Friday, January 1, 2010

Suami doa mahu kahwin, isteri doa suami jangan kahwin?

***
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Adakah patut kamu suruh manusia berbuat kebaikan dan kamu lupakan diri kamu sendiri, sedangkan kamu membaca Kitab. Tidakkah kamu memikirkannya?" (Q.S. Al-Baqarah 44)
***

APABILA doa Menteri Besar Kelantan yang juga Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat dijadikan isu, saya teringat akan satu kisah seorang suami berdoa di depan Kaabah agar dia dapat kahwin satu lagi manakala isterinya pula berdoa agar suaminya tidak kahwin lain.

Bukankah doa itu ‘contrast’ (bertentangan) sungguh? Yalah, si suami berdoa mahu kahwin, si isteri pula berdoa biarlah suaminya beristerikan dia saja. Dalam kes seperti ini doa siapa agaknya dimakbulkan oleh Illahi?

Dalam satu lagi keadaan, dua pasukan bola sepak akan berentap. Semua anggota pasukan A berdoa agar menang dalam perlawanan itu, manakala pasukan B pun berdoa kepada Ilahi agar menang dalam perlawanan itu. Agak-agaknya doa pasukan mana dimakbulkan Yang Maha Kuasa?

Doa Tok Guru Nik Abdul Aziz yang menjadi kontroversi itu adalah bagi memohon Allah SWT bukakan pintu hati Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak supaya ditunjuki jalan benar termasuk membayar royalti gas dan petrol kepada pihak berhak dan jika PM enggan, didoakan kelamlah masa depannya.

Sesetengah pihak menjadi tidak keruan dengan doa ini. Mengapa jadi begitu? Jika dibuat perbandingkan doa suami isteri di depan Kaabah tadi, hampir pasti si isteri akan naik angin jika mengetahui suaminya berdoa agar dia dapat kahwin lagi.

Tetapi apakah dia boleh menghalang suaminya daripada berdoa begitu? Atau dia akan meminta orang lain menghalang suaminya berdoa sedemikian atau mengumpulkan orang ramai menyatakan protes terhadap doa si suami?

Tentulah si isteri tidak mampu berbuat begitu. Apa yang boleh dilakukan, dia sendiri berdoa agar si suami tetap bersama dia saja, janganlah suaminya berkahwin lain. Selepas itu serahkan kepada Yang Maha Kuasa, dialah Penentu segala-galanya. Jika si suami kahwin lain sekalipun dia sudah berdoa bersungguh-sungguh, perkara itu adalah di luar bidang kuasanya dan hatta manusia lain.

Demikian juga dalam kes dua pasukan bola sepak yang akan berentap itu. Apakah pasukan B boleh naik darah atau mengamuk semata-mata kerana pasukan A berdoa kepada Allah agar dimenangkan mereka, sekali gus dikalahkan pasukan B? Tentulah tidak wajar, sebaliknya mereka perlu meningkatkan doa akan dapat mengalahkan pasukan A. Yang menjadi Penentu, adalah Yang Maha Berkuasa, pasukan A dan B cuma boleh berdoa!

Berdasarkan ini, mengapa dibising-bisingkan akan doa Tok Guru Nik Abdul Aziz itu? Jika Tok Guru boleh berdoa, pemimpin Umno termasuk PM pun boleh berdoa. Tidak menjadi masalah sama sekali. Berdoalah kerana doa adalah senjata bagi orang Mukmin.

Jika Tok Guru Nik Abdul Aziz berdoa, orang Umno berdoalah, mengapa mahu diprotes doa orang lain pula. Tiada siapa pun melarang orang Umno atau pemimpin mereka daripada berdoa; berdoalah apa saja kerana Yang Maha Kuasa itu tahu segala-galanya.

Tetapi satu perkara perlu diperingatkan bahawa doa (permintaan) dan korban kepada Allah SWT perlu dilakukan secara ikhlas dan dalam landasan yang betul. Al-Quran telah menukilkan dalam kisah Habil dan Qabil bahawa kedua-duanya telah melakukan korban dan berdoa kepada Yang Maha Kuasa, salah satu korban adik beradik ini diterima manakala yang satu lagi ditolak.

Pada Ayat 27 Surah Al-Maidah dinyatakan: “Dan bacakanlah kepada mereka berita tentang dua anak Adam iaitu Habil dan Qabil dengan benar, ketika anak-anak Adam itu mempersembahkan korbannya, maka Allah menerima korban salah seorang daripada kedua-duanya iaitu Habil dan tidak diterima korban yang seorang lagi iaitu Qabil. Qabil berkata: Aku pasti membunuhmu? Habil berkata: “Sesunguhnya Allah hanya menerima korban dari orang-orang yang bertakwa.”

Nah, berdasarkan ini, tiada siapa berhak menghalang pemimpin PAS atau Umno daripada berdoa dan melakukan korban. Pada Hari Raya Haji dulu pun, kedua-duanya pihak bebas melakukan korban; tiada yang boleh menghalang satu sama lain. Hendak korban untakah, lembukah, kambingkah, tiada siapa yang melarang.

Orang Umno bebas berkorban, orang PAS pun boleh berbuat demikian. Tetapi sama seperti kisah Habil dan Qabil yang termuat dalam al-Quran yang diturunkan untuk menjadi petunjuk manusia, doa dan korban siapa yang dterima hanya Yang Maha Kuasa menentukannya.

Kisah dari negara tetangga, Indonesia sebagai negara umat Islam terbesar di dunia, berhubung korban Aidiladha dilakukan Presidennya, Susilo Bambang Yudhoyono (SBY) boleh dijadikan iktibar.

Sebuah laman portal www.voa-islam.com melaporkan sapi (lembu) korban yang dipersembahkan SBY, selepas disembelih dan dilapah, diketemui cacing di dalam hati haiwan tersebut. Akibatnya, bahagian daging sapi yang bercacing tersebut terpaksa dibuang kerana bahaya bagi kesihatan jika dimakan.

Laporan itu diakhiri dengan peringatan ini: “Sepertinya sapi korban pemimpin tertinggi negara wajar menjadi bahan renungan dan ingatan. Bahawa untuk menjadi manusia yang baik tidak cukup dengan memperindah fizik lahiriah di hadapan manusia saja.

“Tak kalah pentingnya adalah menjaga iman di hadapan Allah, serta menjaga kebersihan hati daripada segala iri, dengki, hasad, takabur, sombong dan angkuh. Agar amanah dalam bertugas, bijak dalam bertindak, jujur dalam berkata, tidak makan suap, dan menepati segala janji yang pernah terucap!”

*** Info
Ustaz dalam kuliah antara maghrib-isyak di masjid yang penulis ikuti baru-baru ini ada menerangkan bagaimana menyembelih binatang yang terperosok dalam lubang atau perigi. Disebabkan tidak dapat melakukan sembelihan di leher, sembelihlah di mana-mana bahagian binatang itu yang boleh menyebabkan ia cepat mati. Dipunggungnya boleh, di bahagian perutnya pun boleh. Katanya, penyembelihan perlu dilakukan segera, kalau hendak panggil jentolak, kena pakai duit, masa banyak terbuang, binatang itu pun sudah mati. Rugi saja. Jadi jangan ragu-ragu, segeralah sembelih di bahagian belakang binatang itu.

No comments: