Monday, December 30, 2019

Rumah tangga 21: Cuba hayati sekelumit perjuangan Rasulullah...

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

Demi masa sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang beriman, beramal salih, berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran. (Maksud ayat 1-3 Surah Al-Asr)

RASULULLAH s.a.w. adalah contoh ikutan dalam semua bidang kehidupan. Sebagai contoh baginda adalah ketua negara, ketua di masjid (imam), ketua pasukan perang dan dalam konteks bicara dalam ruangan ini baginda adalah ketua keluarga (rumah tangga).

Rasulullah s.a.w. berdakwah termasuklah ke Taif seperti dikisahkan sesetengah ustaz pada sambutan Maulidur Rasul, jadi penulis (LanH) sejak 2004 cuba-cuba 'belajar berdakwah' dengan mengedarkan risalah cara pemakaian pakaian menutup aurat yang sempurna kepada wanita-wanita terutama yang dilihat bertudung tetapi tidak sempurna penutupan aurat mereka seperti memakai baju-T mendedahkan lengan atau berjeans dan blaus terlalu ketat.

Bagi saya, wanita-wanita bertudung sudah berada di permulaan landasan betul, cuma mereka perlu 'ditolong sikit lagi' dengan menerangkan kepada mereka bahawa menutup aurat itu bukan bermakna bertudung saja. Apa erti bertudung jika pakaiannya tersangat ketat, lengan terdedah atau mempamerkan akhlak yang kurang baik seperti membonceng serta memeluk erat pasangan lelaki ketika bermotosikal.  

Wanita terutama anak-anak gadis ini adalah macam anak kita sendiri, jadi kita usahakan untuk mendakwah mereka agar mereka selamat dunia dan akhirat, insya-Allah. Sebahagian wanita yang menerima risalah mengenai aurat ini menyambutnya dengan baik terutama yang berjalan 'solo' tetapi jika mereka berkumpulan, lain pula jadinya.

Suatu ketika penulis terasa tamparan hebat apabila sekumpulan remaja perempuan ketawa besar ketika membaca risalah itu malah ada yang bergolek-golek di lantai - bergelak dan membuat aksi lucu sesama sendiri.

Pedih di muka sudah terasa, seluruh badan menggigil menahan malu dan marah. Terasa tersangat hina diperlukan sedemikian rupa...tetapi bagi menyabar dan melembutkan diri penulis cuba bayangkan serta cuba hayati sekelumit daripada apa dirasai Nabi Muhammad s.a.w. tatkala baginda diusir dan dibaling batu oleh kanak-kanak ketika berdakwah di Taif.

Ohhh, alangkah susah dan sukarnya laluan dakwah Nabi s.a.w. Subhanallah bagaimana Nabi s.a.w. menghadapinya...jika aku diuji dengan 'hal sikit itu' pun sudah rasa macam nak 'give up' (berputus asa) bagaimana Nabi s.a.w. ada kekuatan hati yang membolehkan baginda 'menyabarkan' malaikat yang mahu menghempap penduduk Taif dengan bongkah gunung.

Subhanallah, alangkah hebatnya engkau (Nabi s.a.w.) wahai kekasih Allah, aku tak mampu mengambil kekelumit pun daripada hehebatan keperibadianmu...yang hanya aku lakukan adalah cuba-cuba..moga-moga Allah SWT Yang Maha Berkuasa memperkenankan doaku ini untuk cuba-cuba dekat kepada-Mu dan kekasih-Mu, Rasulullah s.a.w.

Berdasarkan senario hari ini daripada wanita bertudung mendedahkan aurat atau 'berpakaian tetapi tidak berpakaian' dan pemuda yang berfoya-foya dan 'merempit', air mata Junjungan Nabi s.a.w. dibimbangi mengalir melihat gelagat umat akhir zaman ini.

Pengorbanan serta perjuangan Rasul tidak mengenal 'pencen', sehingga akhir hayat baginda masih bimbangkan nasib umatnya.Digambarkan kecintaan Rasulullah s.a.w. kepada umatnya terutama yang berada pada akhir zaman sekarang ini. Demikianlah betapa agungnya cinta Rasul kepada kita semua sedangkan kita tidak bersemangat mengingati baginda apatah lagi mengikuti sepenuh jiwa ajaran baginda.

Dalam ceramah Maulidur Rasul, ada ustaz menyatakan jika Nabi s.a.w. hidup, baginda akan menangis melihat kelakuan umat hari ini; sekarang ini amalan hidup manusia bercampur-baur antara yang baik dan buruk. 

Sempena sambutan Maulidur Rasul baru-baru ini ada ustaz. membuat kritikan yang baik. Katanya, perarakan Maulidur Rasul dibuat di mana peserta menjerit-jerit berselawat manakala pemimpin memberi nasihat penuh syahdu seperti ‘Ikutilah Rasul’, ‘Contohilah Rasul’ tetapi ada antara mereka tidak mengizinkan cara hidup Rasul dipraktikkan dalam kehidupan.

Ada syarikat berbesar hati mengarahkan pekerja mereka berarak tetapi ketika bekerja, petugas wanitanya dilarang memakai tudung. Ada pekerja lelaki pula diharamkan memakai serban dan kopiah sedangkan itu sunnah Nabi. Jadi bagaimana ini, cakap saja berdegar-degar ‘contohilah Nabi’, hakikatnya merekalah penentang ajaran Nabi paling kuat.

Kata ustaz berkenaan, salah seorang paling gembira menyambut kelahiran Nabi adalah bapa saudaranya sendiri, Abu Lahab. Dia terlalu gembira sehingga berarak (menggelilingi Kaabah sebanyak tujuh kali), tetapi ternyata apabila Nabi Muhammad mengisytiharkan kerasulannya 40 tahun kemudian, Abu Lahablah penentang Rasul paling keras sehingga kejahatannya dirakam dalam al-Quran melalui Surah Tabbat (al-Lahab).

Sempena sambutan Maulidur Rasul ini dibimbangi ramai Abu Lahab berkeliaran, mereka beriya-iya menyambutnya termasuk mengadakan perarakan besar-besaran tetapi apabila dihadapkan dengan menunaikan kewajipan dan mencegah kejahatan (maksiat), mereka berkata nanti dulu. Ada pula yang buat dua-dua sekali – kebaikan buat, kemungkaran pun mereka buat. Konsert mereka buat, majlis ilmu pun mereka buat.

Percantuman hak dan batil semakin mengelirukan. Masyarakat sudah tidak tahu mana satu betul mana satu salah. Ambil contoh mudah, pemakaian tudung. Adalah perkara biasa sekarang, ada wanita yang kejap bertudung dan kejap tidak bertudung. Artis pun pandai bertudung litup, tetapi apabila berada di pentas, tudung mereka entah ke mana.

Ada wanita yang bertudung tetapi ‘menelanjangkan’ anggota aurat lain seperti betis dan paha (berkain belah), lengan (berpakaian baju ‘baby’) malah dada (tudung singkat manakala baju ‘low cut’). Fikir-fikirkanlah, adakah Nabi menyuruh umatnya (wanita) menutup kepala (atau rambut saja), tetapi mendedahkan aurat lain? Berdasarkan senario ini, tidak menangiskah Nabi melihat keadaan umatnya pada akhir zaman ini. Atau adakah layak atau tidak malukah kita untuk mengaku sebagai umat Nabi Muhammad s.a.w.?  

Friday, December 27, 2019

2020: Usah bebani rakyat

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

Demi masa, sesungguhnya manusia dalam kerugian, kecuali orang beriman, beramal salih, berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran. - Maksud Surah Al-Asr 1-3

SELAMAT tahun baharu 2020. Antara perkara ditakuti rakyat apabila memasuki tahun baharu adalah peningkatan kos kehidupan. Biasalah bagi mereka bergaji,, pendapatan bulanan mereka akan dinaikkan dan dapat menyerap peningkatan itu, tetapi persoalannya bagaimana nasib golongan lain?

Kenaikan harga barangan keperluan asas yang kerap berlaku pada tahun baharu juga menyebabkan penderitaan rakyat kebanyakan di kawasan luar bandar dan setinggan di kota semakin parah.

Penulis yang pernah mendampingi penduduk kawasan pedalaman mengerti betapa susahnya kehidupan seorang petani, nelayan, penoreh getah dan pekerja upahan. Malah peneroka tanah rancangan hidup sukar dengan 'hutang bertimbun'.

Ada keluarga yang penulis kenali; kerana kemiskinannya membeli beras ‘timbang’ tidak seperti orang bandar yang membeli sekampit 10 kilogram. Mereka membeli setengah atau satu kilogram beras setiap kali ke kedai; demikian juga barangan lain, pembelian dilakukan secara sedikit-dikit seperti suku kilogram biskut kering dan satu lingkaran (bukan kotak) ubat nyamuk.

Ada keluarga yang terlalu tersepit kehidupan mereka seperti tidak dapat menoreh getah, terpaksa berhutang di kedai runcit kampung malah ada yang menebalkan muka pergi ke rumah jiran bagi ‘meminjam’ satu atau dua pot (tin) beras. Tentunya kesusahan ini tidak dirasai golongan kaya termasuk menteri yang bijak berkata-kata bagi merasionalkan kenaikan harga barangan keperluan seperti minyak (petrol), gula dan tepung.

Berhubung kenaikan harga barangan keperluan ini, sukacita saya menarik perhatian pengalaman saya ketika berada di luar negara bagi mengimbangi ‘kata-kata menyakitkan hati’ yang diluahkan menteri dan pegawai pada era rejim lalu, berhubung kenaikan harga barangan seperti “harga kita terendah berbanding negara Asean lain”, dan “harga minyak kita adalah amat rendah berbanding di UK dan negara maju lain.”

Sekalipun taraf kehidupan di negara maju seperti UK adalah tinggi, harga barangan keperluan asas (yang belum dimasak) adalah sangat rendah, demikian beritahu seorang saudara ketika saya mengunjungi beliau di Manchester tidak lama dulu. Katanya harga bahan mentah asasi seperti tepung, ayam dan sebagainya amat rendah tetapi melambung tinggi apabila disediakan sebagai makanan terhidang di restoran dan hotel.

“Pokoknya di sini harga barangan keperluan harian adalah rendah, ia mampu didapati orang miskin sekalipun, termasuklah golongan yang mendapat bantuan (dole) daripada kerajaan,” kata saudara itu.

“Namun kepada orang kaya, terpulanglah kepada mereka untuk menghabiskan wang mereka yang banyak itu di restoran besar yang harga makanan dan perkhidmatannya tersangat tinggi. Apa yang penting, orang miskin pun hidup selesa dengan syarat mereka kena berusaha lebih seperti memasak sendiri makanan,” katanya.

Ketika menunaikan haji dan umrah, saya dapati di Makkah, makanan asasi seperti roti kerap diberikan percuma; di kedai-kedai tidak menjadi masalah untuk orang ramai mendapatkannya dengan harga yang tersangat murah. Malah orang miskin boleh mendapatkannya secara percuma di tempat-tempat tertentu.

Suatu ciri unik di sesetengah kedai di kota suci ini, roti yang disediakan adalah percuma tetapi apabila seseorang itu mahukan kuah (kari), harganya boleh meningkat sehingga 5 riyal (SR) ke SR10 atau lebih daripada itu, bergantung kepada lauk yang diambil.

Disebabkan roti diberikan percuma, saya perhatikan ada penjual di jalanan dan pengemis yang menggunyah roti itu saja tanpa sebarang lauk. Saya pernah berhenti sebentar, melayan seorang penjual kain tudung wanita Afghanistan di jalanan yang sedang asyik mengunyah ‘roti kosong’ bersama seorang budak lelaki yang agak saya cucunya.

Dia yang melarikan diri daripada perang Afghanistan, mengakui roti itu boleh didapati dengan harga murah, malah ada yang diberi percuma. Kerana tidak mampu membeli lauknya, dia mengunyah roti itu dan sesekali meneguk ‘air kosong’ dalam botol di sisinya bagi ‘menolak’ roti dalam tekaknya itu.

