Monday, January 25, 2010

Hayati semula matlamat penubuhan sekolah berasrama

***
DENGAN Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
Kata-kata yang baik seperti sedekah: Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, sepatah kata yang baik itu (pahalanya seperti) sedekah.
***

PENGURANGAN peruntukan Kementerian Pelajaran daripada RM27 bilion kepada RM25 bilion turut menimbulkan kecelaruan di sekolah-sekolah yang mempunyai asrama terutama Sekolah Berasrama Penuh (SBP).

Apabila sesi persekolahan bermula Januari ini; murid, ibu bapa, guru dan pentadbir asrama diburu ketidaktentuan akibat arahan baru Kementerian Pelajaran seperti kenaikan yuran makanan daripada RM1 kepada RM3 sehari membabitkan ibu bapa berpendapatan lebih RM5,000 sebulan dan pengurangan jumlah hari penyediaan makanan daripada 250 hari kepada 200 hari.

Apabila ini berlaku, pentadbiran sekolah dan asrama kebingungan, ada mengarahkan pelajar pulang pada hujung minggu dan cuti umum sedangkan ada yang belum membuat keputusan. Namun apa yang berlaku pada hujung minggu pertama persekolahan, kebanyakan murid 'balik kampung'.

Perkembangan ini bukan sesuatu yang sihat kerana dalam usaha menjimatkan sejumlah wang dengan mengurangkan jumlah hari pembiayaan makanan di samping mengenakan yuran lebih tinggi; pelbagai pihak daripada guru dan warden, pelajar dan ibu bapa menanggung kesan negatif dan dari segi jangka panjang, negara akan rugi besar disebabkan pengabaian terhadap golongan muda.

Penjimatan ini tidak sebanyak mana. Jika diandaikan perbelanjaan penyediaan makanan seorang pelajar adalah RM10 sehari (selepas ditolak yuran RM1 atau RM3 yang dibayar oleh ibu bapa), didharabkan dengan 50 hari (jumlah hari dikurangkan peruntukan makanan), jumlah dijimatkan bagi seorang pelajar setahun adalah RM500 dan didharabkan dengan 60,000 pelajar (berdasarkan andaian ada 1,000 pelajar di setiap 60 SBP), jumlah dijimatkan RM30 juta. Jika diambil kira sekolah harian yang ada asrama dan sekolah lain, jumlahnya mungkin RM40 ke RM50 juta.

Penjimatannya hanya RM50 juta, tetapi kesan negatifnya terlalu banyak. Dari segi jangka pendeknya, ibu bapa, guru dan warden serta pelajar menjadi tidak keruan; kos ibu bapa meningkat, masa terbuang manakala anak-anak bingung apabila setiap hujung minggu terpaksa balik kampung.

Dengan pulang setiap hujung minggu, anak-anak akan kehilangan masa berharga untuk digilap potensi menjadi insan cemerlang melalui aktiviti di asrama seperti hidup berdikari, berinteraksi, bekerjasama dan latihan menjadi pemimpin. Kebanyakan kegiatan ini tidak dapat dijalankan pada hari persekolahan yang sibuk sebaliknya sesuai pada hujung minggu.

Bagi kita tiada kompromi dalam mendidik anak bangsa menjadi generasi cemerlang. Kita amat bimbang penjimatan RM50 juta setahun itu akan mengakibatkan anak bangsa tidak dapat dididik dengan baik sehingga menelurkan pelbagai masalah sosial yang kos merawatnya jauh mengatasi wang dijimatkan itu.

Sehubungan itu, kita menyeru pihak-pihak berkaitan bermuhasabah diri termasuk menghayati semula falsafah dan matlamat penubuhan SBP. Tujuan asal penubuhan sekolah jenis ini ialah untuk memberi peluang kepada pelajar bumiputera di luar bandar tetapi kini terbuka kepada semua warganegara.

Di sekolah berasrama waktu belajar telah diatur oleh pihak sekolah dan setiap pelajar perlu mematuhi jadual tersebut. Inilah satu keunikan kehidupan sekolah berasrama penuh dibandingkan dengan kehidupan pelajar di sekolah harian biasa.

Pendidikan di sekolah berasrama penuh adalah suatu usaha berterusan bagi menyediakan suasana persekolahan dan pembelajaran yang terancang, terkawal dan sempurna untuk memupuk dan memperkembangkan kebolehan pelajar-pelajar berpontensi ke arah kecemerlangan sebagai insan dan warganegara yang seimbang dan bertanggungjawab terhadap tuntutan agama, bangsa dan negara.

Antara matlamat SBP adalah bagi mewujudkan peluang untuk pelajar yang berpotensi terutamanya dari kawasan LUAR BANDAR bagi mendapatkan pendidikan dengan kemudahan teratur, sempurna dan terkini dalam iklim persekolahan yang kondusif. Namun apabila pelajar diarahkan pulang setiap hujung minggu apakah matlamat ini dapat dicapai?

No comments: