Monday, July 15, 2019

Markah 5/10 petanda baik untuk HARAPAN...


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Hai orang-orang beriman! Sesungguhnya (meminum) al-Khmar (arak), berjudi, (berkorban) untuk berhala, mengundi nasib dengan panah adalah perbuatan keji termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan."
"Sesungguhnya syaitan itu bermaksud untuk menimbulkan permusuhan dan kebencian antara kamu lantaran meminum al-Khamr (arak) dan berjudi itu, dan menghalangi kamu daripada mengingati Allah subhanahu wata'ala daripada sembahyang maka berhentilah kamu daripada mengerjakan pekerjaan itu." (Maksud ayat 90-91 Surah al-Maa'idah)

DIALOG dua gadis dalam petikan sebuah drama Cina di TV yang saya 'tertonton' baru-baru ini, menyentap hati saya. Melalui sarikata, salah seorang gadis merungut banyak kehendaknya tak dapat dipenuhi. Kawannya menyindir, "kalau kamu mahu semua kehendak kamu terlaksana, kamu jadilah Tuhan!"

Subhanallah, itulah kita sebagai manusia kerap terlupa bahawa kita adalah makhluk, bukan Tuhan. Manusia lemah, banyak kelemahannya. Kerap membuat salah (dosa). Tidak ada yang sempurna (perfect). Banyak kehendak kita tak dipenuhi. Yang sempurna hanyalah Yang Maha Kuasa,

Ya syukur, 'luahan' gadis Cina itu menyedarkan saya. Ia mengingatkan saya akan pelbagai perkara. Salah satunya, komen pelbagai pihak akan prestasi kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) selepas setahun memerintah. 

Adalah biasa bagi manusia untuk memuji dan mengeji. Itu adat dunia. Ada yang 'mengomel' sejumlah janji HARAPAN masih tak terlaksana. Hakikatnya dalam kehidupan, ada perkara yang dapat kita jayakan dan ada yang tidak. Bahkan 'ketua' kerajaan HARAPAN, PM Dr Mahathir Mohamad sendiri memberi markah 5/10 kepada kebanyakan menteri-menterinya. Kenapa sebegitu rendah, ada pihak bertanya...

Jumaat 5 Julai lalu, saya dipanggil pengetua sekolah seorang anak saya yang akan menduduki SPM hujung tahun ini. Beliau menunjukkan prestasi anak saya dan murid-murid lain. Hampir semua murid termasuk anak saya, pencapaian mereka 'tidak gemilang' sedangkan sekolah ini adalah yang terbaik di negeri kami malah di seluruh tanah air. 

Kenapa tak diberi pencapaian gemilang dan cemerlang bagi hampir setiap subjek sedangkan berdasarkan rekod, pencapaian murid sekolah ini terbaik seantero negeri? Jawapannya mudah, markah yang rendah akan menyebabkan murid sentiasa 'sedar diri' lantas terus berusaha keras dan melakukan pecutan terakhir untuk menghadapi peperiksaan sebenar!

Jika ini dapat dijadikan perbandingan, adalah 'bagus' untuk PM Mahathir memberikan markah 5/10 untuk menteri-menterinya. Kebanyakannya 'baru setahun jagung'...harap-harap tahun depan mereka akan dapat 6/10, kemudian 7/10, seterusnya 8/10 dan siapa tahu 10/10 apabila tempoh kerajaan HARAPAN berakhir apabila PRU-15 'dipanggil'.

Demikianlah adalah bagus untuk tidak memuji manusia secara melampau (termasuklah kerajaan HARAPAN). Ini kerana dalam kebanyakan kes pujian akan 'meranapkan' sesuatu pihak itu. Banyak orang atau pihak tidak tahu bagaimana 'mahu menyambut pujian itu'. Tetapi apabila dikeji atau dikritik mereka sentiasa berwaspada, bangun dan bingkas...bersiaga menghadapi pancaroba.

Salah satu pihak yang ranap akibat puji-pujian ini adalah Umno-BN. Sebelum PRU-14 lalu, puji-pujian itu (termasuklah membodek secara melampau) menjerumuskan parti itu ke lembah kehancuran. Selain itu, pemimpin Umno-BN berlagak 'macam Tuhan' apabila mengemukan slogan seperti ‘Hanya BN yang mampu' dan ‘Hanya Umno yang mampu…’ Apakah hak Umno-BN untuk menyakini ia saja yang mampu melaksanakan sesuatu itu.

Kata-kata seperti, “tak ada Umno orang Melayu mundur” adalah berlawanan daripada apa yang diikrarkan dalam syahadah kerana ia bermaksud “Umnolah memberikan kemajuan kepada orang Melayu” sedangkan hakikatnya Allah-lah yang memaju dan memundurkan sesuatu bangsa itu mengikut kehendak-Nya.

Slogan ‘Umno – dulu, kini dan selamanya’, adalah jelas merapu kerana “sesungguhnya segala pujian, nikmat dan pemerintahan, adalah kepunyaan Engkau, tidak ada sekutu bagi Engkau.” Allah-lah penentu segala-gala termasuk pemerintahan di dunia ini, bukannya Umno. Buktinya selepas PRU-14, ke mana pergi Umno?

Orang sufi pun memandang hina kepada pemberi dan penerima pujian melampau - Imam Al-Muhasibi (Abu Abdillah al-Harits bin Asad Al-Muhasibi) berkata: "Perumpamaan orang (pihak) yang gembira dengan pujian palsu adalah sama dengan orang yang dikatakan kepadanya; 'tahi yang keluar daripada perutmu ada bau kasturi', dalam keadaan dia gembira dengan pujian itu, dan rela dirinya dipersendakan."

No comments: