Tuesday, January 12, 2010

Perpaduan Melayu terlaksana dengan berpegang kepada tali Allah

***
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Dan berpeganglah kamu semuanya pada tali (agama) Allah dan janganlah kamu bercerai-berai. Dan ingatlah akan nikmat nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa jahiliyah) bermusuh-musuhan, maka Allah menjinakkan antara hatimu, lalu menjadilah kamu kerana nikmat Allah orang-orang yang bersaudara. Dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu agar kamu mendapat petunjuk." (QS. Ali Imran 3:103)
***

DEMIKIANLAH maksud ayat al-Quran di atas dijadikan rujukan bagi hampir setiap wakil pertubuhan dan persatuan dalam forum Silaturahim dan Perpaduan Ummah anjuran Persatuan Kebajikan Asyraaf (keturunan Syed dan Syarifah) yang diadakan pada malam 1 Januari lalu di Rumah Rehat Syed Alwi Al-Habsyi, Duyong, Melaka yang penulis hadiri.

Lima wakil yang menyertai forum itu adalah Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (Shura), Alumni Amir dan Persatuan Kebajikan Asyraaf dengan moderatornya Ustaz Hisham Sidek

Apa yang menarik perhatian penulis, fokus perbincangan adalah berkaitan bangsa Melayu yang menurut wakil tuan rumah, Syed Zulkarnain Al-Habsyi, dalam ucapan alu-aluannya akan muncul sebagai bangsa memperkasa Islam akhir zaman seperti mana diperkatakan oleh Nabi Muhammad s.a.w. dalam salah sebuah hadis baginda bahawa satu bangsa dari Timur akan muncul mendaulatkan Islam.

Syed Zulkarnain yakin bangsa itu adalah Melayu yang menurut sejarah mula memeluk Islam di Samudera Pasai di Sumatera Utara pada abad ke-12 dan 13 dan kemudian kukuh dengan kemunculan Kesultanan Islam Melaka pada akhir abad ke-14 atau awal abad ke-15.

Pengislaman orang Melayu memperhebatkan kerajaan-kerajaan Melayu seperti Melaka, Aceh, Johor dan Palembang tetapi akhir-akhir ini, orang Melayu terutama di Malaysia semakin berpecah dan inilah yang membimbangkan Syed Zulkarnain yang mewakili Persatuan Kebajikan Asyraff sehingga mencetuskan idea dan seterusnya berusaha keras bagi menjayakan majlis siraturahim dan forum perpaduan itu.

Beliau optimis pertemuan di Melaka, akan membuka laluan persidangan besar yang menurutnya sedang direncanakan di Putrajaya bagi mengorak langkah penyatuan Melayu/Islam.

Ada penceramah yang teruja dengan pertemuan di kampung Hang Tuah itu (Duyong), mengharapkan Melayu dapat disatukan kembali agar bersama-sama mendaulatkan Islam seperti pada zaman kehebatan kerajaan Kesultanan Islam Melaka.

Wakil Teras, Ustaz Awwaluddin Juffery penuh emosi bertanya kenapa merujuk kepada Kesultanan Melayu Melaka sedangkan yang sebenarnya adalah Kesultanan Islam Melaka bagi menujukkan betapa hebatnya pengaruh Islam ke atas orang Melayu termasuk pemerintahnya.

Dr Roslan Mohd Noor daripada PUM yang memulakan bicara, membacakan ayat 103 dari Surah Ali Imran; menyatakan pra-syarat kepada perpaduan adalah 'berpegang kepada tali agama Allah'. Katanya, Islam perlu dijadian panduan dan amalan hidup sepenuhnya, jadi ukhuwah Islamiyah hanya berlaku jika semuanya 'berpegang kepada tali agama Allah'.

Ustaz Awwaluddin selain menekanan nama Kesultanan Islam Melaka, melahirkan kebimbangan akan gejala murtad dan masalah sosial kronik yang menimpa orang Melayu. Katanya, sekalipun penjajahan ke atas bumi Melayu silih berganti seperti Portugis, Belanda, Inggeris dan Jepun, orang Melayu tetap kukuh dengan nilai Islamnya tetapi dalam tempoh 50 tahun saja merdeka (di Tanah Melayu, kemudiannya diberi nama Malaysia), gejala murtad dan keruntuhan moral termasuk zina dan kelahiran anak luar nikah amat tinggi. "Siapa punya kerja ini?" tanyanya.

Kemudian beliau menyatakan kebimbangan mengenai keputusan sebuah mahkamah yang membenarkan nama Allah digunakan pada penerbitan bahasa Melayu sebuah organisasi Kristian dengan berkata apa sudah jadi dengan Melayu kini?

Ahli panel lain seperti Ustaz Syed Abdul Kadir Aljoofre dan Ustaz Kamiul Kamil juga menyatakan bahawa pra-syarat kepada perpaduan itu adalah hendak berpegang kepada tali agama Allah. Amal makruf nahi munkar juga perlu berjalan dalam masyarakat. Pendeknya orang Melayu perlu bersatu atas dasar Islam dan bukan atas dasar asabiyah seperti bangsa dan negara. Ukhuwah Muslimin itu hanya tercapai jika setiap Muslim meningkatkan iman mereka kepada takwa, berserah diri semata-mata kerana Allah SWT. Bersaudara kerana Allah, tidak lain daripada itu.

Berkenaan perpaduan sesama Muslim Melayu ini penulis teringat akan kunjungan penulis ke salah sebuah negeri Melayu bernama Palembang (kini Palembang terletak dalam propinsi Sumatera Selatan, Sumsel, Indonesia) yang menurut sesetengah pihak sebagai salah sebuah pusat pengembangan kebudayaan dan keagamaan orang Melayu. Malah susur galur sultan dan raja-raja Melayu juga didakwa berasal dari Palembang iaitu pada ketika era kehebatan empayar Sriwijaya.

Sebelum beragama Islam, orang Melayu beragama Hindu dan Buddha. Sriwijaya (Palembang), Langkasuka, Saliendra semuanya adalah kerajaan Hindu-Buddha tetapi sejak kedatangan Islam di Samudera Pasai, orang Melayu beragama Islam dan kemuncaknya adalah di Melaka apabila rajanya, Sultan Iskandar Shah, menjadi Islam.

Kini alhamdulillah, apabila disebut Melayu (khasnya di Malaysia), secara automatik dia beragama Islam. Tetapi perkembangan mutakhir yang menurut Ustaz Awwaluddin begitu mencemaskan dengan seorang mufti kanan mendedahkan ribuan orang Melayu Islam sudah murtad. Kenapa boleh jadi begini, mengapa selepas diberi kuasa memerintah sendiri melalui kemerdekaan orang Melayu semakin terpesong sedangkan gejala murtad dicatatkan jarang benar berlaku ketika orang Melayu dijajah?

Walaupun penjajah silih berganti, orang Melayu tetap dengan Islamnya. Penulis berpendapat salah satu faktor menyebabkan orang Melayu begitu jitu kepada Islam adalah istiqamahnya pemimpin mereka termasuk Raja-Raja Melayu. Berdasarkan catatan Palembang, Samudera Pasai, Melaka dan negeri-negeri Melayu lainnya, apabila raja memeluk Islam, hampir seluruh pembesar dan rakyat ikut sama. Rakyat menjadi Islam selepas raja mereka Islam.

Apabila pemerintah memperbaguskan agama, pegangan rakyat kepada Islam makin kukuh. Keyakinan mereka tidak lagi dapat digugat walaupun negeri-negeri Melayu satu demi satu jatuh ke tangan penjajah. Bagi penjajah, agama orang Melayu tidak dapat digugat tetapi mereka menyusupkan jarum mereka ke minda anak-anak tempatan dengan langkah pertama menawan pemikiran Raja-Raja Melayu.

British misalnya memperkenalkan kaedah pemerintahan dan gaya hidup mereka. Anak-anak raja Melayu dan golongan bangsawan diasuh cara hidup mereka. Lahirlah institusi pengajian seperti Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) yang digelar Eaton of the East.

Kini dalam sebuah negara merdeka bernama Malaysia, wujud dua golongan Melayu saling bertentangan. Satu yang masih memegang kepada falsafah kebaratannya manakala satu lagi golongan cenderung kepada keagamaan termasuk kumpulan pro-Barat yang sudah insaf.

Jadi bagaimana dua kumpulan bertentangan ini dapat disatukan seperti didambakan kebanyakan pemimpin Melayu termasuk pada forum Siratulrahim dan Perpaduan Ummah seperti dilangsungkan di Duyong, Melaka itu?

Jawapannya, kembalilah kepada Islam seluruhnya; "berpeganglah kamu semua kepada tali agama Allah." Inilah pra-syarat kepada perpaduan Melayu/Islam, jika tidak, akan berpecahlah orang Melayu sedangkan ayat Quran tadi disambung dengan "janganlah kamu bercerai-berai." Demikianlah dengan mengamalkan Islam sepenuhnya akan menyelamatkan Melayu, insya-Allah.

*** Komentar
Sering kali tatkala melaporkan tragedi (kematian) di akhbar, wartawan yang mewawancara waris si mati misalnya ibu, bapa, kakak dan abang akan menulis begini: "Kelakuan pelik allahyarham adalah petanda dia akan pergi buat selama-lamanya" atau "pelukan hangat allahyarham itu seolah-olah dia tahu dia akan pergi" atau "pinggan yang saya pegang jatuh lalu pecah, itu petanda dia akan pergi." Pada pendapat penulis yang kurang arif ini, andaian-andaian ini adalah silap, kedatangan maut tidak siapa yang tahu. Pinggan jatuh dan pecah adalah perkara lumrah, jika tiada berlaku kematian, tiada siapa memperkatakan insiden itu tetapi apabila berlaku kematian kenapa mahu dikaitkan dengan peristiwa pinggan jatuh dan pecah tadi? Hakikatnya hanya Allah yang mengetahui segala-galanya.

1 comment:

Bah Lontok said...

Bah sangat menyokong pendirian pemimpin2 PAS terutamanya Tn Guru Hj Nik Aziz berkenaan sokongan terhadap kejayaan perjuangan 'Herald the Catholic Weekly'.

Terlalu lama perkara perjuangan ini untuk diselesaikan, setelah selesai dengan keputusan Mahkamah membenarkan 'Herald' mengunakan perkataan "ALLAH" dan juga diterbitkan dalam Bahasa Melayu, banyak pehak pula yang menentang nya sampai ada yang bom atau bakar gereja.

Hanya Pemimpin2 PAS sahaja yang nampak bersetuju. Maka dengan ini pehak pendakwah Catholic akan lebih memudahkan tugas2 dakwah nya dikalangan kaum kami. Ada kemungkinan lebih ramai yang minat agama Catholic kerana ianya dianggap lebih kurang sama saja dengan Islam, bahkan ianya lebih senang kerana tidak banyak yang perlu dipelajari.

Selain dari itu bab makan minum pun tidak berubah boleh makan dan minum semua nya. Kerana tidak ada halal atau haram dalam segi pemakanan. Kejayaan 'Herald' ini akan memberi kan lebih ramai kaum asli memeluk agama Catholic.