Wednesday, November 20, 2019

Rumah tangga 19: Umrah sudah, kenapa perangai tak berubah?

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

Demi masa sesungguhnya manusia itu dalam kerugian; kecuali orang beriman, beramal salih, dan berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran, (Surah Al-Asr, 1-3)

CUTI sekolah akhir tahun menjelang tiba. Pada akhir November dan sepanjang Disember nanti, ramai rakyat Malaysia ke Tanah Suci menunaikan umrah. 

Tidak kurang ibu bapa membawa anggota keluarga termasuk anak-anak yang masih bersekolah. Alhamdulillah, baguslah jika kita dapat menjadikan umrah sebagai aktiviti keluarga dalam menunaikan ketaatan kepada Allah SWT.

Ya, sudah menjadi kebiasaan orang Malaysia sekarang ini kerap menunaikan umrah. Malah ada yang berulang-ulang kali melakukan sehingga ada yang melakukannya setiap tahun. Ada orang kaya dan ternama dilaporkan sudah menunaikannya sehingga 10 kali tetapi belum juga berhaji.Itulah yang sedihnya.

Melakukan umrah yang banyak tidak sama sekali menggugurkan tuntutan menyempurnakan Rukun Islam kelima iaitu menunaikan haji dan sungguh gerun mendengar ancaman Allah SWT terhadap orang yang enggan menunaikannya sebagaimana firman-Nya dalam Surah Ali-Imran ayat 97 yang bermaksud: “Dan Allah mewajibkan manusia (orang Islam) mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu dan berkuasa sampai kepadanya, dan siapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) daripada sekalian makhluk.”

Seorang ustaz dalam kuliah mingguan di masjid berhampiran rumah penulis baru-baru ini, menyatakan kesalnya ada orang yang mahu berangkat menunaikan umrah atau haji tetapi tidak sedia berubah untuk melaksanakan perintah Allah seperti memakai pakaian menutup aurat sepenuhnya bagi perempuan apabila kembali semula ke tanah air.

Katanya, adalah tidak wajar untuk seseorang itu berkata, dia belum bersedia untuk mematuhi perintah Allah kerana siapakah kita untuk berkata demikian sedangkan nyawa kita dalam tangan-Nya, bila-bila masa saja Dia boleh mencabutnya, tidak kira kita bersedia atau tidak.

Antara amalan paling mencabar dalam melengkapkan ibadat haji adalah wukuf (rukun haji) di Arafah, kemudian perjalanan ke Muzdalifah, seterusnya bermalam di Mina dan melontar di jamrah (wajib haji).

Inilah kegiatan dan hari-hari penuh bermakna bagi seseorang jemaah haji. Semua pengalaman ini tidak dialami oleh mereka yang menunaikan umrah. Namun, mungkin semasa menyertai pakej umrah, mutawif akan membawa mereka menziarahi kawasan-kawasan ini. Diharapkan dengan melihat tempat-tempat manasik haji ini akan tergerak hati mereka untuk menunaikan haji dengan seberapa segera.

Wukuf di Arafah adalah rukun haji yang tersangat penting. Tiada wukuf tiadalah haji. Seseorang jemaah itu dikehendaki berada di bumi Arafah walaupun sekejap saja di antara selepas tergelincir matahari hari ke-9 Zulhijah hingga sebelum terbit fajar pada 10 Zulhijah. Adalah mustahak diingati bahawa seseorang itu perlu dalam keadaan sedar di Arafah itu, orang yang hilang akal atau pitam atau gila sepanjang masa wukuf itu, tidak menepati syarat sah wukuf.

Penuhilah masa di Arafah itu dengan bertalbiyah, berzikir, beristighfar, membaca al-Quran dan bermunajat kepada Allah SWT. Selain solat waktu yang dilakukan secara berjemaah, seseorang itu boleh mengasingkan dirinya daripada orang ramai, dan apabila bersendirian akan terasalah gegaran hati ketika bermunajat, mengakui dosa seterusnya memohon ampun kepada Allah SWT. Saat itu terasa Allah SWT tersangat dekat dengan kita.

Akan berlinanglah air mata, teresak-esak tangisan apabila berdoa yang antara lain berbunyi: “Ya Allah, ya Tuhanku, sesungguhnya aku pohon akan Dikau dengan kemuliaan zat-Mu dengan kemurahan-Mu yang kekal abadi, dengan segala nama-Mu Yang Maha Besar, dengan apa yang diturunkan ke atas nabi-Mu, Sayidina Muhammad s.a.w. dan sekalian saudara-saudaranya daripada nabi-nabi dan rasul-rasul serta keluarganya, sahabat-sahabatnya dan sekalian pengikut mereka daripada golongan ulama-ulama yang beramal, wali-wali yang salih.

“Dengan kehormatan di hari itu bahawa Engkau memberi rahmat ke atas Nabi Muhammad, bahawa Engkau ampunkan kami, kedua-dua ibu bapa kami, anak-anak kami, saudara-mara kami, sekian kaum keluarga kami, guru-guru kami, sahabat-sahabat kami, mereka yang berbuat baik kepada kami, mereka yang mempunyai hak ke atas kami, mereka yang kami zaliminya atau menyakitinya, dan sekalian orang-orang Islam lelaki dan perempuan sama ada yang hidup atau mati.

“Engkau memberi rezeki dan kebajikan kepada kami dan mereka itu di dunia dan akhirat dan Engkau peliharakan kami dan mereka daripada segala bencana. Engkau jauhkan mala petaka dunia dan akhirat. Bahawa Engkau kurniakan kepada kami ilmu pengetahuan yang berguna dan amalan yang salih. Engkau peliharakan kami daripada perbuatan-perbuatan jahat sama ada daripada manusia, jin, binatang yang buas dan lain-lainnya.

“Engkau matikan kami dan mereka dalam husnulkhatimah, wahai Tuhan kami berilah kami di dunia ini kebaikan, di akhirat juga kebaikan, peliharalah kami daripada azab neraka, selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad dan keluarganya, sahabat-sahabatnya. Maha Suci Engkau ya Allah daripada segala sifat kekurangan. Salam sejahtera ke atas sekalian rasul-rasul dan segala pujian itu tertentu kepada Allah yang memiliki sekalian alam.”  

No comments: