Monday, January 18, 2010

Membuat duit dalam bidang hospitaliti

***
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
Ubaidillah bin Ubaid bin Umair mengatakan tentang jenazah; "Telah sampai padaku Rasululluah s.a.w. telah bersabda: 'Sesungguhnya mayat itu didudukkan dan mendengar langkah pengiringnya. Tidak ada yang berkata padanya kecuali kuburnya yang mengatakan, 'Celaka engkau hai manusia, bukankah aku telah menakutkanmu dengan kesempitanku, kebusukanku, kedahsyatanku dan cacing-cacingku? Lalu apa yang engkau siapkan untukku?'"
***

BERHAMPIRAN pejabat penulis terdiri megah sebuah bangunan besar hospital swasta ternama yang baru siap. Hospital ini hanya menunggu masa dirasmikan. Ketika mendongak ke langit, melihat bangunan 10 tingkat itu, penulis terkenang lawak seorang kawan.

Beliau berkata seorang sahabatnya dihantar ke hospital itu (dulunya di bangunan lama) untuk menjalani rawatan. Apabila mengetahui deposit rawatan adalah sebanyak RM1,000; si pesakit tiba-tiba berkata dia sudah sihat dan tidak jadi dirawat di situ.

Penulis tidak memeriksa kesahihan perkara itu; tetapi baru-baru ini apabila ibu penulis dimasukkan ke sebuah hospital swasta, barulah penulis tahu ia bukan bahan lawak tetapi sesuatu yang serius kerana deposit untuk dirawat di situ juga RM1,000!

Selepas menjalani rawatan selama dua setengah hari, cajnya kira-kira RM4,500; membuat penulis mengakui bahawa rawatan perubatan sebenarnya sudah menjadi satu industri membuat duit. Kini semakin banyak pihak menggunakan istilah hospitaliti malah ada banyak kolej menawarkan kursus dalam bidang ini.

Berdasarkan situasi ini, penulis tidak terkejut apabila membaca sebuah berita baru-baru ini mengenai sebuah pusat rawatan swasta yang menolak kemasukan seorang wanita yang mahu bersalin sehingga akhirnya bayi beliau dilahirkan dalam kereta keluarga berkenaan yang diparkir berhampiran.

Kini dengan peningkatan taraf hidup rakyat di samping gaya hidup mereka yang berubah (seperti tidak mempunyai masa terluang untuk ke hospital kerajaan), pusat rawatan swasta bercambah bagaikan cendawan selepas hujan apatah lagi banyak syarikat menginsuranskan pekerja mereka dari segi kesihatan dan rawatan.

Ada pihak seperti kerajaan negeri sudah mengambil inisiatif memaju dan menggandingkan bidang perubatan dan rawatan ini dengan industri pelancongan; maka timbullah istilah rawatan pelancongan.

Berhubung bayaran tinggi hospital swasta ini, penulis teringat sebuah filem Inggeris yang penulis tonton di televisyen, mengisahkan bagaimana seorang bapa nekad menawan hospital tempat anaknya dirawat kerana dia tidak mampu menyediakan wang rawatan diminta.

Dalam filem yang tajuknya tidak lagi diingati penulis, si bapa selepas kecewa dengan sikap pengurusan hospital yang menangguh-nangguhkan pembedahan kerana dia gagal menyediakan ratusan ribu dolar yang diminta, akhirnya berjaya menyelamatkan si anak melalui pembedahan itu selepas dia mengacukan pistol ke kepalanya dan juga kepala doktor.

Nampaknya kisah ini sudah ‘menghampiri’ masyarakat kita. Perkhidmatan perubatan dan rawatan hampir menjadi satu industri; hospital dan klinik kerajaan semakin diabaikan dari segi mutunya; bukan saja pesakit ‘lari’ ke pusat rawatan swasta malah doktor-doktor turut berhijrah bagi mendapat pulangan lumayan.

Bimbang dengan bebanan yang bakal ditanggung rakyat kebanyakan ini, pelbagai pihak termasuk parti politik seperti PAS membantah cadangan menswastakan pusat rawatan dan kesihatan termasuklah Institut Jantung Negara (IJN).

Bayangkanlah jika IJN sudah diswastawakan, ke mana agaknya rakyat marhain mahu mendapatkan rawatan jantung jika bayaran yang dikenakan adalah puluhan dan ratusan ribu ringgit.

Mengenai hospital swasta, seorang rakan berlawak, setiap ‘pertolongan’ diberikan kepada pesakit, semuanya dicaj; jangan ingat ia sediakan percuma.

Misalnya, jika pesakit menekan loceng kecemasan memanggil jururawat, cajnya dimasukkan dalam bil. Demikian juga apabila memanggil petugas untuk membantu memapah pesakit ke bilik air, ia bukan percuma; semuanya disertakan dalam bil yang pada masa ‘check out’ (keluar) boleh menyebabkan jantung bagai mahu putus sebab bayarannya mencecah RM5,000, RM10,000, RM50,000 dan seterusnya.

Berhubung perkara ini, ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub yang membahaskannya di Parlimen pada awal tahun ini (ketika itu beliau masih Ketua Pemuda PAS), mendesak kerajaan menyelia bayaran yang dikenakan pihak hospital swasta.

Salahuddin yang mencelah jawapan Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad ketika menggulung Perbahasan Titah Diraja, antara lain bertanya: “Adakah kementerian Yang Berhormat bertanggungjawab ke atas mengawal selia, memantau tentang harga rawatan yang dikenakan oleh hospital-hospital swasta ini? Ini adalah sebab yang akan menjadi mangsa ataupun yang akan terpaksa membayar ini pengguna, rakyat.”

Dr Abdul Latiff yang mengakui perkara itu, antara lain berkata: “Apabila masuk hospital swasta, sekali tekan, pakar datang RM75. Sepuluh kali tekan satu hari RM750. Dekat hospital awam, 10 kali tekan pun percuma dan caj itu dikenakan oleh pakar yang merawat.”

Demikianlah, segala kemudahan yang ada di pusat rawatan swasta sebenarnya dikenakan caj. Entah-entah senyuman doktor, jururawat dan petugas lain pun ada cajnya. Agak-agaknya berapa ringgit senyuman mereka?

No comments: