Saturday, January 23, 2010

Mengapa umat Islam terlalu apologetik?

***
Dengan Nama Allah Yang Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Orang-orang yang beriman lelaki dan orang-orang yang beriman perempuan, setengahnya menjadi wali bagi yang lain. Mereka menyuruh dengan makruf dan melarang daripada mungkar lagi mereka mendirikan sembahyang..." (Maksud Q.S. At-Taubah: 71)
***

DALAM kes serangan ke atas beberapa gereja, penulis tertanya-tanya mengapa umat Islam termasuk pemimpin negara terlalu apologetik dan defensif.

Seluruh negara masih tidak tahu siapa yang punya angka, polis masih menyiasat, tetapi kenapa sesetengah pemimpin beragama Islam cepat membuat kenyataan, menyatakan Islam tidak suruh melakukan keganasan termasuk menyerang gereja.

Pada pendapat penulis yang kurang arif ini, apabila kenyataan ini dibuat, secara tidak langsung sudah dinyatakan bahawa yang melakukan serangan itu adalah orang Islam sendiri dan bagi 'membasuh kesalahan' itu ditekankan bahawa Islam tidak mengizinkan serangan sebegitu.

Hakikatnya, kita masih tidak tahu siapa atau pihak mana melakukan serangan; kutu berahakkah, budak kurang akalkah, orang upahankah dan apa agama pihak penyerang. Mungkinkah kes-kes ini langsung tiada kaitan dengan isu nama Allah yang sedang hangat diperkatakan?

Berhubung perkara ini, saya teringat pengalaman saya mengendalikan berita-berita luar negara di sebuah penerbitan harian berbahasa Melayu beberapa tahun lalu. Pada suatu hari, unit luar negara 'digegarkan' dengan laporan letupan bom di Oklahoma, Amerika Syarikat.

Apabila berlaku saja letupan yang mengorbankan banyak jiwa, pihak berkuasa di sana tidak menolak kemungkinan ia dilakukan oleh sekumpulan yang mereka panggil 'pelampau Islam'. Ini tidak menghairankan kerana dalam banyak kes keganasan di dunia Barat, tuduhan segera dibuat kepada 'pelampau Islam'.

Pengalaman saya mengendalikan penyiaran berita ini ada saya rakamkan dalam buku saya 'Dilema Seorang wartawan Islam' dalam Bab 12 'Jalan Keluar'.

Antara lain saya menulis: Disebabkan tuduhan sudah dibuat kepada 'pelampau Islam', saya tidaklah berhajat menyiarkan berita itu secara besar-besaran. Saya fikir cukuplah untuk disiarkan sepintas lalu saja, sebagai berita di halaman luar negara. Buat apa kita hebahkan kononnya orang Islam itu 'gemar sangat mengganas'.

Malangnya hajat saya itu tidak kesampaian. Rupa-rupanya seorang pengarang atasan sudah menghidu berita itu, lantas memanggil saya saya ke biliknya. "Mana berita itu?" tanyanya.

Saya katakan kepadanya saya akan menyiarkan berita itu di muka dalam saja. Ia tidak begitu penting untuk disiarkan di muka hadapan.

Pengarang berkenaan merenung saya. Kemudian dia katakan dia tetap mahukan berita itu untuk disiarkan di muka satu. Siap dengan gambarnya sekali.

Saya ulangi bahawa bahawa berita itu tidak berapa penting. Lebih-lebih lagi pihak berkuasa di sana seolah-olah sudah menuding telunjuk kepada 'pelampau Islam' sedangkan siasatan masih diteruskan.

"Itulah yang kita mahu!" kata pengarang itu, membuat saya terkejut besar. "Kita mahu siarkan berita itu bagi menunjukkan sikap yang melampau kepada agama akan membawa kepada kejadian seperti ini. Golongan pelampau ini mesti ditolak," katanya merujuk kepada perkembangan yang berlaku dalam negara.

Segera terbayang di fikiran saya, kemungkinan pihak yang dikatakan sebagai pelampau itu. Mungkinkah pihak itu Al-Arqam, PAS dan seumpamanya. Saya tidak tahu, tetapi hakikatnya ketika itu negara masih hangat dengan isu Al-Arqam dan pilihan raya umum yang bakal diadakan (1995).

Sehari dua selepas letupan di Oklahoma itu, pihak berkuasa Amerika berjaya menangkap suspek serangan iaitu pelampau kulit putih Amerika. Sudah pasti dia tidak ada kena mengena langsung dengan apa didakwa sebagai 'pelampau Islam'. Pendeknya orang Islam dijadikan kambing hitam dalam peristiwa itu sedangkan mereka tidak ada kena mengena dengannya.

Perkara inilah yang saya bimbangkan ketika berlaku serangan ke atas gereja di negara ini. Orang yang melakukannya belum jelas, suspeknya belum tertangkap, tetapi kenyataan sesetengah pemimpin seolah-olah orang Islam yang melakukannya dan sehubungan itu mereka mengemukakan pandangan dari sudut Islam bahawa agama suci itu tidak membenarkan kelakukan seumpama itu.

Mereka mengambil sikap apologetik dan defensif, sesetengahnya bertindak terlalu jauh ke depan, sedangkan mereka yang melakukannya belum dihadapkan ke muka pengadilan.

Seorang pemimpin negara segera menyuakan RM500,000 kepada sebuah gereja; demikian begitu senang memberikan wang rakyat itu dengan akhbar melaporkan ia menunjukkan keikhlasan pihak berkenaan. Betulkah begitu kerana ikhlas atau tidak bukan manusia menentukannya.

Sepanjang sejarah tamadun Islam yang gemilang itu tidak ada catatan mengenai pembakaran gereja oleh umat Islam malah pemerintah hebat seperti Umar al-Khattab dan Salahuddin al-Ayubi tidak membenarkan sebarang rumah ibadat diapa-apakan.

Jadi jelaslah kepada kita umat Islam yang taat, yang cintakan agamanya tidak akan sama sekali menyerang rumah-rumah ibadat penganut lain. Hatta untuk menghina tuhan agama lain pun tidak dibenarkan, seperti yang terkandung dalam al-Quran kerana ia akan hanya menyebabkan Allah SWT dicerca oleh penganut agama lain sebagai tindak balas.

Apa yang berlaku di seluruh dunia hari ini, terutama di negara-negara Barat sejumlah gereja sudah dibeli oleh umat Islam untuk dijadikan masjid, ertinya semua dilakukan mengikut undang-undang dan perlembagaan. Pembelian gereja untuk dijadikan masjid di Britain adalah perkara biasa, di Norway dilaporkan sebuah gereja Protestan berusia 50tahun dibeli oleh masyarakat Islam Turki dengan kos tinggi 700,000 euro.

Jelaslah kepada kita bahawa penganut Islam yang taat akan sanggup berkorban harta demi kepentingan Islam seperti menjadikan gereja sebagai masjid yang semuanya dilakukan mengikut undang-undang, bukan melakukan serangan berbentuk penakut itu.

Seorang pemain bola sepak terkenal dari Mali, Frederic Kanoute sanggup mengorbankan setahun gajinya (dianggarkan AS$700,000) bagi memastikan sebuah masjid di bandar Seville, Sepanyol terus beroperasi daripada dijual kepada pihak berkuasa tempatan.

Kesimpulannya, keganasan tiada dalam Islam, oleh itu pada pandangan penulis tiada wajar untuk umat Islam terutama pemimpinnya mengambil sikap terlalu apologetik dalam isu serangan ke atas gereja ini. Mereka yang melakukan serangan ini tiada kena mengena dengan Islam kerana jika diimbas balik peristiwa lampau, masjid dan surau juga diserang dan dirobohkan.

Bukankah sedikit masa dulu masjid dan surau seperti Masjid Bujal di Terengganu, Masjid Fatimah Az-Zahra di Taman Kosas dan Surau Berembang di Selangor dipalang atau robohkan? Siapakah penyerang masjid dan surau ini? Kenapa tiada peruntukan RM500,000 untuk membaiki atau mendirikannya semula?

1 comment:

Naim said...

Salam, sdra Roslan.

pada hemat saya, apologetik itu adalah kesan keizzahan Islam sudah tiada dalam diri orang tersebut.

Nah, sekarang kita sudah lihat pula surau d Muar dibakar. Dan tentulah kita marah seperti mana kita marah kepada peroboh-peroboh surau di Trg dan Selangor atas dasar perbedaan politik juga.

Senario ini sungguh membimbangkan!

@naimisa