Tuesday, January 26, 2010

Iklan 'ekor' menggila dalam akhbar Melayu

***
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Janganlah orang-orang yang bakhil dengan barang-barang yang dikurniakan Allah kepadanya mengira, bahawa bakhil itu lebih baik bagi mereka, bahkan kejahatan bagi mereka. Nanti akan dikalungkan ke leher mereka barang yang mereka bakhilkan itu pada hari kiamat..." (Q.S. Ali Imran: 180)
***

PAGI Rabu, 13 Januari saya membelek-belak akhbar Harian Metro ketika minum di sebuah kedai kopi. Sudah lama saya tidak membaca apatah lagi membeli akhbar yang saya terbabit mengasaskannya pada bulan Mac 1991.

Ketika menyelak-nyelak halaman Sukan, terkejut saya melihat dua muka surat penuh termuat iklan SMS keputusan empat nombor ekor (judi). Selain itu, iklan judi ada di beberapa muka surat lain, memenuhi separuh atau suku muka surat.

Jika dulu, iklan judi menghiasi sebahagian kecil muka surat Sukan, tetapi hari ini ada muka surat dimuatkan sepenuhnya iklan judi. Jadi pada helaian atas muka surat itu tidak wajar diletakkan 'strap' Sukan sebaliknya amat tepat digantikan dengan perkataan 'JUDI'. Demikianlah iklan judi semakin 'berleluasa' dalam akhbar, khasnya akhbar berbahasa Melayu yang kebanyakan pembacanya orang Melayu yang mengikut definisinya di Malaysia beragama Islam.

Jika dewasa ini akhbar-akhbar Melayu turut sibuk dalam isu penggunaan nama Allah, hairan bin ajaib, akhbar-akhbar ini tidak peka langsung mengenai salah satu dosa besar yang dibenci oleh Allah SWT iaitu JUDI. Jika kononnya mereka mempertahankan nama Allah tetapi pada masa yang sama mempersenda perintahnya yang mengharamkan judi, apakah erti perjuangan itu?

Berbicara mengenai iklan judi di akhbar-akhbar berbahasa Melayu yang membiak bagaikan cendawan selepas hujan ini, saya teringat rintihan seorang petugas Sukan Harian Metro yang menelefon saya beberapa tahun lalu, mengadu yang dia takut bersyubahat memberi makan anak isteri daripada perolehan haram hasil iklan-iklan judi itu.

Petugas itu mengemukakan soalan dan meminta nasihat: "Saya kerja di NSTP sebagai penyunting bahagian sukan. Apabila saya 'buat page tu, di tepinya ada 'ad' (advertisement) 'empat nombor ekor'. Macam mana ni bang, pendapatan saya ni haram ke halal, atau saya dikira syubahat ke bang?"

Saya katakan kepadanya, tanyalah ustaz, tentulah ustaz lebih arif.

Seorang rakan setugas, Azamin Amin telah menjalankan tinjauan mengenai keuntungan pihak akhbar daripada penyiaran keputusan atau SMS judi ini.

Beliau menulis, setiap minggu, akhbar seperti Berita Minggu, Mingguan Malaysia dan Metro Ahad menyiarkan keputusan nombor ekor pelbagai jenis antaranya 'Sports Toto' yang memaparkan nombor hadiah utamanya berjumlah RM300,000.00 bagi kategori Jackpot Hadiah Pertama termasuk juga nombor untuk hadiah kedua dan sagu hati.

Lebih mendukacitakan, tidak cukup dengan itu akhbar terbabit turut menyiarkan iklan bagi sesiapa atau para pembaca yang ingin mengetahui keputusan nombor ramalan yang lain yang belum atau sudah disiarkan sepenuhnya seperti Magnum (Empat Nombor Ekor), Kuda 4D, Jackpot, Sarawak Cash Sweep 1+3D, Sandakan Turf Club 4D dan Nombor Bertuah.

Turut disertakan ialah nombor SMS bagi para pembaca yang ingin melanggan keputusan nombor ekor tersebut.

Setelah diselidiki di bahagian iklan media terbabit, kadar bagi setiap iklan berkaitan secara puratanya berjumlah RM1,100 termasuk lima peratus sebagai cukai kerajaan untuk sekali keluaran sahaja.

Pada satu tarikh Berita Minggu dalam halaman 27, menyiarkan 10 iklan nombor ramalan yang setelah dijumlahkan, akhbar terbabit memperoleh pendapatan iklan judi haram itu lebih RM10,000 dan jika di siarkan empat kali dalam sebulan, jumlah keseluruhannya ialah RM40,000.00.

Dalam seminggu, Berita Harian sebagai contoh menyiarkan keputusan nombor ramalan pada setiap Hari Isnin (4 iklan),Rabu (3),Khamis (4), Ahad (9) manakala pada hari Selasa, Jumaat dan Sabtu tiada sebarang iklan nombor ramalan yang dipaparkan dan purata pendapatan iklan (20 iklan x RM1,100) dalam seminggu ialah RM22,000.00 dan secara keseluruhan ialah kira-kira RM90,000.00 dalam sebulan.

Purata setahun setiap akhbar yang terbabit boleh memperolehi pendapatan dan keuntungan hasil daripada iklan menyiarkan keputusan nombor ekor ini berjumlah lebih RM1.14 juta!

Demikianlah betapa besarnya perolehan daripada penyiaran keputusan atau SMS judi. Mungkinkah ini antara sebab mengapa pihak akhbar terutama yang berbahasa Melayu mahu mengekalkan iklan jenis ini dulu, kini dan harap-harap tidak untuk selamanya.

Satu hal yang membimbangkan adalah ruang penyiaran iklan judi ini semakin bertambah, malah ke tahap melampau kerana sudah mengambil kesemua ruang muka surat seperti dalam Harian Metro 13 Januari lalu.

Kini tahun Hijrah 1431 sudah muncul, tidak teringinkah peneraju akhbar-akhbar ini berhijrah daripada keseronokan mengutip laba hasil judi yang keuntungannya akan diagih-agihkan kepada kakitangan syarikat dalam bentuk bonus tahunan atau x-gratia.

Hendak dikatakan akhbar-akhbar Melayu ini terikat dengan perjanjian lama (sebelum atau sejurus merdeka), tidak juga kerana akhbar seperti Harian Metro belum pun berusia 20 tahun manakala Kosmo enam tahun. Tentu ada sebab mengapa akhbar-akhbar ini tidak boleh berpisah langsung daripada penyiaran SMS atau keputusan judi.

Perpatah Melayu ada menyebut, ‘hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih’. Jika akhbar-akhbar Melayu malah seluruh industri persuratkhabaran boleh berkata ‘tak nak’ kepada iklan rokok, mengapa tidak boleh diberhentikan iklan judi. Apakah untung iklan judi tersangat besar sehingga tiada pihak boleh memberhentikannya? Atau ada sebab-sebab lain yang tidak pernah diketahui masyarakat? Atau judi itu sudah diiktiraf sebagai sejenis sukan?

Kepada peneraju akhbar-akhbar Melayu ini usahlah bermain silap mata, jika dalam ruangan agama dan artikel, penat ustaz atau penulis menerangkan dosa besar berjudi tetapi pada halaman Sukan tetap terpampang SMS dan keputusan judi.

Sedikit masa dulu, akhbar begitu hebat menyiarkan berita pihak berkuasa agama menyerbu kedai-kedai ekor yang semakin banyak di tanah air kita, menangkap orang Islam yang berjudi tetapi alangkah ironis dan kelakarnya pada masa yang sama, ia tetap mengiklankan keputusan judi.

Tidakkah dengan mengiklankan keputusan judi itu bermakna satu galakan untuk pembaca akhbar berjudi. Apakah pengiklanan ini bermaksud berjudi dan teruslah berjudi wahai anak bangsaku walaupun di kedai ekor ada papan tanda kecil tertulis: “JUDI ADALAH HARAM DI SISI ISLAM!”

3 comments:

suratkhabarlama said...

mungkin berJUDI itu satu cabang sukan..maka bagi mereka keputusan JUDI seharusnya layak dimuatkan di ruangan sukan seperti keputusan EPL, Liga Super dan sebagainya.

Wallahualam

sam1430 said...

Saya berpendapat ini mungkin akibat dari kempen boikot media-media arus perdana yg banyak berbohong,oleh majoriti rakyat Malaysia yg semakin celik.Maka jualan makin berkurangan.Untuk menampung kekurangan (mengelak kerugian),pihak akhbar tidak punya banyak pilihan. Terpaksa mengiklankan ruangan2 judi ini. Betul kata orang2 tua dulu,"Siakap senohong,gelama ikan duri..."

Lanh Sr. said...

terima kasih suratkhabarlama dan sam1430