Thursday, February 5, 2009

Ustaz dipantau, artis dibenar melondeh diri

Pertanyaan seorang menteri di Parlimen kepada wartawan yang berbunyi: "Ketika berada di rumah, mahukah anda didatangi oleh pegawai yang bertanya 'sudahkah anda sembahyang lima waktu hari ini?'," baru-baru ini sungguh memeranjatkan.

Menteri itu mengemukakan pertanyaan itu bagi membuktikan bahawa tidak ada sebab untuk pegawai-pegawai penguat kuasa atau badan agama memantau perilaku individu yang didakwa sebagai berkelakuan kurang sopan atau melanggar norma agama.

Semuanya didasarkan kononnya ia melanggar hak asasi, melanggar hak demokrasi dan kebebasan individu. Kumpulan yang lantang dengan alasan mempertahankan hak asasi ini, semakin bersemarak sejak akhir-akhir ini selepas peristiwa di sebuah pusat hiburan yang menyaksikan seorang artis dan kawan-kawannya bebas selepas ditahan pegawai penguat kuasa sebuah jabatan agama.

Kumpulan ini terus lantang apabila mendapat sokongan apa yang digelar '50 NGO (pertubuhan bukan kerajaan) dan individu'. Di belakang mereka 'berdiri' tokoh-tokoh disegani, jadi tidak hairanlah mereka semakin berani, melakukan cabaran di sana sini.

Pada ketika Islam 'dilanyak' semahu-mahunya - daripada kuasa besar dunia kepada perbuatan 'si imam wanita' - kumpulan ini turut serta bergendang, dengan sokongan konco-konco mereka yang jelas memusuhi Islam atau mahu meletakkan Islam dalam penjara - bagaikan si burung dalam sangkar emas, hidup mewah tetapi tidak boleh berbuat apa-apa.

Apakah ertinya jika masjid indah tersergam di sana sini, tetapi ajaran Islam termasuk hukum-hakamnya 'terpenjara dalam kitab'. Bacaannya dilagukan dalam musabaqah dan tilawah sedangkan ajarannya tidak dijadikan panduan hidup.

Satu anologi yang layak difikirkan di sini ialah hujah seorang cendekiawan yang mengambil peranan surat atau memorandum sebagai contoh.

Katanya, jika seorang pegawai besar atau ketua jabatan mengutus surat atau memorandum kepada kakitangan bawahannya, apakah perasaannya jika mendapat tahu pekerja berkenaan membaca surat itu secara 'melagu-lagukannya' dan kemudian menyimpannya tanpa mengikut arahan atau melaksanakan apa yang diperintahkan dalam surat tersebut.

Tentulah pegawai berkenaan akan marah kerana surat atau memorandum yang diutus itu bukan untuk dibaca secara 'dilagu-lagukan' tetapi untuk dilaksanakan perintahnya.

Demikian juga al-Quran, diturunkan untuk menjadi panduan hidup manusia, bukan hanya untuk 'dilagu-lagukan' di pentas-pentas musabaqah dan tilawah. Segala yang terkandung dalamnya perlu dijadikan panduan hidup - bukan mengambil sebahagian yang disuka tetapi meninggalkan yang lain.

Dalam hal ini kita tertanya-tanya mengapa dewasa ini perintah dan ayat-ayat dan mengenai ancaman tidak menunaikan zakat begitu ditekankan sedangkan ancaman untuk ummah yang tidak menunaikan kewajipan lain diabaikan.

Papan tanda dan kain rentang mengenai kewajipan berzakat dipasang di tepi-tepi jalan dan persimpangan sedangkan boleh dikatakan tiada langsung amaran dan ancaman kepada mereka yang tidak solat, puasa atau berhaji.

Demikian juga tiada papan tanda atau kain rentang dipasang di tepi-tepi jalan bagi memberi amaran balasan buruk yang akan diterima oleh mereka yang mendedahkan aurat, berzina, berjudi atau minum arak.

Yang ada ialah papan tanda amaran mengenai bahaya merokok melalui kempen 'Tak nak' dan papan tanda 'tak ikat tali keledar dengan betul' yang dipasang di hampir semua halaman masjid di seluruh negara! Siapakah agaknya yang bertuah dapat kontrak membina ribuan papan-papan tanda di masjid-masjid ini?

Demikian juga kenapa tidak dipasang kain rentang yang menyatakan kewajipan sesebuah kerajaan atau negara Islam itu melaksanakan segala hukum-hakam Islam dan ancaman kepada pihak yang enggan berbuat demikian.

Juga kenapa tidak dihebahkan ancaman kepada kerajaan Islam yang enggan melaksanakan hukum hudud atau yang membenarkan kegiatan perjudian berleluasa dalam negara?

Satu hal yang sangat menghairankan kita ketika pemimpin kerajaan termasuk menteri yang beriya-iya sangat tidak mahu penguat kuasa agama bertindak ke atas individu dan kumpulan yang disyaki berkelakuan sumbang, pihak berkenaan begitu ghairah untuk memantau kegiatan kumpulan bergelar ustaz, ustazah dan tok-tok guru agama.

Adalah begitu memeranjatkan sudah terdapat masjid yang dipasang televisyen litar tertutup (CCTV) di dalamnya. Kamera CCTV tersebut dihalakan tepat di tempat ustaz atau tok guru menyampaikan kuliah.

Jadi ustaz atau tok guru terbabit, mahu atau tidak, terpaksalah membaca terus dari kitab-kitab rujukan kerana tahu mereka sedang dipantau sedangkan dulunya mereka bebas bercakap mengenai hal-hal yang berlaku dalam masyarakat.

Dulunya mereka bebas mengkritik apa yang tidak kena dalam masyarakat seperti pesta hiburan pada masa sambutan Hari Kemerdekaan, pembabitan orang Islam dalam perjudian, minuman keras dan aneka maksiat lain, tetapi sejak kebelakangan ini ustaz-ustaz ini 'sudah nampak slow sikit'.

Manakan tidak, kerana ustaz-ustaz ini faham, jika tersilap hari, mereka akan 'kehilangan kerusi mengajar' di masjid terbabit.

Demikianlah betapa 'serba boleh dan serba tidak bolehnya' negara ini. Antaranya artis dan pengunjung pusat hiburan alias maksiat tidak boleh dipantau, tetapi ustaz-ustaz, tok-tok guru perlu dipantau setiap masa!

Artis-artis bebas mendedah tubuh dan melondehkan seluar mereka dalam majalah dan surat khabar tetapi tok-tok guru agama akan dikecam hebat selepas berkata pesta hiburan adalah haram!

1 comment:

usoPkuChai said...

kata mereka, iman org2 alim kena dijaga takut nanti kesian tak dapat masuk syurga..

kata mereka juga, artis2 takpa.. diorg kan mmg tak masuk syurga.. biarlah..

kita nak kata apa lagi?