***
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
Abu Hurairah berkata: Telah bersabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "Sesiapa yang mengasihi harta, tidak mahu mengeluarkan zakat, harta itu pada hari kiamat akan berupa ular jantan yang gondol dan mempunyai buih serta akan membelitnya pada Hari Kiamat. Kemudian ia mengambil dengan tulang rahangnya dan berkata, 'aku hartamu, aku simpananmu'."
Kemudian Nabi s.a.w. membaca firman-Nya yang bermaksud: "Janganlah orang-orang bakhil dengan barang-barang yang diberkah Allah padanya mengira bahawa bakhil itu lebih baik bagi mereka..." (Q.S. Ali Imran: 180)
***
PEMIMPIN politik dan pegawai tinggi sejak beberapa tahun kebelakangan ini gemar menggunakan ungkapan 'kenaikan ini tidak membebankan' apabila berlaku peningkatan harga barangan, perkhidmatan, tarif dan yuran.
Ungkapan yang terlalu kerap diucapkan ini hanya menyakitkan hati pihak yang 'terkena', khasnya rakyat kebanyakan. Oleh itu, wahai pemimpin dan pegawai, hentikankan daripada beretorik dengan ungkapan dungu ini. Anda akan kelihatan lebih bijak jika tidak mengungkapkannya.
Semacam sudah satu kemestian apabila harga minyak naik, tarif elektrik dinaikkan atau barangan keperluan seperti gula dinaikkan, menteri akan berkokok 'kenaikan ini tidak membebankan'.
Mereka sebenarnya mengukur kemampuan siapa, kemampuan mereka atau kemampuan rakyat kebanyakan? Tentulah apabila harga minyak naik 20 sen seliter atau gula naik 20 sen sekilogram, ia tidak membebankan golongan kaya termasuk pak menteri tetapi ia amat memeritkan rakyat kebanyakan. Oleh itu berhentilah mengungkapan perkara mengarut ini.
Januari ini, jutaan murid kembali ke sekolah. Kementerian Pelajaran telah menetapkan bahawa bayaran untuk sesi persekolahan baru adalah RM24.50 bagi setiap murid sekolah rendah dan RM33.50 murid sekolah menengah di seluruh negara.
Penetapan ini adalah berlainan daripada tahun sebelumnya di mana Kementerian Pelajaran memperkenalkan tiga pakej bayaran tambahan iaitu Pakej A RM38.50, B (RM30.50) dan C (RM23.50) untuk sekolah rendah, sekolah menengah Pakej A (RM55.50), B (RM44.50) dan C (RM33.50).
Apa sudah jadi dengan Kementerian Pelajaran sebenarnya? Dalam bab membabitkan kutipan yuran pun tidak konsisten dari setahun ke setahun, tentunya dalam perkara lebih besar seperti Pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) boleh berubah-rubah. Apa, adakah anak bangsa bagaikan bola sepak boleh ditendang mengikut sesuka hati pemimpin?
Apakah terma dan dasar boleh berubah-rubah apabila pemimpin bertukar? Apakah ia menepati peribahawa 'sekali bah sekali pantai berubah'. Dulu ketika Hishammuddin Hussein menerajui Kementerian Pelajaran, waduh, dicanangkan ibu bapa tidak perlu bersusah payah membayar yuran apabila sesi persekolahan bermula, sebaliknya boleh menangguhkannya sehingga ke pertengahan tahun.
Kini apa sudah berlaku? Apabila Hishamuddin tiada, soal pembayaran yuran kembali kecoh. Kali ini kena bayar pula awal tahun seperti diumumkan Ketua Pengarah Pelajaran, Alimuddin Mohd Dom.
Katanya, kadar bayaran tambahan itu diseragamkan untuk semua pelajar sekolah rendah dan menengah berbanding pakej pembayaran A, B dan C yang berdasarkan jenis pekerjaan ibu bapa sebelum ini.
Pecahan bayaran bagi sekolah rendah ialah RM3 untuk kokurikulum, kertas ujian dalaman (RM6), sukan tahunan sekolah (RM6), kegiatan Pendidikan Islam untuk murid beragama Islam atau Pendidikan Moral untuk bukan beragama Islam (RM6), Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (RM2) dan Insurans Takaful (RM1.50).
Bagi sekolah menengah pula, bayaran kokurikulum RM6, kertas ujian dalaman (RM10), sukan tahunan sekolah (RM6), kegiatan Pendidikan Islam atau Pendidikan Moral (RM6), MSSM (RM4) dan Insurans Takaful (RM1.50).
Kita tidak terperanjat dengan pelbagai yuran rencah yang dikenakan ke atas murid-murid. Tetapi apa yang menyebabkan rakyat sakit hati adalah hebahan pemimpin tidak lama dulu bahawa pendidikan sekolah rendah dan menengah di Malaysia adalah percuma.
Perkara itu dinyatakan dalam belanjawan negara 2008 oleh Perdana Menteri ketika itu, Abdullah Ahmad Badawi sehingga mendapat reaksi panas rakyat. Hakikatnya apa yang dihapuskan adalah yuran sekolah rendah sebanyak RM4.50 dan yuran sekolah menengah sebanyakRM 9.00 setahun!
Masakan rakyat tidak gembira kerana ketika Abdullah membentangkan belanjawan itu pada 7 September 2007, beliau berjanji akan memansuhkan kesemua yuran tahunan di sekolah rendah dan menengah di seluruh negara bermula 2008 dan kemudian diulas secara hebat termasuk oleh Hishammuddin kononnya Malaysialah adalah antara segelintir negara yang memberi pendidikan percuma kepada rakyat.
Malangnya rakyat bagaikan 'Tipah tertipu'. Kini menjelang sesi persekolahan baru, kebanyakan ibu bapa mengeluh panjang, mereka perlu berfikir bagaimana mahu 'cekau' duit, sekurang-kurangnya RM300 bagi setiap anak yang perlu dibelikan pakaian sekolah, peralatan tulis dan pelbagai yuran lain selain RM24.50 (sekolah rendah) dan RM33.50 (sekolah menengah) seperti diumumkan.
Selain kelengkapan sekolah yang mahal, yuran bas juga sudah naik sejak pertengahan tahun lalu. Bagi pelajar Muslim pula mereka perlu ke sekolah agama; yuran dan bukunya mencecah hampir RM100 bagi setiap murid. Demikianlah, cuba hitung berapa banyak wang perlu disediakan ibu bapa jika ramai anak mereka di bangku sekolah. Jika seorang RM300, lima anak wang perlu disediakan RM1,500.
Perkiraan ini hanya membabitkan anak-anak di sekolah biasa. Jika ada anak-anak ke sekolah berasrama penuh, pelbagai yuran seperti asrama, makanan, dobi dan tuisyen; jumlahnya boleh melebihi RM1,000 setahun. Apatah lagi mulai tahun ini yuran makan pelajar asrama dinaikkan daripada RM1 kepada RM3 sehari kepada ibu bapa yang pendapatan mereka melebihi RM5,000 sebulan.
Sesungguhnya, pembayaran ini apatah lagi kenaikan harga barangan, perkhidmatan dan tarif AMAT MEMBEBANKAN rakyat kebanyakan. Oleh itu wahai pemimpin dan pegawai, hentikan segera ungkapan dungu, 'kenaikan ini tidak membebankan'!
***
Komentar
Semua orang akan mati; raja, wazir, hakim, ulama, penulis, penjual ikan tidak terkecuali. Di negara kita, seorang hakim terkenal dengan gelaran Hakim Hacks pun sudah mati. Bagaimana terkenal dan hebat pun akan mati. Ketika hidup nama dan segala kehebatan terpampang dalam akhbar tetapi apabila mati, beritanya cuma pada ruangan 'single column' atau 'filler' saja. Demikianlah sebenarnya manusia tidak ada apa-apa, menurut hadis Nabi, hidup seseorang di dunia ini bagaikan pengembara yang berhenti untuk berteduh sebentar di bawah sebatang pokok, kemudian dia akan pergi.
Berhubung perkara ini penulis teringat pesan seorang sahabat yang sama-sama bekerja di sebuah syarikat akhbar dulu. Katanya, "kita ini (pekerja atau manusia) bukannya penting sangat. Jangan perasan jika kita tidak ada, suratkhabar tidak keluar. Jangan perasan jika kita tak ada (mati) dunia akan berhenti sebentar kerana kematian kita itu. Tidak, sama ada kita hidup atau mati, suratkhabar tetap dikeluarkan, dunia akan terus berpusing. Awak sebenarnya tidak ada apa-apa. Sama ada awak ada atau tidak ada, dunia tetap sama."
Benar kata-katanya itu; janganlah cuba direbut dunia ini. Semakin direbut semakin jauh jadinya sedangkan kematian semakin hari semakin hampir. Jadi persiapkan diri untuk ke kubur daripada bersusah payah kerana mahu memuaskan nafsu di dunia fana yang diibaratkan Nabi 'hanya berteduh sebentar di bawah sebatang pokok'.
No comments:
Post a Comment