***
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Takutlah kepada Allah yang pinta-meminta kamu dengan nama-Nya dan (takutlah akan memutuskan) silaturrahim." (Q.S. Nisa: 1)
***
"WANG penjimatan kira-kira RM30 juta dengan tidak menyediakan makanan di asrama budak-budak sekolah pada hujung minggu, adalah terlalu kecil berbanding pembiayaan pelbagai projek mega kerajaan," kata Bendahari PAS, Dr Hatta Ramli dalam satu pertemuan dengan penulis baru-baru ini bagi mengulas langkah berkira kerajaan menjimatkan wang selepas peruntukan Kementerian Pelajaran dikurangkan daripada RM27 bilion kepada RM25 bilion tahun ini.
Mulai sesi persekolahan baru tahun ini, ramai ibu bapa merungut terpaksa mengambil anak mereka pulang dari asrama pada hujung minggu kerana makanan tidak disediakan. Bagi yang tidak mahu pulang, mereka dikehendaki membeli makanan sendiri.
Selain itu, bagi ibu bapa yang berpendapatan lebih RM5,000 sebulan, yuran bayaran makanan di asrama dinaikkan daripada RM1 kepada RM3 sehari manakala peruntukan makanan dikurangkan kepada 200 hari setahun sedangkan hari persekolahan lebih daripada itu.
Berdasarkan peruntukan kerajaan RM10 bagi seorang murid setiap hari, Dr Hatta mengira langkah penjimatan kerajaan itu bermakna ia dapat menjimatkan RM20 bagi seorang pelajar setiap hujung minggu atau RM80 sebulan. Apabila jumlah ini didharabkan dengan kira-kira 30,000 pelajar di sekolah berasrama penuh (berdasarkan 6,000 tempat ditawarkan kepada lulusan UPSR untuk mengikuti pengajian Tingkatan Satu tahun ini dan dikalikan lima kerana kebanyakan sekolah mempunyai lima tingkatan) jumlah yang dijimatkan adalah RM80 X 30,000 pelajar X 11 bulan persekolahan = RM26 juta.
Jika dimasukkan jumlah pelajar Tingkatan Enam dan mereka yang duduk di asrama sekolah harian, jumlah yang dijimatkan mungkin lebih sedikit, lebih kurang RM30 juta, tetapi ia masih sedikit hatta untuk dibandingkan dengan projek Permata yang diketuai isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor yang diperuntukkan RM100 juta.
Malah jumlah penjimatan RM30 juta itu kurang berbanding kerugian akibat kehilangan enjin jet penjuang TUDM yang dianggarkan RM50 juta setiap satu walaupun Menteri Pertahanan, Ahmad Zaid Hamidi mentaksirkan harganya lebih sedikit daripada RM300,000 sebuah.
Ia juga 'ciput' saja berbanding lebih RM2 bilion yang dihabiskan bagi projek Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) yang hasilnya entah apa-apa sehingga terpaksa berpatah balik, Sains dan Matematik kembali diajar dalam bahasa Melayu mulai tahun 2012.
Dr Hatta berkata, pihak kerajaan yang mengusulkan penjimatan melalui pengurangan peruntukan kepada Kementerian Pelajaran ini perlu kembali kepada falsafah dan matlamat penubuhan sekolah-sekolah berasrama penuh dan asrama bagi sesetengah sekolah harian. Sekolah-sekolah ini didirikan dengan harapan untuk mendidik anak bangsa yang disekalikan golongan kaya miskin agar sama-sama berinteraksi (tolong menolong) bagi mencapai kejayaan dalam pendidikan dan bidang penghidupan.
Bagaimanapun, apabila pada setiap hujung minggu para pelajar diminta pulang ke rumah dan bagi yang tidak pulang terpaksa berbelanja lebih mendapatkan makanan di kantin, peluang pengurusan asrama menyediakan program-program saksyiah dan pembinaan diri akan terbantut begitu juga kesempatan pelajar untuk berinteraksi bersama rakan dalam persekitaran asrama tidak dapat diadakan.
Beliau berkata, golongan miskin adalah paling terbeban akibat langkah penjimatan kerajaan yang tidak bertempat ini. "Kalau pelajar diminta balik setiap hujung minggu, berapa banyak belanja yang terpaksa mereka keluarkan terutama mereka yang tinggal jauh, demikian juga kalau duduk di asrama kos makanannya tinggi, tidak tertanggung mereka," kata ahli Parlimen Kuala Krai yang kawasannya terdapat ramai penduduk pedalaman, yang sesetengahnya amat miskin tetapi mempunyai anak di sekolah berasrama.
Dr Hatta berkata, konsep sekolah berasrama sebelum ini berjaya mendidik pelajar menjadi pemimpin pelapis, sebahagiannya berdasarkan konsep berdikari, interaksi sesama mereka dan kegiatan yang dilakukan pada hujung minggu seperti kegiatan perkumpulan seperti perbahasan, ceramah agama dan motivasi dan juga penekanan saksiyah diri seperti pemeriksaan kebersihan diri dan 'dorm' (bilik asrama).
Beliau bimbang buat masa ini kerajaan dapat menjimatkan sejumlah wang tetapi 'penderaan' terhadap generasi baru itu akan mengakibatkan pelbagai keburukan kepada masa depan negara. Generasi yang tidak dapat pendidikan sewajarnya akan menyebabkan pelbagai masalah besar seperti keruntuhan moral, penagihan dadah yang sudah tentu kos merawatnya adalah terlalu besar berbanding apa yang cuba dijimatkan sekarang ini.
No comments:
Post a Comment