Friday, February 10, 2023

Rejab 19, 1444: 'Kau satu dalam sejuta...'

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

Demi masa, sesungguhnya manusia dalam kerugian, kecuali orang beriman, beramal salih dan berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran. - Maksud ayat 1-3 Surah Al-Asr


FEBRUARI meninggalkan banyak kenangan pada saya. Namun harap tidak silap...mengaitkannya dengan sambutan Hari Valentine pada 14 Februari yang diasosiasikan dengan hari berkasih sayang atau kekasih oleh sesetengah pihak. 


Pada tanggal 17 Februari saya dilahirkan, pada bulan Februari 1989 saya berkahwin  Ertinya sudah hampir 35 tahun saya berumah tangga - rasanya baharu semalam, tetapi apabila melihat anak dan cucu yang penuh rumah  apabila sesekali bertemu, insaflah saya bahawa saya sudah berusia senja.


Berceloteh mengenai bulan Februari, masih ramai yang melihatnya sebagai bulan romantik ---sesekali terkenang juga lagu favorit masa muda dahulu ---'Sekuntum Mawar Merah Sebuah Puisi' dendangan kumpulan Alleycats. Antara lain liriknya berbunyi:


Sekuntum mawar merah

Sebuah puisi

Untuk gadis pilihan

Oh-oh, di bulan Februari


Baharu-baharu ini selepas mengemas biliknya, seorang anak perempuan saya menyerahkan lebih 10 novel cinta yang tebal-tebal, meminta saya melupuskannya. 


Tak tahu mengapa, mungkin dia sudah 'meluat' dengan kisah cinta remaja yang entah apa-apa. Mungkin dia sudah dewasa untuk mengerti bahawa cerita cinta yang membawa seseorang pembaca terawang-awangan dialun khayal cinta seperti 'lautan api sanggup kurenangi' atau 'kau satu dalam sejuta' adalah 'auta' dan mainan bibir semata-mata.


Dahulu saya terkejut besar apabila mendapati anak gadis sunti ini mula berjinak-jinak membaca sejumlah besar novel 'cintan', yang antara tajuknya seperti 'Sebenarnya saya isteri dia'. 


Kebanyakan novel ini tebal-tebal berlaka, 500 muka surat adalah biasa bahkan ada yang mencecah 1,000 muka surat! 


Seorang abang anak gadis saya apabila menyedari si adik membaca 'Sebenarnya saya isteri dia' membuat heboh satu rumah, menyindirnya dengan melaung: "Oh, adik baca 'Sebenarnya saya isteri dia'...sepatutnya adik bacalah buku 'Sebenarnya, saya calon SPM'. Ini tak, dibacanya buku ini, nak buat apa, dah nak kahwin ke, dah nak jadi isteri ke?"


Demikianlah, bingung saya memikirkan gelagat anak-anak zaman sekarang. Jika anak saya gila membaca novel dan menonton TV, saya perhatikan sejumlah anak-anak saudara saya pula obses dengan gajet elektronik mereka. 


Mereka seolah-olah berada dalam dunia sendiri, suasana persekitaran tidak dipedulikan - mereka tidak ghairah untuk bertegur sapa dan berbual-bual dengan saudara mara. 


Pada kesempatan sebagai guru sukarela hujung minggu, kadang-kadang saya bertanya anak-anak murid saya, siapa solat subuh pagi itu. Amat mengejutkan hanya seorang dua mengangkat tangan, bakinya tidak solat. Bukan saja solat subuh, tetapi solat waktu lain pun mereka tak tunaikan. 


Demikianlah akhlak anak-anak muda termasuk pelajar semakin buruk, kewajipan agama seperti solat semakin terlerai. Ibu bapa, guru dan anak-anak dewasa ini didakwa terlalu mementingkan kejayaan akademik, soal keagamaan terutama dari segi amalannya tidak berapa dititik-beratkan. 


Kejayaan diukur dengan deretan A dalam peperiksaan awam sedangkan pegangan agama termasuk akhlak ditolak ketepi. 


Hakikatnya, dalam mencorak generasi muda, bukan saja ibu bapa dan guru bertanggungjawab tetapi hampir seluruh institusi masyarakat seperti kepimpinan negara, media massa (bahan bacaan dan penyiaran) , masjid (rumah ibadat), keluarga besar (datuk nenek, bapa saudara dan sebagainya) serta persatuan dan pertubuhan setempat termasuklah perkumpulan belia.


Namun apa yang kita perhatikan, kebanyakan daripada institusi ini mulai tempang; anak-anak dipengaruhi dengan elemen buruk menyebabkan kelompok yang terbabit dalam dunia pendidikan seperti guru menjadi bingung; apa yang diajar di sekolah tidak dipraktikkan di luar, malah di sekolah sendiri.


Sejajar dengan perkembangan teknologi maklumat masa kini, media massa kita sudah menjadi 'kurang ajar' menyebabkan anak-anak juga menjadi 'tak terajar'. Ibu bapa dan guru di sekolah bukan agen tunggal pendidikan; anak-anak juga belajar melalui media massa dan persekitaran. 


Ada yang belajar melalui filem dan drama Korea, Jepun, Hollywood, Bollywood dan Indonesia. Sinetron dari Korea dan seberang amat diminati.


Anak-anak juga didedahkan dengan bahan bacaan kurang sesuai termasuklah lambakan novel; jadi tak hairanlah jika anak di sekolah turut membaca novel 'Sebenarnya saya isteri dia' sedangkan sepatutnya dia istiqamah dalam menunaikan kewajipan agama di samping menumpukan perhatian kepada pelajaran kerana menginsafi 'Sebenarnya saya calon SPM'!


Sekarang ini dengan adanya novel-novel dalam talian semakin rancaklah anak-anak kita dengan hobi masing-masing. Malah secara senyap-senyap ada yang sudah menjadi penulis novel dalam talian. Tak tahu pulak ada anak kita  adalah seorang novelis.


Inilah kita bimbangi, sewajarnya kita sebagai ibu bapa 'meng-update' ilmu diri kita dalam IT,semoga kita tidak ketinggalan dalam memantau apa yang anak-anak kita buat. Bukankah Sayidina Umar Al-Khattab atau Sayidina Ali pernah berkata - "didiklah anak-anakmu mengikut zaman mereka."


No comments: