Monday, February 2, 2009

Artis, selamatkan diri sebelum selamatkan orang lain

Biasanya sebelum kapal terbang berlepas, pramugari akan berdiri di depan kabin, memberi taklimat keselamatan kepada penumpang. Dewasa ini pula, dalam kapal terbang besar dan sofistikated, taklimat itu dibuat melalui skrin di depan penumpang.

Antara lain sering diingatkan, pada saat-saat kecemasan seperti keperluan untuk menggunakan alat bantuan penafasan, seseorang dewasa itu (biasanya ibu bapa) dikehendaki memasang alat untuk kegunaannya sendiri sebelum memberi pertolongan kepada anak-anaknya.

Ini bererti seseorang itu perlu menyelamatkan dirinya dulu sebelum menyelamatkan orang lain. Hal ini mudah difahami kerana pada kebiasaannya 'orang yang sudah selamat, baru dapat menyelamatkan orang lain', 'orang yang berwang (orang kaya) dapat membantu orang miskin' dan 'orang berilmu dapat menyebarkan ilmunya kepada orang lain.

Ketika mengikuti pembelajaran agama pula kita sering diberitahu sedekah sewajarnya (lebih afdal) diberikan kepada anggota keluarga terdekat. Demikian jika ibu bapa susah, merekalah yang wajib dibantu terlebih dahulu.

Tetapi ada di kalangan kita yang melakukan sebaliknya. Misalnya, seorang suami mungkin gemar belanja kawan-kawannya makan sedap-sedap, bergolok gadai untuk sahabat tetapi untuk 'orang rumah' dan anak-anak, dia bersifat 'kedekut' pula. Orang lain diberinya makan 'sup daging tetapi anak bini diberinya makan tulang'.

Seorang suami mungkin bersopan santun kepada wanita lain (isteri orang), kata orang cakap lembut bagaikan lidah tidak bertulang tetapi dengan isteri sendiri, dia menunjukkan sikap bengis.

Demikian juga sikap seorang isteri yang lemah-lembut dengan suami orang (mungkin bos di pejabat) tetapi di rumah bagaikan singa kepada suami. Apabila si suami minta tolong buatkan kopi, dia mungkin berkata: "Buatlah sendiri!"

Apabila berhadap dengan senario ini, ingatlah pesan bijak pandai, 'selamatkan diri sendiri sebelum selamatkan orang' lain ataupun 'sayangkan diri sendiri sebelum sayangkan orang lain'.

Dalam isu tsunami yang menyentuh masa depan anak-anak yatim Aceh beberapa tahun lalu, kita tertarik dengan penjelasan pemimpin PAS mengenai nasib mereka. Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi menjelaskan keutamaan menjaga dan membesarkan anak-anak itu hendaklah diberikan kepada saudara-mara terdekat, jiran dan masyarakat setempat dan seterusnya kepada kerajaan.

Jika kerajaan tidak mampu, barulah boleh diserahkan kepada masyarakat Islam di negara jiran seperti Malaysia dan Brunei seterusnya ke negara Islam yang lebih jauh seperti Arab Saudi, Kuwait dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

Namun berita 300 anak-anak yatim yang sudah dihantar ke sebuah pusat kebajikan bukan Islam di Amerika sungguh memeranjatkan. Bagaimana mereka boleh berada di sana jika semua anggota masyarakat terutama pemimpin menjalankan tanggungjawab masing-masing secara berkesan?

Sebagai anggota masyarakat Islam, kita akan ditanya oleh Allah SWT apa yang telah kita buat dalam isu ini. Adakah kita hanya mendiamkan diri, membiarkan anak-anak orang Islam 'dilarikan' oleh kumpulan asing yang mungkin memesongkan akidah kanak-kanak berkenaan.

Dalam hal inilah kita perlu menunjukkan komitmen untuk membantu saudara-saudara kita bukan saja di bumi Aceh tetapi di serata dunia termasuk juga dalam negara.

Di dalam negara, kita bersyukur kerana banyak pihak prihatin untuk memberi bantuan. Mereka terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuklah golongan artis. Terbaru artis sanggup melelong barangan milik peribadi mereka untuk kutipan tabung amal rakyat Palestin (Gaza).

Bukanlah tujuan kita untuk mengkritik usaha baik artis dalam kerja-kerja amal mereka dalam mengumpul dana sebagai usaha membantu mangsa bencana, malah memujinya tetapi perlakuan sesetengah daripada kita 'menunjukkan kita tidak sayangkan diri kita sendiri'. Kita asyik berfikir 'bagaimana untuk membantu orang lain' sedangkan 'kita tidak mahu berfikir untuk menyelamatkan diri sendiri'.

Apa yang dimaksudkan 'menyelamatkan diri sendiri' ialah bagaimanakah akhiran hidup kita - adakah kita akan selamat pada masa depan (akhirat)? Jika mangsa tsunami atau bedilan Israel yang mati sudah jelas nasib mereka, bagaimana pula nasib kita yang hidup ini? Adakah nasib kita lebih baik atau lebih buruk?

Satu persoalan yang mahu dilontarkan di sini - apakah amal bakti kita (seperti menjual barangan cenderamata oleh sesetengah artis) dalam keadaan berpakaian 'tidak cukup kain' mempunyai nilai di sisi Allah SWT?

Marilah kita bersama-sama bermuhasabah diri, mengenangkan betapa kecil, atau tiadanya jasa kita kepada agama dan tanah air tetapi apabila kita 'tidak sayangkan diri' dengan menambahkan koleksi dosa, maka apakah ada lagi bahagian (saham kebajikan) kita di akhirat nanti?

Apabila mengenangkan hal-hal ini, insya-Allah, kita akan sedar bahawa sebenarnya kita tidak sayangkan diri kita sebaliknya kita mendekatkan diri kita kepada kebinasaan sekali pun kita diberi publisiti kononnya kita yang paling hebat menabur bakti!

No comments: