Tuesday, January 5, 2010

Melakukan korban Aidiladha di Kemboja

***
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Hai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi yang adil, dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan." (al-Maidah 5:08)
***

PADA Hari Raya Haji tahun 1429 Hijrah, saya berkorban seekor kambing di kampung halaman. Seminggu dua selepas itu, saya membuat sebuah tabung khas korban; berazam menyimpan sedikit demi sedikit untuk membiayai korban tahun 1430 Hijrah.

Hajat hati hendak berkorban seekor kambing sebab kosnya dalam lingkungan kemampuan diri sendiri. Tahun lalu saya membayar kira-kira RM600 untuk seekor kambing. Binatang itu ‘comel’ saja, maklumkah saya membelinya pada saat-saat akhir sedangkan ‘kambing-kambing gagah’ sudah ditempah orang. Jangan terkejut jika ada kambing berharga sehingga RM900 seekor.

Menjelang Aidiladha baru-baru ini, saya pun memecahkan tabung itu untuk mengira jumlah simpanan. Apabila selesai dikira, alhamdulillah jumlahnya kira-kira RM350. Berbaloi juga sebab kalau saya mahu berkorban seekor kambing saya hanya perlu tambah beberapa ratus ringgit lagi. Apa yang penting ‘wang pokok’nya sudah ada.

Dalam saya berkira-kira mencari seekor kambing iaitu dengan meninjau-ninjau kandang penternak atau peraih, seorang anak saya di sebuah IPT menghulurkan borang, merayu ibu bapa menyertai program korban pelajar di Kemboja. Mereka menawarkan harga RM250 bagi setiap bahagian lembu yang dikorbankan.

Tersentuh hati saya membaca borang rayuan program korban itu. Antara lain ditulis: “Kami menghabiskan masa selama empat hari tiga malam (program korban tahun lalu) di sebuah kampung yang daif (Kampung Juminik), yang keadaannya seumpama Malaysia 50 tahun dahulu. Kampung ini dihuni 1,900 keluarga orang Islam berbangsa Cham. Kami merasai hidup di rumah kampung yang tiada bekalan elektrik dan mandi menggunakan air yang dipam terus dari Sungai Mekong.

“Kami juga dapati kebanyakan penduduk kampung hanya makan daging sekali setahun. Itu pun dengan ihsan sumbangan rakyat Malaysia yang melakukan ibadah korban di Kemboja. Diagihkan 10 ekor lembu bagi penduduk Kampung Juminik. Dengan peruntukan 10 ekor lembu itu, setiap keluarga menerima 30 gram daging korban untuk dikongsi bersama.

“Pengalaman ini mengajar kami erti kemanusiaan sesama insan. Bagi membolehkan penduduk Kampung Juminik menikmati kehidupan lebih baik serta sempena kedatangan Hari Raya Korban, alangkah baiknya jika kita dapat menghulurkan bantuan bagi melaksanakan program korban di kampung tersebut.

“Justeru kami merayu mana-mana pihak yang sudi untuk turut serta mengambil bahagian mengerjakan korban yang akan kami salurkan kepada penduduk Kampung Juminik. Penduduk-penduduk kampung ini amat memerlukan daging korban ini berbanding rakyat Malaysia. Pastinya sumbangan korban kepada mereka sangat mereka hargai kerana ia merupakan rahmat kepada mereka.”

Isteri saya yang membaca borang rayuan itu juga tersentuh hati. Akhirnya kami sepakat berkorban seekor lembu sekeluarga seramai tujuh orang. Kosnya RM1,750. Jadi tahun ini, kami tidak berkorban di tanah air sebaliknya jauh di seberang laut, nun di Kemboja.

Program berkorban di Kemboja juga dilakukan pelbagai pihak. Sejumlah iklan sudah tersiar di dada-dada akhbar mengenai program itu. Selain pertubuhan sukarela, ada syarikat turut mengendalikannya.

Mereka melakukan program korban bukan saja di Kemboja tetapi di negara miskin dan dilanda peperangan dan bencana seperti di Palestin, Bangladesh, Filipina (Mindanao), Indonesia (Padang dan Aceh). Tidak ketinggalan juga yang mengadakan program korban di kawasan pedalaman negara kita seperti di Sabah dan Sarawak.

