Thursday, January 7, 2010

Bertindak sebelum kerusi pemandu bas diduduki Mat Indon, Bangla!

***
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan kecelakaan kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu." (Ayat 6, Surah Al-Hujurat)
***

OLEH kerana hampir setiap hari saya menaiki bas ekspres untuk pergi dan balik dari tempat kerja, kisah-kisah berkaitan pengangkutan awam ini sudah lali pada saya. Pemandu kurang rehat, mengejar perjalanan (trip), mengabaikan keselamatan penumpang, manakala keadaan bas kurang baik termasuk sistem breknya kerap diutarakan sebagai penyebab kemalangan. Apabila ada kemalangan besar (ngeri), pelbagai pihak muncul, menyatakan pandangan, namun selepas itu semuanya senyap sehingga berlaku lagi nahas besar.

Tidak lama dulu saya berpeluang ke United Kingdom (UK), menaiki bas ekspres dan berkesempatan ngobrol dengan pemandu basnya. Seorang pemandu memberitahu dia hanya bekerja empat hari seminggu. Hanya empat hari seminggu! Ini bermakna dia mempunyai masa berehat tiga hari seminggu. Ini sesuatu yang lumayan dan mewah yang pasti tidak terfikir oleh mana-mana pemandu bas di Malaysia untuk menikmatinya.

Bolehkah pemandu bas kita hidup santai seperti pemandu di UK itu? Ketika duduk di belakang seorang pemandu bas ekspres di Malaysia, saya amat-amati kalendar yang digantung di depannya. Dia hanya memangkah satu hari dalam seminggu, itulah hari rehat (cuti)nya. Benar, daripada perbualan saya dengan pemandu bas itu, dia berkata kebanyakan pemandu bas bercuti rehat sehari seminggu, tetapi ada juga yang tidak ambil cuti pun sehingga sebulan.

"Kenapa jadi begitu?" tanya saya. "Sebab gaji pokok pemandu bas tersangat rendah. Adalah antara RM200 hingga RM300 sebulan," katanya dalam perbualan beberapa tahun lalu. Saya percaya angka itu tidak banyak beza sekarang berbanding dulu.

Jadi pemandu mengharapkan bayaran daripada 'trip' (perjalanan). Setiap 'trip' mereka mendapat bayaran tertentu. Jika banyak 'trip', lagi banyaklah wang 'masyuuk'. Jika tiada 'trip', misalnya mereka jatuh sakit selama sebulan, dapatlah mereka gaji pokok. Apa yang hendak dimakan dengan RM200-RM300 itu?

Kemudian, kerja memandu bas memakan masa panjang. Bagi bas KL-Melaka, setiap hari masa dihabiskan sekurang-kurangnya 12 jam yang 'trip'nya sebanyak empat kali perjalanan (pergi balik) berdasarkan purata tiga jam setiap satu. Itu dalam keadaan biasa, bagaimana jika berlaku kesesakan jalan raya luar biasa? Bagaimana pula jika pemandu dipaksa membuat enam perjalanan?

Susah juga kehidupan pemandu bas ini, fikir saya. Mereka bergaji rendah sebab majikan 'lintah darat' - memeras tenaga orang tetapi tidak mahu membayar upah sewajarnya. Tetapi apabila melihat terlalu banyak kerusi daripada orang dalam bas ekspres yang bergerak laju pada waktu pagi itu, sedarlah saya tuan punya bas ekspres pun menanggung risiko bukan kepalang, mungkinkan mereka tidak untung sebanyak mana, cukup untuk menanggung operasi saja?

Bas ekspres pada kebanyakan masa, terutama yang kurang popular dan menjalankan perkhidmatan di laluan kurang tumpuan dan masa kurang sesuai; biasanya ketandusan penumpang. Ada kalanya penumpangnya seorang dua atau beberapa orang saja tetapi bas tetap meneruskan perjalanan.

Berdasarkan pengalaman saya yang sudah berbelas tahun menaiki bas ekspres secara tetap; perkhidmatan bas hanya mendapat sambutan hangat pada hujung minggu, cuti sekolah, cuti umum terutama perayaan besar seperti Aidilfitri dan Tahun Baharu Cina. Pada masa inilah bas-bas yang dijadualkan waktu perlepasannya, kadang-kala tidak dapat menampung permintaan yang terlalu tinggi. Inilah masanya syarikat bas mengaut keuntungan besar.

Melihat pada bas-bas ekspres yang hebat-hebat sekarang ini, saya percaya sesetengah syarikat memperolehi laba lumayan. Kini semakin banyak bas ekspres dua tingkat, antaranya milik Transnasional, Durian Burung dan Sani Express yang terlibat dalam kemalangan pada 26 Disember lalu, mengorbankan 10 penumpang.

Bas-bas dua tingkat ini baru muncul setahun dua ini. Pengalaman menaikinya begitu mengasyikkan. Pada permulaan (pengenalan) dulu, ada bas yang bahagian bawahnya dijadikan tempat bersantai (bermesyuarat pun boleh) dan bahagian atasnya tempat duduk biasa penumpang. Kini hampir semua bas memperuntukkan tempat duduk penumpang di tingkat bawah dan atas.

Di Hentian Puduraya, bas dua tingkat tidak boleh masuk ke bahagian platform, jadi terpaksalah operasi mengambil dan menurunkan penumpang dilakukan di luar hentian tersebut. Keadaan ini menyebabkan pelbagai masalah; antaranya kesesakan dan salah faham penumpang.

Berhubung luahan pelbagai pihak berhubung kemalangan bas ekspres, penulis berpandangan begini: Prasarana pengangkutan awam semakin maju. Bas semakin canggih, lebuh raya semakin hebat, tetapi apakah tenaga penggendali bas turut diperkasa?

Begitu kerap saya mendengar rintihan pemandu bas, gaji mereka tidak cukup; ada yang tidak cukup rehat (terkejar ke sana sini, misalnya bas KL-Melaka selepas menurunkan penumpang berhampiran Melaka Sentral (tidak langsung memasuki stesen itu) bergegas ke Batu Pahat bagi mengambil penumpang di situ untuk ke KL pula. Ada pula pemandu bas, sebaik saja sampai ke sesuatu destinasi, diminta menggantikan tempat rakan yang tidak datang, dia terus memandu lagi tanpa berehat langsung!

Aduh memang pening memikirkan nasib pemandu bas ini, tetapi apakah rintihan mereka dikaji dan diambil tindakan pihak berkuasa? Apakah mereka boleh mencapai tahap pemandu bas di UK yang hanya bekerja empat hari seminggu tetapi pendapatannya sudah cukup untuk dia menanggung keluarga?

Sudah tentu jauh panggang dari api, tetapi buatlah sesuatu sebelum kerusi pemandu bas di Malaysia semakin ramai diduduki oleh Mat Indon, Bangla, Myanmar dan sebagainya seperti yang berlaku di Arab Saudi dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) yang kebanyakan pemandu kenderaan awamnya orang asing!
Sekarang ini pun, berdasarkan pengalaman penulis menaiki bas awam di KL, ramai juga pemandu dan konduktornya orang seberang. Mereka menjerit: "Destinasinya mana ya Pak!"

No comments: