Friday, August 14, 2009

Jadikan gerakan Islam sandaran ummah sedunia

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, salam dan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Akhir-akhir ini kezaliman ke atas umat Islam semakin menjadi-jadi; terbaru sejumlah jemaah solat isyak Masjid Al-Furqan, Kampung Air Tempayan, Sungai Golok, selatan Thailand ditembak mati dengan kejam.

Berhubung perkembangan ini, kita menyambut baik desakan PAS melalui Presidennya, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang mahu tindakan keras diambil ke atas pihak yang melakukan keganasan tersebut.

Presiden PAS itu juga berkata pihaknya bersedia berperanan penting bagi menyelesaikan konflik selatan Thailand jika mendapat jemputan.

Tragedi terbaru yang menjadikan masjid sebagai sasaran, berlaku pada hari sama Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva melawat Malaysia dan memperbaharui komitmen mengakhiri konflik berlarutan sejak 2004 di wilayah bergolak itu.

Kejadian itu menambahkan jumlah korban yang kini lebih 3,700 orang dan masyarakat Islam di selatan Thailand bimbang kejadian lebih buruk akan menyusul semula dan ramai yang percaya kejadian terbaru didalangi pihak berkuasa.

Pada ketika Presiden PAS membuat tawaran berperanan dalam konflik selatan Thailand, kita tertanya-tanya akan sikap membisu negara dan umat Islam dan organisasi yang memayungi mereka iaitu Pertubuhan Persidangan Islam (OIC).

Organisasi yang ditubuhkan pada 1969 dengan keanggotaan lebih 45 negara kini, semakin sirna peranannya; malah tidak langsung bersuara dalam isu membabitkan ummah akhir-akhir ini seperti permasalahan Palestin, pelarian Lembah Swat (Pakistan), kekejaman rejim Yangon ke atas Muslim Rohingya dan nasib umat Islam golongan minoriti seperti di selatan Thailand dan Filipina.

Mengapakah OIC semakin lemah peranannya pada ketika umat Islam memerlukan kehadirannya? Jika dulu terdengar juga suara OIC dalam isu umat Islam di Bosnia-Herzegovina dan Palestin malah selatan Filipina tetapi kini ia benar-benar menyepikan diri.

Nampaknya OIC semakin tidak relevan; mungkinkah sudah sampai masanya untuk ummah memikirkan pendekatan alternatif agar umat Islam tidak berterusan diinjak-injak bukan saja di negara bukan Islam tetapi juga di negara Islam.

Sehubungan itu kita berpendapat usaha mesti dilakukan oleh pergerakan Islam seluruh dunia seperti Ikhwan Muslimin, Jemaat Islami dan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) bagi mendepani masalah ummah ini kerana kerajaan-kerajaan ummah hari ini dan OIC tidak berkesan dalam menangani permasalahan ummah sejagat.

Berkaitan perkara ini, kita menyambut baik usaha memantapkan pergerakan Islam termasuk dalam bidang ekonomi seperti penganjuran Kongres Antarabangsa Komuniti Muslim ke-18 di Istanbul, Turki anjuran Ekonomik ve Sosyal Arastirmalar Merkezi yang dihadiri sendiri oleh Tuan Guru Abdul Hadi yang diberi peluang berucap.

Kita berharap melalui usaha-usaha ini pergerakan Islam sedunia dapat dimantapkan, seterusnya mengambil peranan besar dalam memastikan kesejahteraan ummah selepas kerajaan-kerajaan umat Islam dan OIC gagal bertindak dengan berkesan.

Kita percaya ini dapat dilakukan, lebih-lebih Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama dalam ucapan bersejarahnya di Universiti Kaherah baru-baru ini, menunjukkan keazaman membaiki hubungan Washington-dunia Islam termasuk pergerakan Islam.

Kita percaya pergerakan Islam akan mempunyai tempat dan peranan besar dalam memastikan keamanan global selepas ini. Namun demikian, kita berharap ia tetap berhati-hati kerana sejarah dan perkembangan semasa menunjukkan banyak pergerakan Islam dikhianati.

Misalnya pada ketika Amerika menghulur ‘ranting zaitun’ pada masa yang sama sekutunya seperti Pakistan membedil habisan-habisan pejuang Taliban di barat laut negara itu yang menyebabkan kebanjiran 1.5 juta pelarian di Lembah Swat.

Dalam perang menghancurkan Taliban yang didakwa mahu melaksanakan undang-undang Islam yang keras di wilayah dikuasai mereka, Amerika diberitakan begitu bermurah hati menyediakan peruntukan AS$100 juta bagi membendung masalah pelarian. Tidakkah ada udang di sebalik batu di atas kebaikannya itu?

No comments: