Wednesday, October 2, 2019

Rumah tangga 12: Dua puluh tahun bersama Harakah

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Hai orang-orang beriman! Sesungguhnya (meminum) al-Khmar (arak), berjudi, (berkorban) untuk berhala, mengundi nasib dengan panah adalah perbuatan keji termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan."
"Sesungguhnya syaitan itu bermaksud untuk menimbulkan permusuhan dan kebencian antara kamu lantaran meminum al-Khamr (arak) dan berjudi itu, dan menghalangi kamu daripada mengingati Allah subhanahu wata'ala daripada sembahyang maka berhentilah kamu daripada mengerjakan pekerjaan itu." (Maksud ayat 90-91 Surah al-Maa'idah)


SEPTEMBER 2019 genaplah 20 tahun saya menulis di Harakah.Pada Harakah Bilangan 1116, bertarikh 20 September 1999, muncul tulisan sulung saya di ruang pojok 'Duniaku Duniamu', kini ditukar kepada 'Celoteh LanH'. Sejak itu, sudah ratusan, mungkin ribuan artikel saya sama ada dalam bahasa Melayu atau Inggeris 'termuat' dalam Harakah.

Bagi 'seorang manusia', usia 20 tahun belum matang; baharu belajar mengenal dunia - kata orang, bagai kura-kura yang baharu menjengok dari tempurungnya atau katak yang baharu keluar dari tempurung untuk melihat dunia...

Benar saya bagaikan 'katak atau kura-kura muda' yang 'tercenggang-cenggang' melihat 'keindahan dan keajaiban' dunia (contohnya ketika mengembara dalam atau luar negara dan mengikuti kelas pengajian tasawuf misalnya mempelajari kitab Hikam). Saya yang kini menginjak usia akhir 50-an, 'merasakan; saya 'masih hijau' dalam kehidupan tetapi apa nak dikata hakikatnya sudah berada di akhir usia. Orang putih kata 'the game is over'!

Dua tiga hari lalu, seorang jiran yang belum sampai pun 60 tahun berangkat menemui Illahi. Kalau diukur usia Nabi Muhammad s.a.w., saya hanya berpeluang menyambut hari raya tidak sampai lima (5) kali saja. Ya Nabi s.a.w. yang kita kasihi meninggal pada usia 63 tahun mengikut tahun Hijrah; kalau mengikut tahun Masihi umur Nabi s.a.w. kira-kira 60 tahun sahaja.

Jadi sebagai 'orang tua', salah satu perkara saya mahu berpesan kepada anak-anakku (anak semua manusia) - 'pahatlah ilmu di batu semasa muda', janganlah jadi jadi macam 'pakcik ini; - apabila dah tua barulah nak 'belajar agama'.

Ya, sejak pencen daripada bekerja sepenuh masa, hampir setiap malam pakcik luangkan masa, mengikuti pengajian di masjid. Namun, nampaknya sukar untuk mempelajari ilmu semasa tua ini bersama geng KRU (kumpulan rambut uban) dan RTM (rehat tunggu mati) pakcik. Selalu tersenggok-senggok dan tertidur ketika bersandar di tiang atau dinding. Ya, badan kena disandarkan di tiang atau dinding, jika tak terasa sakit tulang belakang. 

Kata sesetengah bijak pandai, orang tua ini berperangai pelik sikit - apabila konsentrasi diperlukan seperti ketika belajar dia tertidur tetapi semasa mahu tidur malam, dia tak boleh tidur...mata terkebil-kebil pandang sana sini macam cicak kubin!

Teringat pakcik sebuah syair Arab yang sebahagiannya berbunyi: Kukerap terlupa apa yang kupelajari pada masa tua sedang yang kupelajari pada masa muda tidak pula kuterlupa; takkan berkesan ilmu itu kecuali yang dituntut pada masa muda; kalaulah boleh dibelah hati si pelajar pada waktu muda kelihatan ilmunya umpama ukiran di atas batu; ilmu itu tak akan berkesan jika dituntut pada usia tua. Pabila tumpul hati tumpullah pendengaran dan penglihatan hidup manusia bergantung dua; akal dan logikanya Pabila luput kedua-duanya, hidup sia-sia tidak berhaluan. 

Pendeknya semasa tua ini, 'pikup' (pick up) kita terhadap ilmu sangat lemah. Semakin tua seseorang semakin sukarlah untuk dia menerima ilmu. Sebaliknya, fikiran seseorang kanak-kanak masih banyak ruang kosong, membolehkan dia mudah menerima ilmu sedangkan orang dewasa banyak perkara perlu difikirkan menyebabkan dia sukar menerima perkara baru. Kata orang masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Atau lebih teruk lagi, ilmu melantun keluar sebelum masuk ke dalam telinga. 

Jadi 'pahatkan' ilmu di batu semasa muda; jangan menunggu masa tua seperti pakcik kerana ketika itu ia ibarat membuat lakaran di atas pasir. Apabila ombak datang, pasir pun sirna apatah lagi lakaran itu. 

Oleh itu wahai anak-anakku, janganlah dipersia-siakan usia muda kerana Rasulullah s.a.w. ada bersabda yang bermaksud: "Pergunakan lima perkara sebelum datang lima perkara - hidupmu sebelum matimu, sihatmu sebelum sakitmu, lapangmu sebelum sibukmu, masa kayamu sebelum papamu dan zaman mudamu sebelum tuamu!" - Riwayat Al-Baihaki daripada Ibnu Abbas

No comments: