Tuesday, March 31, 2009

Petang hiba 7 Mac di ibu kota

Kaki terpelecok masuk longkang ketika melarikan diri daripada tembakan gas pemedih mata – demikian antara lain tulis seorang rakan yang dulu sama-sama bekerja di sebuah akhbar arus perdana tetapi kini menjadi penulis bebas dalam e-melnya kepada penulis. Beliau menceritakan nasib dirinya ketika Perhimpunan 100,000 Rakyat Membantah Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) di ibu kota, petang 7 Mac.

Itu pengalamannya, bagaimana nasib penulis? Saya sampai di pekarangan Masjid Negara (di sebelah sisi Bukit Aman) kira-kira jam 1.00 tengah hari. Di dataran masjid, kelihatan orang ramai mengerumuni Sasterawan Negara (SN) Dato’ A Samad Said (Pak Samad).

Disebabkan terlalu ramai orang, penulis tidak dapat mendekati, tidak tahu butiran percakapan Pak Samad. Penulis perhatikan susuk Pak Samad agak uzur dalam ‘ketampanannya’ berbaju Melayu. Dia kelihatan terketar-ketar, dan segera penulis teringat antara lain kata-katanya bahawa pada penghujung usia, dia akan menggunakan saki baki umur memperjuangkan suara hati rakyat, hatta sanggup bergelar Sasterawan Rakyat dalam usaha memperkasa bahasa Melayu pada ketika sang penguasa menguncupkannya!

Di tangga menuju Masjid Negara, penulis melihat isteri Pak Samad, Rashidah Dahan (Kak Rashidah) yang sepejabat dengan penulis lebih 10 tahun lalu. Dia berpakaian putih dan disebabkan dia tinggi lampai (lagi pun dia perempuan dalam ribuan lelaki), dia tertonjol. Penulis mendekati dan menegurnya. Selepas bertanya khabar, penulis menghadiahkannya senaskhah buku ‘Dilema Seorang Wartawan Islam’ karya sendiri yang memang sengaja dibawa sebanyak lima naskhah hari itu.

“Kongsi baca dengan Pak Samad,” kata penulis, menghayun langkah ke masjid untuk solat Zuhur berjemaah. Selepas berwuduk, bertemu sekali lagi dengan kerumunan orang ramai dengan Pak Samad. Kali ini beliau bersama Dr Hassan Ahmad, Pengerusi GMP (Gerakan Mansuh PPSMI). Kedua-dua tokoh ini sama-sama veteran, mungkin ada yang fikir, mereka lebih layak duduk di rumah; tetapi mereka bersungguh-sungguh mahu mengepalai himpunan rakyat sebagai usaha mendaulatkan bahasa Melayu yang dirobek-robek penguasa.

Di belakang mereka, penulis melihat Prof Dr Shaharil Mohamad Zain (Timbalan Pengerusi GMP). Beliau tidak dikerumuni terlalu ramai orang, jadi saya berpeluang menyuakan senaskhah buku ‘Dilema Seorang Wartawan Islam’ kepadanya sambil berkata; “Saya dah lama nak hadiahkan kepada Dr…”

Selepas solat dan beberapa ucapan pemimpin di anjung masjid, orang ramai berarak menuju Istana Negara. Selain sedikit kekecohan di pintu keluar, keadaan berjalan lancar. Hujan gerimis tidak menghalang pergerakan rakyat. Ketika berjalan, saya perasaan Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, ada di depan.

Sambil berjalan, ada yang berteriak “Hapus PPSMI” manakala sebahagian lagi berzikir. Ketika berada di jejambat Jalan Mahameru (bahagian paling tinggi) saya menyisih ke tepi, memandang ke belakang. Masya-Allah, jalan raya dipenuhi manusia. Melihat ke depan dan ke belakang, saya anggarkan lebih 50,000 orang menyertai perarakan.

Orang ramai terus berjalan sehingga menghampiri sebuah jambatan (jalan atas), kira-kira 300 meter dari Istana Negara. Di atas jambatan itu menunggu trak Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) berwarna merah. Tiba-tiba terdengar bunyi derapan kasut dihentak serentak dengan kuat. Kemudian melayang di angkasa kapsul berasap, yang singgah di tengah-tengah ribuan orang sedang berarak itu.

Kepulan asap merebak dengan cepat. Orang ramai bertempiaran. Banyak lagi kapsul melayang di udara, mencecah bumi dan mengeluarkan asap berkepul-kepul. Itulah gas pemedih mata yang menyebabkan kulit bagaikan disengat-sengat manakala dada sesak.

Dalam keadaan kelam-kabut itu terserlah adegan kemanusiaan meruntun hati. Ada beberapa orang yang mempunyai bekalan air botol, mencurahkan air perlahan-lahan bagi membolehkan orang ramai membasuh muka, membasahkan tuala dan mengelap muka. Saya turut mencurahkan air minuman saya, beberapa orang menadah air itu.

Di bawah jambatan, seorang peniaga yang menggunakan van, membenarkan air mineralnya dalam beberapa kotak diambil orang ramai yang kesakitan setelah terkena asap yang menyebabkan kulit bagai disiat-siat, mata pedih, tekak terasa kering, dada sesak, manakala nafas seakan-akan putus.

Sekalipun terhalang, orang ramai meneruskan perjalanan. Ada mendaki cerun curam di sisi lebuh raya. Saya pun mengikuti mereka. Setelah berada di tengah-tengah lereng itu, saya terasa seperti tidak terdaya lagi. Mahu jatuh, nafas bagai mahu putus.

Terdengar di telinga saya, suara perempuan meminta tolong. Maaflah, saya tidak dapat menolong, diri sendiri pun hampir pengsan. Nasib baiklah seketika kemudian ada orang menarik tangan saya ke atas. Syukurlah, perempuan yang menjerit tadi juga diselamatkan beberapa pemuda.

Saya ingatkan di atas jambatan selamat, rupanya tidak. Lebih banyak lagi kapsul melayang, mengeluarkan asap berkepul-kepul. Saya melarikan diri menghala susur jalan, kemudian menyusup semak-samun menyusur tebing Sungai Klang.

Ketika berlari di tebing sungai, saya berfikir, saya berada di bumi Malaysia atau di bumi Palestin yang rakyatnya terpaksa menyusup sasap menyelamatkan diri daripada ledakan bom rejim Zionis. Hiba hati mengenangkan nasib rakyat diperlakukan bagaikan anjing semata-mata kerana mahu mendaulatkan bahasa sendiri.

Sejam kemudian selepas keadaan kembali tenang, saya menuju ke istana. Pemimpin GMP seperti Prof Emeritus Abdullah Hassan; isterinya Ainon Muhammad dan Dr Shaharil muncul dari arah istana.

Dr Shaharil berkata misi GMP sudah terlaksana, memorandum telah disampaikan. Dan bertambah hiba di hati penulis apabila terlihat Dr Shaharil masih memegang erat buku ‘Dilema Seorang Wartawan Islam’ hadiah penulis sekalipun buku itu sudah lencun dan hampir lunyai!

No comments: