Monday, March 30, 2009

Diat RM0.5 juta cegah nahas jalan raya

Malaysia adalah antara negara paling tinggi mencatatkan jumlah kemalangan jalan raya di dunia. Kadar kematian dianggarkan 4-5 orang sehari bagi seluruh negara.

Pada 2006 jumlah kematian akibat nahas jalan raya adalah 6,287 orang. Daripada jumlah ini penunggang dan pembonceng motosikal melibatkan 3,693 orang atau 58.7 peratus.

Statistik menunjukkan angka kematian akibat kemalangan jalan raya secara putaranya 6,000 orang setiap tahun. Pada tahun 2000, 6,035 orang mati dalam nahas jalan raya; 2001 (5,849), 2002 (5,891), 2003 (6,286), 2004 (6,228), 2005 (6,200) dan 2006 (6,287).

Walaupun pelbagai program keselamatan jalan raya seperti Ops Sikap dijalankan, jumlah kemalangan terlalu tinggi dan secara purata 200 mati pada setiap kali kempen. Kenapa ini berlaku dan kaedah apa boleh digunakan bagi mengurangkan kadar kemalangan seterusnya korban jalan raya?

Bagi merungkai persoalan ini, penulis membawa pembaca menghayati kelas pengajian agama (kuliah subuh) mingguan di sebuah masjid berhampiran kediaman penulis yang tuan gurunya membicarakan bab diat (pampasan) akibat daripada jenayah pembunuhan berdasarkan kitab Bahru Mazi syarahan Syeikh Idris Marbawi.

Hukum jenayah Islam terbahagi kepada hukum hudud, qisas dan ta’zir. Pada penulisan ini, penulis merujuk hukum qisas yang dari segi bahasanya bermaksud memotong dan dan dari segi syarak bererti hukuman yang ditetapkan oleh syarak melalui nas-nas al-Quran dan hadis-hadis Nabi s.a.w. kerana kesalahan-kesalahan melibatkan hak individu.

Kesalahan-kesalahan yang diwajibkan hukuman qisas ialah membunuh dengan sengaja dan mencederakan anggota tubuh badan seperti mata, hidung dan telinga.

Mengikut hukum qisas seseorang penjenayah mesti diikuti dengan hukuman yang sama sepertimana dia lakukan ke atas mangsanya. Kalau ia membunuh maka dia mesti dihukum bunuh. Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang maksudnya: “Dan Kami telah tetapkan atas mereka di dalam Kitab Taurat itu, bahawa jiwa dibalas dengan jiwa, dan mata dibalas dengan mata, dan hidung dibalas dengan hidung, dan telinga dibalas dengan telinga, dan gigi dibalas dengan gigi dan luka-luka hendaklah dibalas (seimbang). Tetapi sesiapa yang melepaskan hak membalasnya maka menjadilah ia penebus dosa baginya.” (Surah al-Maidah ayat 45)

Sementara itu diat adalah denda yang wajib dibayar kerana kesalahan jenayah sebagai ganti qisas. Kadar diat dikira mengikut bilangan unta iaitu harta yang paling bernilai. Kadar penuh diat 100 ekor unta.

Bagi jenayah membunuh dengan sengaja, ada dua hukuman iaitu qisas dan diat. Diat hanya boleh dilaksanakan jika dipersetujui oleh waris. Jika tidak, qisas bunuh dikenakan. Pemerintah tidak ada kuasa dalam pengampunan.

Pembunuhan separuh sengaja (seperti guru memukul murid dengan rotan, tiba-tiba budak itu mati), dikenakan diat 100 ekor unta manakala pembunuhan tidak sengaja (seperti seorang pemburu tertembak mati rakannya, dihukum membayar pampasan 100 ekor unta.

Hukuman bagi jenayah pembunuhan separuh sengaja dan pembunuhan tidak sengaja adalah diat sahaja. Qisas tidak dikenakan.

Sementara itu diat jenayah kerana mencederakan anggota ada pelbagai kategori seperti 100 ekor unta untuk anggota tunggal seperti terputusnya lidah, hilang akal, menyebabkan lumpuh seluruh anggota badan dan hilang keupayaan bersetubuh.

Pampasan 50 ekor unta dikenakan untuk anggota berpasangan, jika kedua-duanya terlibat maka diatnya 100 unta. Ia melibatkan salah satu daripada kaki atau tangan, mata dan telinga. Demikianlah ada pampasan lebih rendah jika membabitkan kecederaan lebih ringan.

Tuan Guru yang mensyarahkan bab diat ini mengambil masa beberapa minggu bagi menjelaskannya. Mungkin ia bab yang sukar; apatah lagi masyarakat Islam jarang didedahkan mengenainya manakala pemerintah belum melaksanakannya.

Tuan Guru terbuka untuk pertanyaan, dan penulis sempat bertanya, apakah jika berlaku sesuatu kemalangan jalan raya membabitkan mangsa yang terbunuh apakah si pelanggar atau orang mengakibatkan nahas itu perlu membayar diat.

Antara lain Tuan Guru menjawab, jika si pelanggar sengaja melakukannya; seperti dia sudah mengenal mangsa dan berhajat membunuhnya dengan melanggarnya bererti dia sudah melakukan satu pembunuhan, hukumannya adalah qisas bunuh. Dia akan dihukum mati, caranya dengan memancung kepalanya.

Kalau si pelanggar tadi, tidak sengaja (seboleh-bolehnya tidak mahu terbabit dalam kemalangan) tetapi nahas berlaku juga, dan mangsa dilanggarnya mati; bererti dia membunuh secara tidak sengaja. Apabila ini berlaku dia perlu membayar diat 100 ekor unta.

Dan apabila si pelanggar tadi, mengakibatkan orang dilanggarnya cedera, dia boleh dikenakan membayar diat 100, 50 ekor unta dan seterusnya.

Demikianlah dalam Islam, hukumnya yang datang daripada Allah SWT adalah menyeluruh; menyentuh soal kematian dan kecederaan termasuk dalam kemalangan jalan raya. Apabila hukum qisas dan diat ini dilaksanakan termasuk di atas jalan raya, tentulah pengguna jalan raya gementar dan berhati-hati memandu.

Membayar pampasan 100 ekor unta bukan murah, kerana kata Tuan Guru jika ditaksirkan seekor unta berharga RM5,000 seekor, seseorang yang membunuh secara tidak sengaja termasuk dalam kemalangan jalan raya, perlu membayar RM500,000 (RM0.5 juta).

Kalau dia mencederakan orang, dan diperintah membayar pampasan 50 ekor unta, bermakna dia perlu mengeluarkan RM250,000. Itu kalau seorang dicederakannya, kalau lima orang dan lebih, tentunya jumlahnya mencecah jutaan ringgit.

Jika hukuman qisas dilaksanakan, kemungkinan besar pemandu mabuk tidak berani berada di jalanan (lagi pun mereka sudah dikenakan hukuman hudud) manakala orang awam akan menggunakan jalan raya secara paling sopan dan ini insya-Allah akan menyebabkan kadar kemalangan jalan raya berkurangan.

Soalnya, bersediakah pemerintah melaksanakan hukum-hakam Islam yang menurut Tuan Guru adalah yang paling tepat untuk manusia kerana Dialah yang menjadikan makhluk, oleh itu Dia paling tahu apa yang terbaik bagi mereka!

No comments: