***
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Demi, jika kamu berterima kasih, nescaya Ku-tambah nikmat yang ada padamu, tetapi jika kamu kufur (tiada berterima kasih) sesungguhnya seksaan-Ku amat keras." (Q.S. Ibrahim: 7)
***
SEJAK kunjungan mengejut Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Razak ke Hentian Puduraya awal tahun ini, pelbagai pihak daripada Menteri Wilayah Persekutuan kepada UDA Holdings Sdn telah menyatakan hab pengangkutan daif itu akan bertukar wajah hebat.
Kerajaan dilaporkan meluluskan peruntukan sebanyak RM44 juta yang mana RM30 juta adalah untuk UDA membaik pulih bangunan dan RM14 juta lagi untuk Kementerian Wilayah untuk menceriakan kawasan sekeliling Puduraya.
Sebagai pengunjung harian Puduraya, penulis dapati memang betul hentian itu sudah diubah suai sana sini, tetapi malangnya pengguna bas masih mengalami masalah sama. Pendeknya, perubahan hanyalah komestik, masalah yang dihadapi orang ramai masih sama.
Deretan panjang bas ekspres masih kedapatan kerana laluan memasuki platform Hentian Puduraya kekal satu. Sekarang ini terdapat sebuah benteng memanjang sepanjang 500 meter menghalang bas daripada diparkir di tepi jalan menuju hentian itu, tetapi ia tidak cukup untuk membolehkan bas memasuki platform dengan cepat. Akibatnya penumpang dari destinasi jauh terpaksa turun dalam jarak yang jauh dari perhentian dan berjalan kaki.
Di bahagian bawah (platform) yang menempatkan bas, selain begitu sempit bagi pemandu memasukkan bas (terbanyak banyak tanda-tanda tiang dilanggar), keadaan di situ begitu tercemar dengan asap dan kotoran lain. Hanya mereka yang mengalaminya dapat merasakan azabnya. Nampaknya keadaan di kawasan ini sama saja, dulu, kini dan mungkin selamanya!
Seorang perancang, C W Liew pernah mencadangkan agar laluan bas memasuki Puduraya ditambah dua atau tiga dengan memotong sebahagian kecil cerun di bahagian tepi Jalan Pudu, tetapi ia tidak dilaksanakan; jadi sehingga sekarang semua pihak terpaksa berpuas hati dengan laluan tunggal yang hanya membolehkan sebuah bas memasuki platform pada satu-satu masa. Sama seperti dulu, keadaan ini menyumbangkan kepada kelewatan pengguna dan kemarahan pemandu disebabkan keadaan ‘bottle-neck’ itu.
Pemasangan pagar penghadang dan pemansuhan petak letak kereta sepanjang Jalan Pudu berhampiran Hentian Puduraya adalah langkah bagus bagi mengelakkan kenderaan berhenti dan menghalang orang ramai daripada melintas sesuka hati, tetapi akan bertambah lebih berkesan jika ditempatkan pengawas bertugas sepanjang masa kerana menjadi tabiat sesetengah orang melanggar peraturan.
Pertambahan kerusi dan ruang menunggu yang luas juga menggembirakan pengguna tetapi seperti biasa penguatkuasaan undang-undang adalah penting kerana terlalu ramai pengguna yang tetap degil menghisap rokok, meludah, membuang sampah sesuka hati dan sebagainya.
Pengunjung juga mendapati laluan ke stesen LRT Plaza Rakyat sudah dinaik taraf, tetapi susur gajah ke stesen itu tetap dalam keadaan daif walaupun sudah dicat baru. Pengguna perlu berhati-hati kerana ada lantai logam terutama berhampiran stesen LRT sudah lunyai, menunggu masa membaham mangsa.
Benar, adalah sukar membaik pulih keadaan di Hentian Puduraya yang nazak itu tetapi mengapa rakyat dinafikan hak untuk mendapat sedikit keselesaan kerana projek untuk kebajikan mereka seperti Plaza Rakyat yang terletak bersebelahan tetap dibiarkan berkarat dan menjadi sarung nyamuk ibu kota?
Menurut Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, kerajaan seolah-olah tidak mahu menyegerakan projek kebajikan untuk rakyat awam kerana wujud unsur kronisme dalam projek Plaza Rakyat itu. Setelah 12 tahun terbengkalai, kini projek itu akan diambil alih Global Upline Sdn Bhd (GUSB) yang juga ada kaitan dengan Kumpulan Wembley Industries yang gagal melaksanakan projek itu.
Bercakap dalam sidang Parlimen, Abdul Khalid yang juga Menteri Besar Selangor, mempersoalkan tujuan kerajaan memberikan projek terbengkalai kepada mereka yang tidak upaya meneruskannya.
Persoalannya mengapa sehingga kini Plaza Rakyat di sebelah Hentian Puduraya yang diuar-uarkan sebagai hab pengangkutan moden tidak siap-siap sekalipun sudah lebih sedekad dibangunkan? Apakah kepentingan kroni lebih utama daripada kebajikan rakyat? Jika demikian apa guna ‘melolong’ slogan, ‘Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan’?
Daripada platform stesen LRT, boleh dilihat dengan jelas kehodohan Plaza Rakyat yang dijanjikan untuk keselesaan rakyat itu. Struktur asasnya sudah hitam, kren berkarat, besi-besi yang juga berkarat bergelimpangan, manakala kawasan terbuka menjadi lompang menakung air, menampung ribuan nyamuk. Inilah agaknya ‘hadiah’ untuk rakyat biasa yang terpaksa bergantung kepada pengangkutan awam.
Ohh, alangkah sedihnya rakyat biasa yang terpaksa menanggung semua ini. Bukan sehari dua tetapi bertahun-tahun lamanya atau mungkin sepanjang hayat!
***Info
Terdengar perbualan anak-anak bersekolah menengah berasrama bahawa sekarang ini makanan/minuman yang disediakan kepada mereka dikurangkan daripada lima kepada empat kali sehari. Jika tahun lalu dan sebelumnya mereka dihidangkan makanan/minuman untuk sarapan, makan tengah hari, minum petang, makan malam dan makan lewat malam (supper), mulai permulaan sesi persekolahan ini, MINUM PETANG tiada lagi. Kasihan budak-budak ini, gamaknya petang-petang teruslah main bola tanpa perlu minum lagi.
2 comments:
Surat Terbuka Untuk TGNA
Firman Allah bermaksud “ Dijadikan kepada manusia perhiasan,,cintakan nafsu syahwat daripada perempuan2 dan anak-anak….hingga akhir ayat “
Bersyukur ke Hadrat Allah swt kerana Rakyat Kelantan dikurniakan seorang Pemimpin yang beriman sebagai Mursyidul Am dan Menteri Besar untuk memimpin kami ke jalan yang diredhai dunia dan akhirat.
Alhamdulillah berkat usaha dakwah TGNA selama ini kami yakin bahawa Islam itu selayaknya memerintah Dunia agar kita semua tidak alpa dalam kesesatan.
Sebagai manusia sudah tentunya kita tidak dapat lari dari kesalahan dan kesilapan.Justeru TGNA mengajar kami agar sentiasa bermuhasabah dengan apa yang kita lakukan setiap hari supaya rahmat Allah sentiasa melingkungi kehidupan kita seharian.
TGNA yang dirahmati Allah,
TGNA mengajar kita tentang beberapa kisah zaman Nabi terdahulu untuk renungan bersama agar kita dapat mengambil pengajaran yang baik sebagai bekal ke akhirat.Jauhilah apa yang telah diuji terhadap Syeikh Barshisha dan Syeikh Bal Am yang tewas dengan pujuk rayu syaitan laknatullah.
Kerana kasih sayang berlebihan terhadap anak isteri menyebabkan syaitan punyai ruang untuk menyesatkan hamba Allah yang tidak tertanding amalannya seperti kedua-dua Syeikh di atas.
Saya mohon maaf dunia akhirat andainya tutur kata ini mengguris hati TGNA.Biar apapun anggapan TGNA terhadap saya,sebagai rakyat kecil saya rasa terpanggil untuk menyuarakan apa yang terbuku di hati rakyat Kelantan.Biarpun begitu saya prinsip wala’ kepada pemimpin tetap menjadi pegangan saya.
Andai Sayyidina Ali menerima teguran seorang kanak-kanak,apa salahnya saya sebagai rakyat Kelantan menegur untuk kebaikan.”BERILAH PERINGATAN,SESUNGGUHNYA PERINGATAN ITU MEMBERI MENAFAAT KEPADA ORANG YANG BERIMAN”
TGNA yang dikasihi Allah,
Merenung sejenak saat-saat manis PAS Berjaya memerintah Negeri Kelantan pada tahun 1990,sungguh manis kejayaan yang dicapai pejuang agama setelah berjuang penuh onak duri.Bersama kemenangan kita semua menerima ujian pertama pada tahun 1993 iaitu berkenaan pampasan Empangan Pergau.
Setelah beberapa kali rundingan,Kerajaan Pusat masih mendera PAS Kelantan,pelbagai alas n untuk melengah-lengahkan pembayaran,nilai yang semakin mengecil dll.
TGNA menyeru rakyat Kelantan untuk solat hajat beramai-ramai di Kem Kijang PCB.Kami membulatkan hati menyokong usaha itu dan ribuan rakyat Kelantan bermunajat memohon pertolongan Allah…
Alhamdulillah Kerajaan Pusat segera membayar lebih dari yang diminta oleh TGNA.Bila rakyat dizalimi,Percayalah “PERTOLONGAN DARI ALLAH ITU DEKAT
bersambung di cilipadi007.blogspot
Assalamualaikum wbt,
terima kasih Cili Padi di atas padangan saudara.
Post a Comment