***
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Katakanlah kepada hamba-hamba-Ku yang telah beriman, 'Hendaklah mereka mendirikan solat, menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami berikan kepada mereka secara sembunyi ataupun terang-terangan sebelum datang hari (kiamat) yang pada hari itu tidak ada jual beli dan persahabatan." (Q.S Ibrahim:31)
***
Refleksi
PADA tengah hari 31 Julai tahun lalu, penulis ke Masjid Negara untuk solat zuhur seterusnya membuat liputan perhimpunan rakyat anjuran Gerakan Mansuh ISA (GMI) bagi membantah akta zalim ISA. Sukar mendekati kawasan Masjid Negara apatah lagi memasuki pekarangannya kerana hampir semua laluan menuju ke sana telah ditutup pihak polis.
Bagaimanapun penulis berjaya menyelusup masuk dan di pekarangan masjid menyaksikan sejumlah orang ditangkap polis. Selepas solat zuhur, penulis mendekati sekumpulan orang ramai mendengar penerangan daripada Dr Hatta Ramli; tetapi secara tidak semena-mena sejumlah anggota polis melakukan rempuhan dengan hajat menangkap Bendahari PAS itu.
Baju Dr Hatta koyak, dia berjaya meloloskan diri dan tanpa dirancang beliau memulakan perarakan menghala Dataran Merdeka sedangkan mengikut perancangan, pembantah ISA dijadualkan berarak ke Istana Negara bagi menyampaikan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong.
Penulis pun turut sama dalam perarakan itu yang mengikut anggaran penulis disertai kira-kira 8,000 orang. Sambil berjalan, penulis terdengar bisikan peserta bahawa kumpulan kami itu akan bergabung dengan pembantah yang berhimpun berhampiran Pusat Beli Belah Sogo di Jalan Raja Laut.
Perarakan kami adalah secara aman. Selain melaungkan bantahan kepada ISA, ada yang bertakbir dan menyatakan slogan biasa seperti ‘Hidup Rakyat’ dan ‘Hidup Demokrasi’. Berapa prihatinnya peserta perhimpunan jelas terbayang apabila mereka mengingatkan satu sama lain agar tidak melanggar pasu-pasu bunga dan tanam-tanaman di pembahagi dan tepi jalan.
Selepas mendaki jejambat Jalan Kucing, kami dapati sejumlah anggota FRU menghalang perjalanan. Sebahagian besar berpatah balik, menuju Masjid Negara. Sebahagian meneruskan perjalanan di laluan susur berhampiran Dataran Merdeka.
Ketika inilah anggota FRU menembak gas pemedih mata dan air kimia ke atas rakyat yang berarak secara aman. Mereka termasuk kanak-kanak dan wanita berlari menyelamatkan diri. Ada yang cuba mendaiki cerun bukit menghampiri Bukit Aman dan ada cuba memasuki bangunan elit Kelab Diraja Selangor. Ramai yang sesak nafas, ada yang mahu muntah tetapi tidak dapat meluahkannya.
Kini selepas lebih tiga bulan kejadian (tembakan) tidak berhati perut itu, Menteri Dalam Negeri, Hishammuddin Hussein dengan bangganya mengumumkan di Parlimen bahawa sebanyak 937 butir peluru gas pemedih mata dengan kos RM89,000 telah digunakan oleh pihak berkuasa untuk ‘menembak’ rakyat yang bersenjata itu.
Bayangkan hampir RM100,000 dibazirkan untuk menembak rakyat sendiri. Menurut Hishammuddin, 663 anggota polis ditugaskan dalam kejadian itu manakala 442 anggota diarahkan bersiap sedia di beberapa lokasi yang ditetapkan di sekitar ibu negara.
Katanya lagi, 182 anggota FRU ditugaskan untuk menyuraikan perhimpunan. Daripada Cawangan Trafik pula seramai 22 pegawai dan anggota ditugaskan untuk mengawal kelancaran dan keselamatan lalu lintas di lokasi-lokasi yang dikenal pasti di Kuala Lumpur.
Berdasarkan pendedahan Hishammuddin, tahulah kita betapa hebatnya anggota pasukan keselamatan yang lebih 1,000 orang itu dikerahkan untuk menghadapi satu perhimpunan aman oleh rakyat. Selain itu, rakyat juga diawasi oleh helikopter polis yang berlegar-legar di udara dan sesekali turun mendarat di kawasan seperti Dataran Merdeka bagi menghantar bekalan termasuk makanan kepada anggota bertugas.
Hishammuddin hanya memberitahu kos peluru gas pemedih mata sebanyak RM89,000; tetapi bagaimana dengan kos lain seperti logistik termasuk penerbangan helikopter itu. Tentunya operasi ini ‘memakan’ duit rakyat yang bukan sedikit jumlahnya.
Natijahnya, apa hasil didapati daripada penggunaan duit kerajaan yang banyak itu? Pihak Hishammuddin tentu berkata ia dapat memastikan keamanan negara, peniaga pula mendakwa mereka kerugian besar pada hari itu sehingga ada membuat tuntutan melampau kemudiannya, manakala rakyat yang digulakan-gula oleh akhbar perdana dan televisyen tiga suku berkata ia dapat menyelamatkan negara daripada huru-hara!
Demikianlah alangkah ajaib dan anehnya di sebuah negara yang sering didakwa unik dan aman sentosa yang tidak pernah disaksikan di negara lain, terpaksa menembak hampir ribuan peluru gas pemedih mata berharga ratusan ribu ringgit ke atas rakyatnya sendiri yang tidak bersenjata pula sedangkan orang Palestin yang ‘dibantai’ rejim Zionis itu pun mempunyai senjata iaitu KETULAN BATU!
No comments:
Post a Comment