultan Salahuddin memilih menunggang basikal ketika melawat pulau ini.

Itu dulu, tetapi apa sudah jadi sekarang? Dengar khabar tidak lama dulu penduduk diberi tanah bakau persisiran pantai di atas nama Koperasi Pulau Lumut. Setelah menjual tanah diberi itu, setiap seorang ahli koperasi atau penduduk Pulau Lumut mendapat RM300-RM500.

Tanah yang dijual diletak pada nilai sangat rendah oleh pembeli yang juga merupakan proksi kepada pemimpin Umno bahagian Kapar. Cerita selanjutnya hanyalah sejarah berulang bagaimana kerja menjual tanah serta kepentingan orang Melayu dilakukan dulu, kini dan selamanya oleh Umno dan kuncu-kuncunya.

Kini Pulau Lumut sudah ‘terlalu maju’ sehinggakan namanya ditukar kepada Pulau Indah. Apa yang indah entahlah, penulis hanya dapat mengenangkan nostalgia manis di pulau bernama Lumut, 25 tahun lalu!