***
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Dan diletakkan buku (amalan tiap-tiap manusia) maka kau lihat orang-orang berdosa gementar ketakutan, kerana (melihat) apa yang ada di dalam bukunya." (Q.S. Al-Kahfi: 49)
***
SEBAGAI bekas kakitangan The New Straits Times Press Sdn Bhd (NSTP) selama 12 tahun, tentulah gembar-gembur mengenai akhbar NST tidak lama dulu, menarik minat saya untuk menulis mengenainya.
Sekalipun sudah bertahun-tahun meninggalkan NSTP, kenangan di Balai Berita dan Jalan Riong akan sentiasa bermain di mata - mungkin untuk sepanjang hayat.
Masakan tidak, di Balai Beritalah saya belajar selok belok dunia kewartawanan - daripada 'pemberita kadet' (cabuk) kepada ke peringkat pentadbiran, menguruskan wartawan-wartawan di bawah saya.
Oleh kerana NSTP kini menjadi perhatian negara, terluanglah kesempatan untuk 'refresh' (mengingatkan kembali) pengurusan NSTP, tauke-tauke media dan juga kepada peneraju negara mengenai 'satu dua perkara yang tidak Islamik' dalam industri persuratkhabaran.
Jika dewasa ini heboh 'NST dengan penyiaran karikatur menghina Islam', alangkah baiknya jika pihak NSTP dapat 'berfikir lagi jauh ke depan' untuk sama-sama memansuhkan unsur-unsur tidak Islamik dalam akhbar terbitannya - sama ada dalam bahasa Inggeris atau bahasa Melayu.
Akhbar-akhbar berbahasa Melayu, terutamanya terbitan hari minggu - dalam usaha bersaing untuk muncul sebagai akhbar No 1 negara, menyajikan ruangan dan gambar-gambar artis wanita dalam keadaan tidak senonoh sama sekali.
Gambar wanita mendedahkan pangkal buah dada, kadang-kadang terlondeh dengan hanya menutup 'benda itu' saja, nampaknya sudah menjadi perkara biasa, seolah-olah ia sudah diterima masyarakat.
Seorang tuan guru pernah menegur dengan berkata: "Nampaknya semua orang sudah jadi syaitan bisu, tidak ada orang berani menegur, hatta sekalipun anaknya berpakaian tidak senonoh."
Jika bahan bacaan berkenaan dikhaskan untuk pembaca dewasa, 'damage' (kerosakan)nya tidaklah sebegitu besar berbanding statusnya sebagai akhbar untuk seisi keluarga.
Alangkah malunya seorang bapa apabila si anak terikut-ikut mahu memperagakan pakaian yang digayakan artis dalam akhbar ataupun bertanyakan soalan sensitif apabila tidak faham sesuatu yang dibacanya dalam ruangan seks dan rumahtangga.
Selain menyiarkan gambar-gambar tidak senonoh, sesetengah akhbar masih bebas menyiarkan iklan arak malah semua akhbar menyiarkan keputusan empat nombor ekor (judi) sekalipun dalam akhbar yang sama mungkin ada rencana yang menyatakan haram dan padahnya berjudi atau minum arak.
Seorang wartawan NSTP pernah menghubungi saya, mengemukakan soalan dan meminta nasihat: "Saya kerja di NSTP sebagai penyunting bahagian sukan. Apabila saya 'buat page tu, di tepinya ada 'ad' (advertisement) 'empat nombor ekor'. Macam mana ni bang, pendapatan saya ni haram ke halal, atau saya dikira syubahat ke bang?"
Saya katakan kepadanya, tanyalah ustaz, tentulah ustaz lebih arif.
Demikian betapa serba salahnya seseorang Muslim yang bekerja dalam suasana (environment) demikian kerana apabila dia mendirikan solat, dia akan memohon - ya Allah, Kau tunjukkanku jalan yang lurus - jadi kalau Allah sudah bukakan pintu hatinya untuk mengikuti jalan lurus, tentulah suasana tidak Islamik itu tidak akan mententeramkan jiwanya.
Media dilihat sebagai perakam peristiwa anak bangsa. Sebahagian peristiwa, besar atau kecil tidak terlepas daripada jangkauannya. Malangnya, dalam isu penghinaan ke atas Nabi Muhammad s.a.w., media Melayu nampaknya terlalu mementingkan nafsu-nafsi politiknya sehingga satu peristiwa besar - 10,000 orang berarak menyatakan bantahan ke atas akhbar Denmark dan sekutu-kutunya, tidak disiarkan secara wajar.
Disebabkan tindakan 'menggelapkan' berita ini, timbul andaian umat Islam Malaysia tidak mempunyai sikap prihatin atau peduli ke atas apa yang menimpa ke atas saudara seagamanya.
Buktinya, sebuah akhbar harian menerbitkan rungutan seorang pembaca yang berbunyi: "Hairan, tak ada pun parti Islam atau organisasi Islam yang membantah penghinaan ke atas Nabi Muhammad s.a.w. terhadap Kedutaan Denmark! Bangun semua!"
Ertinya, akhbar Melayu telah mengkhianati kepercayaan pembacanya. Sesuatu perlu dibuat bagi mengubah senario malang ini.
No comments:
Post a Comment