Penulis berpendapat, program korban di di negara dan kawasan miskin serta bermasalah, amat baik kerana daging korban itu dapat dimanfaatkan secara maksimum kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

Berdasarkan pengalaman penulis sendiri yang ada juga menerima daging korban, kadang-kadang daging itu tersimpan dalam peti sejuk sehingga berminggu-minggu lamanya.

Perkara ini tentunya kurang elok kerana daging korban itu tidak sewajarnya diperlakukan begitu; tujuan berkorban adalah semata-mata untuk mencari keredaan Allah SWT yang merangkumi membantu sesama anggota masyarakat yang kurang mampu.

Penulis pernah membaca rencana mengenai bagaimana pihak berkuasa di Makkah mengagih-agihkan daging korban yang terlampau banyak di sana. Katanya, selain disimpan dalam ruang beku, daging itu ditinkan untuk dihantar ke negara-negara yang penduduknya miskin seperti Somalia dan Habsyah.

Mungkinkah pada masa depan, daging korban yang banyak di tanah air kita, selain daripada diagih-agihkan di kalangan penduduk setempat, ditinkan secara meluas untuk dihantar kepada golongan yang lebih memerlukan.

Berhubung perkara ini, penulis juga terbaca sebuah laporan yang menyatakan ada syarikat Malaysia telah bertindak sebagai agen bagi melakukan perkara ini. Orang ramai boleh membuat pesanan korban; syarikat ini akan menguruskan korban mereka termasuk mengetin daging, seterusnya menghantarnya kepada penduduk yang memerlukan dari serata dunia.

Melakukan korban secara moden ini diharap dapat membantu pengagihan korban secara lebih sistematik dengan penerimanya lebih menyeluruh tetapi kaedah tradisi yang dapat merapatkan ukhuwah penduduk setempat sewajarnya tidak dilupakan.

Kemeriahan upacara korban di desa dan bandar perlu dikekalkan dalam masyarakat kita. Tentunya melakukan korban di tanah air dan seberang laut ada kelebihan masing-masing tetapi hendaklah dilakukan secara ikhlas bukan bertujuan menunjuk-nunjuk kehebatan dan kekayaan masing-masing.

Pihak yang diamanahkan melakukan korban terutama di seberang laut perlu melakukannya secara betul kerana mereka yang berkorban tidak dapat menyaksikan penyembelihan dan pengagihan daging korban mereka. Pendeknya semua pihak perlu ikhlas, menyerahkan segala perkara kepada Yang Maha Kuasa.

*** Komen
Dalam isu kenaikan harga gula sebanyak 20 sen sekilogram, geli hati saya mendengar pemimpin negara berkata, buat apa dibagi subsidi sehingga berbilion ringgit bagi bahan tidak berkhasiat itu (gula), sedangkan ia boleh menjejaskan kesihatan rakyat. Jika begitu prihatin masalah kesihatan rakyat, kenapa semakin banyak dikeluarkan lesen tempat jual arak, malah rokok pun bebas dijual secara berleluasa. Apakah ini bermaksud, apabila fulus masuk kantung, soal kesihatan, halal dan haram tolak ke tepi, yang penting wang masyuuk!

Alasan menjaga kesihatan apabila berlaku kenaikan gula hanyalah mencari kambing hitam untuk dikorbankan, bukankah lebih baik melakukan kempen yang tidak menjejaskan kepentingan rakyat. Rakyat kebanyakan seperti orang kampung apabila bahan utama ini (beras, tepung, cili, gula dan kopi) sudah ada di rumah, mereka bersyukur. Apabila bahan ini ada, berasaplah dapur mereka, jika tidak minumlah kopi kerak belanga seperti diamalkan Nujum Pak Belalang dan anaknya Bat. Sekarang apabila sahaja harga gula naik, harga roti pun dah naik. Tak tahulah apa pulak naik selepas ini? Apakah ini menepati slogan 'Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan?' Ini namanya mengorbankan rakyat bukan berkorban untuk rakyat!

1 comment:

joe penang said...

Jika saudara ingin mengikuti program ziarah korban ke kemboja boleh ikuti ust Rohaizat. Setakat ni satu bahgian cuma rm200 ringgit. Program ziarah selama 4 hari hanya rm700, Jika daftar sekarang. Berminat? sila hubung/ym saya.

insan_fakir04@yahoo.com