Cucunya pun asyik menelan roti itu; tetapi daripada wajahnya yang liar memandang ke sana sini, saya mengerti dia tidak enak dengan keadaan itu. Mungkin dia berfikir, alangkah nikmatnya jika roti itu dapat dicelupkan dalam kari ayam atau daging. Kari ikan mungkin lebih mahal kerana spesies haiwan laut ini sukar didapati di sini.

Keadaan di luar negara ini mungkin boleh dijadikan pedoman bagi pihak berkuasa di negara kita – sediakan makanan asasi dalam harga paling murah agar rakyat miskin dan termiskin tidak terbeban. Misalnya, beras yang menjadi makanan ruji rakyat, biarkan ia berada pada paras harga paling rendah.

Demikian juga minyak masak (bukankah kita pernah menjadi pengeksport minyak sawit terbesar dunia), gas memasak dan sejumlah kecil barangan keperluan lain seperti gula, tepung, cili dan asam garam. Jika ini sudah dilakukan, mungkin rakyat tidak merungut jika menteri mahu membandingkan harga barangan dengan di UK atau negara Asean lain!  


Sunday, December 22, 2019

Ambil iktibar kejatuhan Melaka

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang beriman, beramal salih, berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran. - Maksud Surah A;-Asr, 1-3

DARIPADA 'terpampang gagah' kini sudah tiada lagi. Ia sudah jadi 'allahyarham'. Demikianlah nasib akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo terbitan Utusan Melayu Malaysia Berhad.

Saya yang hampir setiap hari ke bahagian majalah Perpustakaan Awam Melaka di Bukit Baru, hanya melihat di rak akhbar nama tanda 'gagah' UTUSAN MALAYSIA dan KOSMO, tetapi sayang seribu kali sayang kedua-dua akhbar ini sudah jadi 'allahyarham'. Bila 'nak hidup balik'? Wallahu a'alam (Dan Allah lebih tahu),

Kini Kongres Nasional KEADILAN diadakan di Melaka. Selamat datang di negeri Melaka yang terkenal dengan 'tagline' Di Sini Segalanya Bermula. Namun perlu diingat di negeri ini juga berlaku 'pelbagai pengakhiran'. "Kematian' Utusan Malaysia dan Kosmo juga dirasai di Melaka. Jadi kepada 'orang' KEADILAN dan HARAPAN, berhati-hatilah dalam tindakan dan sikap anda sekarang ini, takut-takut parti dan kerajaan anda juga sedang menuju kematiannya!

Kini setiap kali ke perpustakaan, saya sebagai pembaca tegar, 'berasa semacam' apabila terlihat 'batu nesan' (papan nama di rak)  Utusan Malaysia dan Kosmo. Sekalipun tidak suka dengan pendekatan laporan dan kecenderungan serta kecondongan Utusan Malaysia, saya baca juga akhbar ini, tetapi sekarang terasa begitu sepi sekali apabila akhbar ini sudah mati...

Apabila Utusan Malaysia terkubur apakah terkubur sama perjuangannya?Suatu hari saya membongkar akhbar keluaran lalu Utusan Malaysia. Dalam akhbar Rabu 9 Oktober 2019, ada satu iklan satu muka surat penuh Utusan menyatakan: Mencari Penaja Dalam Perjuangan Membina 100 Baitul Hikmah di 100 Masjid.  Ayuh Lahirkan Lagi 100 Imam Ghazali.

Persoalannya, dengan 'matinya' Utusan Malaysia, matikah sama cita-citanya ini? Demikianlah ini sebagai contoh sahaja; kepada 'orang', 'penyokong', perwakilan terutama pemimpin KEADILAN yang berkongres di Melaka, 'pikiak' (fikir-fikirlah), parti dan kerajaan anda juga akan sampai kepada 'noktah' (penghujung) macam Utusan Malaysia jika 'perangai' dan 'sikap' awak tak banyak beza. 'Banyak' gaduh, adu domba, hasut menghasut, dengki, tikam belakang dan sebagainya,.

'Hei 'brother', ambil iktibar daripada kejatuhan empayar Melayu Melaka lebih 500 tahun dulu. Jika kita rujuk kejatuhan banyak empayar termasuk Melaka, satu daripada faktornya adalah penguasa-penguasa terakhirnya (termasuklah orang besar seperti menteri) tersungkur di kaki perempuan, korupsi berleluasa dalam negara manakala rakyat dizalimi dengan pelbagai tekanan termasuk dikenakan cukai melampau. Ada yang membiarkan permaisuri 'menguasai keadaan' - mereka bagikan tunggul atau 'yes man' saja kepada segala kehendak bini.

Selain itu terlalu ramai pemimpin menjadi 'kaki bodek' (mengiyakan apa saja kelakuan pemerintah iaitu tidak berani menegur mereka manakala sebahagian lagi menjadi pengkhianat - mereka menjadi gunting dalam lipatan, memberi bantuan kepada musuh pada saat-saat genting).

Zaman gerhana Melaka kerap dirujuk kepada pemerintahan Sultan Mahmud Shah (1488-1511) iaitu pemerintah Melaka terakhir. Merujuk kepada sesetengah pengkaji, mereka mendakwa Sultan Mahmud tidak mementingkan kesejahteraan rakyatnya. Salah satu kelemahannya adalah berkenaan perempuan. Semua perempuan berdahi licin hendak dimilikinya.

Misalnya, Tun Fatimah, anak Bendahara Melaka yang cantik dicemburui sultan kerana telah berkahwin dengan Tun Ali. Akibat rasa cemburu dan tidak senang hati dengan tindakan Bendahara Tun Mutahir tidak mempersembahkan Tun Fatimah terlebih dahulu kepadanya, Sultan Mahmud murka. Terlebih dahulu Datuk Mandeliar dan Si Kitol telah menghasut Sultan Mahmud Shah – masuk jarum.. Alahai sultan, mudahnya terpengaruh. Akhirnya seluruh keluarga Tun Mutahir dibunuh, yang tinggal hanya Tun Fatimah untuk dijadikan isteri Sultan.

Kemaruk Sultan memuncak apabila 'tergilakan' Puteri Gunung Ledang. Puteri bijak menghelah dengan mengemukakan tujuh syarat peminangan termasuklah disediakan jambatan emas menghubungkan puncak gunung itu dengan Melaka dan semangkuk darah anakanda Sultan, Raja Ahmad. Disebutkan pada mula Sultan Melaka berhasrat memenuhi syarat itu - cukai ke atas rakyat ditingkatkan manakala ada menyebut harta mereka seperti emas dirampas. Namun faktor membabitkan kepentingan diri sendiri (semangkuk darah Raja Ahmad), Sultan membatalkan hasrat itu.

Kezaliman Sultan sudah keterlaluan, tetapi adakah orang berani menegur? Jawapan yang zahir adalah tidak kerana mereka tersangat takut kerana orang kanannya sendiri seperti Bendahara bukan saja disingkirkan tetapi seluruh keluarganya dibunuh. Menegur Sultan bermakna mati atau setidak-tidak dihumbankan ke dalam penjara atau 'dibuang ke luar daerah' (dihukum bunuh tetapi diselamatkan Bendahara Tun Perak) seperti dialami Laksamana Hang Tuah.

Menegur Sultan (mengkritik pemerintah) tidak berlaku pada zaman gerhana ini. Apa yang ada terdapat ramai pengampu dan tukang fitnah serta pengkhianat seperti Si Kitol dan Datuk Mendeliar. Sultan diberi 'gambaran indah-indah' - tidak mengetahui situasi sebenar dalam negara yang di ambang untuk jatuh. Ramai yang berarak menyatakan sokongan kepada Sultan, hakikatnya sokongan inilah yang membawa rebah. Ya pemerintah sudah nazak tetapi masih ramai rakyat berarak-arak di jalan raya...

Apabila Portugis menyerang Melaka pada 1511, dilaporkan angkatan perang Melaka terlalu gagah untuk dikalahkan. Tetapi angkara terlalu ramai pengkhianat (termasuk yang berarak di jalan raya menyatakan sokongan)  yang memberi bantuan sama ada secara terang-terangan atau sembunyi-sembunyi, akhirnya tewaslah Melaka menyebabkan Sultan Mahmud terpaksa berpindah randah dan akhirnya mangkat di Sumatera pada 1528. 

Demikianlah berakhirnya sebuah empayar, peristiwa dalam sejarah kerap berulang-ulang...adakah kita mahu terus membutakan mata dan memekakkan telinga daripada pengajaran sejarah ini. Faktor seperti fitnah, adu domba, pemerintah 'dikuasai bini', bersikap boros, menindas rakyat dengan cukai tinggi, membunuh (menyingkir) pesaing termasuk pembantu kanan adalah fenomena biasa pada zaman gerhana...ya fikir-fikirkanlah sejenak sama ada parti dan kerajaan kita kini di zaman gerhana atau tidak!


Sunday, December 1, 2019

Rumah tangga 20: Akibat terlalu banyak minum susu lembu...

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

Demi masa sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang beriman, beramal salih dan berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran. - Ayat 1-3 Surah Al-Asr

SEJUMLAH kucing 'jalanan' menjadikan sekitar rumah saya sebagai 'kawasan' mereka. Saya memberikan kucing-kucing itu makan, jadi mereka 'seronok duduk, tidur, baring di bahagian luar rumah. Setiap kali makan, saya mengira jumlahnya - ada ketikanya 10, paling banyak sampai 15 ekor.

Saya pernah 'membidankan' kucing beranak. Suatu ketika saya memecahkan 'sarung (selaput)' anak kucing yang baharu diberanakkan, takut-takut dia lemas. Pernah juga saya menarik keluar seekor anak kucing yang tersekat di peranakan ibunya.

Satu perkara saya perhatikan ibu kucing selepas beranak, akan membawa anak-anaknya untuk 'disembunyikan'. Sukar menemui anak-anak kucing itu - sepanjang tempoh ini ibu kucing akan menyusukan anak-anaknya...ia tidak mendedahkan anak-anaknya memakan 'benda-benda' lain.

Hebat kucing kerana ia tahu 'kebaikan susu ibu'! Manusia juga diberitahu oleh Allah SWT mengenai makanan terbaik untuk bayi iaitu susu badan ibu sendiri - malah si ibu disarankan menyusukan bayi mereka sendiri selama dua tahun. Namun apa yang ramai 'ibu-ibu moden' lakukan adalah memberikan susu formula (lembu) kepada bayi mereka.

Jika ibu tidak dapat menyusukan sendiri anak-anak mereka disebabkan pelbagai masalah seperti kesihatan, mereka disarankan mencari wanita lain (ibu susuan) untuk tujuan itu bukan 'mencari susu lembu'. Nabi kita, Muhammad s.a.w. mempunyai ibu susuan iaitu Tsuwaibah dan Halimah Abu Zuaib (As-Sa'adiyyah).

Sejak dahulu hingga sekarang, jarang kita mendengar di kalangan masyarakat kita mengenai ibu susuan ini. Kebanyakan ibu memberikan anak mereka susu lembu dan baru-baru ini susu kambing yang didakwa sesetengah pihak mempunyai banyak kebaikan.

Ya generasi saya dan generasi di bawah saya (pemuda-pemudi sekarang ini) 'terlalu banyak' minum susu lembu...jadi mungkinkah itu antara sebab mengapa anggota masyarakat ini 'perangai' mereka daripada sehari demi sehari semakin teruk. Ya, kita melawan perintah Allah SWT...kita disarankan menyusukan sendiri anak-anak tetapi kita memberi mereka susu lembu!

Kini negara dan rakyat kita ditimpa pelbagai masalah menakutkan. Jenayah seperti rasuah, pembunuhan, perompakan, ragut, rogol, zina dan membuang bayi semakin menjadi-jadi. Daripada setinggi-tinggi jenayah berprofil tinggi sehingga pembulian di sekolah, semuanya membimbangkan, membayangkan terlalu banyak perkara tidak beres dalam masyarakat kita.

Jenayah kejam yang tidak terfikirkan dulu seperti anak membunuh bapa dan anggota keluarga lain perlu dimuhasabah; apa sebenarnya sudah menimpa masyarakat kita? Apa sebenarnya sudah berlaku kepada generasi muda yang kita didik di sekolah-sekolah kita hari ini?

Gejala songsang ini dan masalah sosial lain seperti penagihan dadah tidak ada penamatnya. Semakin kerajaan bertindak membendungnya, jenayah semakin menjadi-jadi, laksana mencurahkan minyak ke dalam api. Nasihat dan teguran tidak diendahkan, bagaikan mencurah air ke daun keladi.

Tentulah masyarakat tertanya-tanya mengapa hal ini terjadi. Bagi orang Islam beriman, ketidak barakahan dalam hidup ini adalah kerana kita tidak ikut perintah Allah (seperti bab penyusuan bayi), undang-undang Islam tidak diguna pakai, sedangkan Allah SWT memberi jaminan bahawa dalam hukum-hakam-Nya ada kehidupan.

Apabila perintah dan undang-undang Allah tidak terlaksana, porak-perandalah masyarakat. Pembunuhan, perompakan dan penzinaan semakin menjadi-jadi sedangkan mengikut hukum Allah, mereka yang bersalah perlu menjalani hukum hudud, qisas dan sebagainya. Apabila hukum Allah tertegak misalnya hukum membunuh dibalas bunuh mengikut hukum qisas, maka gentarlah setiap orang, lantas terselamatlah anggota masyarakat.

Berdasarkan hakikat tidak tertegaknya hukum-hakam Islam, terserlah bahawa apa yang berlaku dalam masyarakat hari ini adalah cerminan daripada sikap dan pembawaan pemimpinnya. Jika pemimpin mahu Islam, rakyat pun mahukan Islam; tetapi apabila pemimpin terus dengan cara Barat dan sekularnya maka rakyat akan mengikutinya.

Dari segi kepimpinan, pepatah Melayu menyatakan, bagaimana acuan begitulah kuihnya. Kalau hendak melentur buluh biar daripada rebungnya manakala bijak pandai pula berkata 'kalau nak tahu masa depan negara, lihatlah pada generasi mudanya'.

Generasi muda mendambakan idola tetapi yang menjadi tumpuan adalah artis-artis dan dunia hiburan yang kerap benar terpesong daripada sempadan tuntutan agama.

Sekali lagi generasi muda gagal mendapatkan contoh baik sebaliknya mereka terikut-ikut gaya penghidupan songsang. Siapa yang membenarkan cara hidup ini kalau bukan pemimpin? Merekalah yang meluluskan lesen, merekalah yang menguatkuasakan undang-undang, merekalah menunjukkan contoh, jadi mereka sewajarlah memikul tanggungjawab paling besar dalam pendidikan dan masa depan anak bangsa.

Pemimpin mempunyai tanggungjawab besar dalam menentukan masa depan generasi muda. Tetapi apakah pemimpin hari ini dapat dijadikan rujukan yang baik kepada anak-anak? Jawapannya adalah ya dan tidak.

Hari ini banyak pemimpin terpalit dengan perlakukan buruk, ada yang dituduh melakukan pembunuhan, tidak kurang juga didapati bersalah melalukan rasuah.

Pemimpin sewajarnya bukan saja bersih tetapi dilihat bersih. Tetapi ramai memperlihatkan watak dan tindakan yang tidak sejajar dengan pandangan dan nasihat yang mereka berikan. Sebagai contoh seorang pemimpin bercakap berapi-api mengenai keburukan amalan rasuah di pentas orang ramai, tetapi dialah juara politik wang, jadi bolehkah dia menjadi idola generasi muda?

Sementara itu jika pemimpin gemar dengan agenda berfoya-foya dengan pesta yang tidak pernah habis-habis seperti yang kerap berlaku di negara kita, maka tidak hairanlah generasi muda akan terikut sama.

Kata orang, bapa borek anak rintik, kalau guru kencing berdiri, anak murid kencing berlari! Kalau perintah Allah menyuruh sang ibu menyusu bayinya tidak diikuti sebaliknya diberikan susu lembu...kita bimbang anak-anak kita akan menempuh jalan yang gelap dan sukar...

Wednesday, November 27, 2019

Malam untuk tidur, bukan makan-makan!

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

Demi masa sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang beriman, beramal salih dan berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran. (Maksud Ayat 1-3 Surah Al-Asr)

KEMBARA solo saya telah membawa saya ke sejumlah negara Asean. Berdasarkan pandangan mata, saya dapati orang Malaysia paling ramai yang gempal, gemok dan boroi berbanding di negara lain seperti Indonesia dan Thailand.

Apa yang saya disaksikan itu adalah sama dengan Laporan 'Mengatasi Obesiti di Asean' yang merangkumi Malaysia, Singapura, Indonesia, Thailand, Filipina dan Vietnam oleh Unit Perisikan Ekonomi pada 2017, meletakkan Malaysia sebagai juara negara obes di Asia Tenggara.

Menurut laporan itu kadar obesiti di Malaysia adalah 13.3 peratus, manakala peratusan rakyatnya yang memiliki berat badan berlebihan adalah 38.5 peratus.

Salah satu penyumbang kepada masalah obesiti dan kesihatan ada makan berlebihan pada sebelah malam apatah lagi pada larut malam dan dinihari. Gaya hidup kurang sihat ini disuburkan dengan wujud dan tumbuhnya macam cendawan gerai dan restoran yang beroperasi sehingga subuh atau lebih teruk lagi dibuka 24 malam. 

Hal ini bermakna rakyat Malaysia makan dan terus makan pada bila-bila masa; jadi istilah sarapan, makan tengah hari dan makan malam seolah-olah tidak terpakai lagi. 

Situasi ini tidak berlaku di sesetengah negara  atau wilayah dan kota yang penguasanya berusaha agar kesihatan penduduk diberi perhatian serius. Sehubungan itu, kita menyambut baik usaha kerajaan Kelantan untuk mengehadkan operasi premis menjual makanan sehingga jam 12 tengah malam.

Bercakap mengenai perkara ini, teringat saya kunjungan saya ke Manipal, India, tidak lama lagi. Manipal adalah sebuah 'bandar ilmu' terutama dalam bidang perubatan dan keadaan bandar ini yang agak unik dari kaca mata saya.

Manipal kira-kira enam dekad dulu, adalah sebuah kawasan berbukit tandus dengan hanya beberapa batang pokok. Tetapi di atas usaha seorang doktor berwawasan tinggi, Dr TM A Pai, bandar yang bermaksud 'kawasan berlumpur di tepi tasik' dalam bahasa Tulu bertukar menjadi pusat ilmu bukan saja menjadi kebanggaan India tetapi masyhur di peringkat antarabangsa. 

Universiti Manipal yang sempat saya kunjungi mempunyai 19 kolej, daripada bidang perniagaan, kejuruteraan dan sains kesihatan. Manipal juga berbangga dengan wujudnya Muzium Anatomi dan Pathologi (MAP) yang terbesar di Asia. Muzium ini menempatkan ribuan spesimen asli manusia (bukan plastik) daripada rangka hinggalah alat kemaluan mereka! 

'Keunikan' Manipal boleh 'dirasakan' sebaik saja seorang mendaftar masuk ke hotel penginapannya. Hanya sebutir kecil sabun perubatan disediakan dalam bilik (berbanding hotel di tempat lain yang menyediakan pelbagai kelengkapan seperti syampu); nampaknya penghuninya berusaha 'meminimumkan' penggunaan semua jenis barangan termasuklah plastik dan yang lebih penting lagi penjimatan elektrik. 

Apa yang mengejutkan saya, mulai jam 9.00 malam (berdasarkan pengamatan saya), bandar Manipal sudah bergelap apabila hampir semua lampu jalan dipadamkan. Pendeknya, kegiatan dan urusan luar rumah dan bangunan sudah terhenti; fikir saya mungkinkah orang Manipal sudah bersiap sedia untuk masuk tidur! 

Seorang pelajar mengesahkan dugaan saya itu. Katanya, menjelang tengah malam, hampir semua kegiatan dihentikan; restoran pun perlu menutup kedai pada jam 11.00 malam, demikian juga pelbagai kemudahan awam seperti perpustakaan. 

Pendeknya, malam bagi orang Manipal adalah untuk tidur dan bagi 'pemburu ilmu', mereka bersengkang mata di rumah sendiri bukannya 'merayap' di kedai-kedai 'mamak' dan makanan segera 24 jam; suatu fenomena yang semakin menjadi-jadi di negara kita! 

Sebagai penghuni 'bandar ilmu', orang Manipal faham bahawa malam dijadikan Tuhan untuk berehat selepas berhempas pulas bekerja atau menuntut ilmu pada siang harinya. Selain itu mereka dapat berjimat dari segi penggunaan elektrik dan tenaga manusia. 



Apabila cukup tidur pada sebelah malam, bersemangatlah orang Manipal terutama puluhan ribu pelajarnya memburu ilmu pada siang harinya. Mungkinkah ini rahsia yang membuatkan Manipal semakin dikenali di kalangan cendekiawan dari seluruh pelosok dunia termasuk ribuan pelajar dari Malaysia yang menuntut di sana. 

Wednesday, November 20, 2019

Rumah tangga 19: Umrah sudah, kenapa perangai tak berubah?

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

Demi masa sesungguhnya manusia itu dalam kerugian; kecuali orang beriman, beramal salih, dan berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran, (Surah Al-Asr, 1-3)

CUTI sekolah akhir tahun menjelang tiba. Pada akhir November dan sepanjang Disember nanti, ramai rakyat Malaysia ke Tanah Suci menunaikan umrah. 

Tidak kurang ibu bapa membawa anggota keluarga termasuk anak-anak yang masih bersekolah. Alhamdulillah, baguslah jika kita dapat menjadikan umrah sebagai aktiviti keluarga dalam menunaikan ketaatan kepada Allah SWT.

Ya, sudah menjadi kebiasaan orang Malaysia sekarang ini kerap menunaikan umrah. Malah ada yang berulang-ulang kali melakukan sehingga ada yang melakukannya setiap tahun. Ada orang kaya dan ternama dilaporkan sudah menunaikannya sehingga 10 kali tetapi belum juga berhaji.Itulah yang sedihnya.

Melakukan umrah yang banyak tidak sama sekali menggugurkan tuntutan menyempurnakan Rukun Islam kelima iaitu menunaikan haji dan sungguh gerun mendengar ancaman Allah SWT terhadap orang yang enggan menunaikannya sebagaimana firman-Nya dalam Surah Ali-Imran ayat 97 yang bermaksud: “Dan Allah mewajibkan manusia (orang Islam) mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu dan berkuasa sampai kepadanya, dan siapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) daripada sekalian makhluk.”

Seorang ustaz dalam kuliah mingguan di masjid berhampiran rumah penulis baru-baru ini, menyatakan kesalnya ada orang yang mahu berangkat menunaikan umrah atau haji tetapi tidak sedia berubah untuk melaksanakan perintah Allah seperti memakai pakaian menutup aurat sepenuhnya bagi perempuan apabila kembali semula ke tanah air.

Katanya, adalah tidak wajar untuk seseorang itu berkata, dia belum bersedia untuk mematuhi perintah Allah kerana siapakah kita untuk berkata demikian sedangkan nyawa kita dalam tangan-Nya, bila-bila masa saja Dia boleh mencabutnya, tidak kira kita bersedia atau tidak.

Antara amalan paling mencabar dalam melengkapkan ibadat haji adalah wukuf (rukun haji) di Arafah, kemudian perjalanan ke Muzdalifah, seterusnya bermalam di Mina dan melontar di jamrah (wajib haji).

Inilah kegiatan dan hari-hari penuh bermakna bagi seseorang jemaah haji. Semua pengalaman ini tidak dialami oleh mereka yang menunaikan umrah. Namun, mungkin semasa menyertai pakej umrah, mutawif akan membawa mereka menziarahi kawasan-kawasan ini. Diharapkan dengan melihat tempat-tempat manasik haji ini akan tergerak hati mereka untuk menunaikan haji dengan seberapa segera.

Wukuf di Arafah adalah rukun haji yang tersangat penting. Tiada wukuf tiadalah haji. Seseorang jemaah itu dikehendaki berada di bumi Arafah walaupun sekejap saja di antara selepas tergelincir matahari hari ke-9 Zulhijah hingga sebelum terbit fajar pada 10 Zulhijah. Adalah mustahak diingati bahawa seseorang itu perlu dalam keadaan sedar di Arafah itu, orang yang hilang akal atau pitam atau gila sepanjang masa wukuf itu, tidak menepati syarat sah wukuf.

Penuhilah masa di Arafah itu dengan bertalbiyah, berzikir, beristighfar, membaca al-Quran dan bermunajat kepada Allah SWT. Selain solat waktu yang dilakukan secara berjemaah, seseorang itu boleh mengasingkan dirinya daripada orang ramai, dan apabila bersendirian akan terasalah gegaran hati ketika bermunajat, mengakui dosa seterusnya memohon ampun kepada Allah SWT. Saat itu terasa Allah SWT tersangat dekat dengan kita.

Akan berlinanglah air mata, teresak-esak tangisan apabila berdoa yang antara lain berbunyi: “Ya Allah, ya Tuhanku, sesungguhnya aku pohon akan Dikau dengan kemuliaan zat-Mu dengan kemurahan-Mu yang kekal abadi, dengan segala nama-Mu Yang Maha Besar, dengan apa yang diturunkan ke atas nabi-Mu, Sayidina Muhammad s.a.w. dan sekalian saudara-saudaranya daripada nabi-nabi dan rasul-rasul serta keluarganya, sahabat-sahabatnya dan sekalian pengikut mereka daripada golongan ulama-ulama yang beramal, wali-wali yang salih.

“Dengan kehormatan di hari itu bahawa Engkau memberi rahmat ke atas Nabi Muhammad, bahawa Engkau ampunkan kami, kedua-dua ibu bapa kami, anak-anak kami, saudara-mara kami, sekian kaum keluarga kami, guru-guru kami, sahabat-sahabat kami, mereka yang berbuat baik kepada kami, mereka yang mempunyai hak ke atas kami, mereka yang kami zaliminya atau menyakitinya, dan sekalian orang-orang Islam lelaki dan perempuan sama ada yang hidup atau mati.

“Engkau memberi rezeki dan kebajikan kepada kami dan mereka itu di dunia dan akhirat dan Engkau peliharakan kami dan mereka daripada segala bencana. Engkau jauhkan mala petaka dunia dan akhirat. Bahawa Engkau kurniakan kepada kami ilmu pengetahuan yang berguna dan amalan yang salih. Engkau peliharakan kami daripada perbuatan-perbuatan jahat sama ada daripada manusia, jin, binatang yang buas dan lain-lainnya.

“Engkau matikan kami dan mereka dalam husnulkhatimah, wahai Tuhan kami berilah kami di dunia ini kebaikan, di akhirat juga kebaikan, peliharalah kami daripada azab neraka, selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad dan keluarganya, sahabat-sahabatnya. Maha Suci Engkau ya Allah daripada segala sifat kekurangan. Salam sejahtera ke atas sekalian rasul-rasul dan segala pujian itu tertentu kepada Allah yang memiliki sekalian alam.”  

Saturday, November 16, 2019

Perpaduan: Contohi Chetti, Baba Melaka

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; salawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

Demi masa sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang beriman, beramal salih dan berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran. (Maksud Surah Al-Asr 1-3)

SEDEKAD dulu semasa berulang alik Melaka-Kuala Lumpur (rumah saya di Melaka tetapi bekerja
di KL) dengan bas ekspres setiap hari, saya berkenalan dengan 'rakan sepenumpang' iaitu
seorang lelaki pertengahan usia yang saya tersalah anggap sebagai Melayu-Islam.

Apabila bertemu saja, saya memberi dia salam. Dia tidak menjawab tetapi tersenyum saja. 
Sudah banyak kali saya berbuat begitu, suatu hari dia 'membuka satu rahsia' yang membuatkan
saya terkejut dan malu sendiri.

Lelaki itu yang iras-iras orang Melayu dengan pertuturan bahasa Melayu mantap,
mendedahkan dia bukan Melayu dan tidak pula beragama Islam - namanya Maniam dan dia
orang Chetti.

Saya teringat Maniam ketika menonton sebuah paparan dalam Majalah Tiga/ TV3 baru-baru ini
yang menyiarkan kisah dan cara hidup orang Chetti Melaka. 

Chetti atau Hindu Peranakan ini adalah satu kelompok masyarakat minoriti India yang unik - 
masyarakat ini terbentuk sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka (1400-1511) hasil daripada 
perkahwinan campur antara orang-orang Hindu dengan orang-orang tempatan di Melaka.

Apa yang menariknya, orang Chetti menyerap budaya tempatan (Melayu), dalam pelbagai segi
seperti berpakaian, makanan dan bercakap bahasa Melayu sekali pun tetap teguh dengan agama
asal - Hindu.

Jika masyarakat Chetti dapat menyerap budaya Melayu, tidak kurang dengan orang
Cina yang datang ke sini pada zaman Kesultanan Melaka dahulu dan kemudian
di negeri-negeri Selat iaitu Pulau Pinang dan Singapura. Mereka membentuk masyarakat
Baba dan Nyonya, juga dikenali Cina Peranakan.

Seperti orang Chetti, masyarakat Baba juga menyerap budaya Melayu sekalipun warisan Cina dan agama
tradisionalnya serta Buddha dikekalkan. Mereka juga bercakap dalam bahasa Melayu yang 'sebijik' orang Melayu. 

Pada ketika masyarakat Malaysia terutama golongan politikus sekarang ini (2019) semakin lantang 
bercakap mengenai perkauman dan isu perkauman, adalah baik kita merujuk bagaimana 
pemerintah (pemimpin) zaman Kesultanan Melayu Melaka dulu berjaya mewujudkan perpaduan
melalui kewujudan masyarakat Baba dan Chetti ini.

Kehadiran masyarakat Chetti dan Baba ini menggambarkan betapa bijaksananya pemerintah
Melaka yang kuat berpegang kepada Islam mentadbir rakyatnya. Perlu diingat, Melaka ketika itu
adalah pusat dagang agung dunia yang bukan hanya 'mengundang' kehadiran orang Cina dan
India malah dari dunia Arab dan akhirnya orang Eropah dimulakan oleh Benggali Putih (orang Portugis).

Pemerintah Muslim yang baik (seperti ditunjukkan Sultan-Sultan Melaka) tahu bahawa Islam tidak
pernah memperjuangkan kaum - baginda Rasululllah Nabi Muhammad SAW tidak  melaungkan
semangat perkauman seperti "hidup Arab" atau "hidup Quraisy" tetapi membebaskan
manusia daripada kejahilan dan kesesatan kepada hanya tunduk kepada Yang Maha Kuasa.

Baginda berhijrah dari Makkah ke Madinah dan kemudian kembali ke Makkah adalah bagi
membebaskan bangsa Arab dan seluruh manusia daripada penjajahan dan penindasan
sesama manusia dan bukan mengangkat martabat sesuatu bangsa seperti Arab ke puncak
kuasa atau menguasai bidang kehidupan seperti ekonomi dan perluasan wilayah. 

Bagi negara kita, perjuangan berasaskan perkauman kian menjauh dan tersasar daripada
realiti perkembangan semasa. Apatah lagi dalam situasai sekarang, dengan
perkembangan terlalu pantas di bidang teknologi maklumat, hampir semua perkara
terdedah kepada pengetahuan umum dan dibahaskan semua peringkat rakyat saban masa. 

Oleh itu sebarang lontaran isu perkauman termasuk untuk mendapat sokongan undian
kaum tertentu ketika pilihan raya akan hanya memakan diri dan lebih malang lagi
mengundang negara dan manusia sejagat ke jurang kehancuran. Oleh itu hati-hatilah;
apa salah kita tiru pemerintah Melaka yang bijaksana, orang Chetti dan Baba serta Nyonya!

Monday, November 11, 2019

Rumah tangga 18: Generasi muda idam 'William Shakespeare Malaysia'

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

Demi masa sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang beriman, beramal salih dan berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran. - Maksud Surah Al-Asr 1-3

KEHIDUPAN berumah tangga (keluarga) tidak dapat lari daripada membicarakan bab persekolahan. Ini kerana anak-anak akan memasuki alam persekolahan - tempohnya panjang; 10-15 tahun iaitu daripada sekolah rendah ke universiti.

Baru-baru ini dunia pendidikan kita gempar dengan pengedaran buku komik ‘Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama’ di sekolah-sekolah. Kementerian Pendidikan melalui Menterinya, Dr Maszlee Malik bertindak pantas menyekatnya dengan berkata langkah itu adalah berlandaskan undang-undang.
Beliau berkata tindakan itu dibuat atas nasihat Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang bertanggungjawab dalam kawalan bab percetakan. Menurutnya, sebarang komik politik, buku politik atau propaganda untuk diedarkan ke sekolah perlu melalui saluran betul, merujuk KDN
Ia kerana, KDN mempunyai akta tersendiri bagi mengawal pengedaran bahan bercetak. Kenyataan Kementerian Pendidikan menegaskan bahawa kementerian itu tidak pernah memberi kebenaran dan kelulusan untuk pengedaran buku komik tersebut.
Berceloteh mengedar pengedaran dan pemilihan buku-buku bacaan di sekolah, tidak lama dulu saya menerima surat ini yang dihantar oleh seorang peminat. 
Antara lain beliau menulis: Ketika di zaman persekolahan, kami dianjurkan oleh guru-guru Bahasa Inggeris  (BI) untuk menyediakan buku-buku cerita yang dianggap dapat membantu kami dalam memperbaiki 'skill' dan tatabahasa kami.
Antara bacaan ringan yang menjadi pilihan kami ialah karya RL Stine (Fear Street) dan Christopher Pike. Saya penuh yakin para peminat puas hati setiap kali membaca karya mereka yang penuh 'trill' dan mencabar minda.
Namun begitu, sebaiknya kita perlu sedar akan misi lain yang dibawa melalui karya mereka, selain karya itu sendiri. Kita mengimport bahan bacaan tersebut dari Barat, dan dalam pada itu bermakna kita juga mengambil cara hidup mereka masuk ke dalam negara dan akar budaya kita sendiri.
Walaupun karya mereka tidak selucah mana, kita didedahkan kepada budaya 'orang putih; tanpa kita sedari. 'Kissing', 'hugging', dan seks bebas menjadi mainan hidup mereka yang dapat kita pelajari.
Mereka menghalalkan perhubungan insan berlainan jenis dengan alasan 'platonik' semata-mata - padahal ada saja yang bertukar arah ke 'passionate', dan kesannya kita terikut-ikut dengan budaya ini.
Mungkin sudah tiba masanya, pada cendekiawan bahasa Inggeris kita khususnya, tampil dengan karya lebih 'suci' dan seterusnya dapat mendidik anak bangsa kita sendiri.
Suatu hari nanti, Malaysia mungkin ada 'The Man of Letters' yang tersendiri. Dan beliau dapat menjadi 'William Shakespeare Malaysia', insya-Allah. - Farhana

Wednesday, November 6, 2019

Rumah tangga 17: Kaya, kacak, cantik semuanya akan hancur...

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. ************* Renungan ************ "Dialah (Allah) yang menciptakan bagi kamu pasangan-pasangan (jodoh) daripada makhluk (jenis) kamu sendiri agar kamu condong kepadanya dan berasa tenteram dengannya. Kemudian Allah menciptakan kasih dan sayang antara kamu." (Surah Ar Rum: 21)

PADA usia 'tak berapa muda' ini, suatu hari saya terjumpa sebuah buku lama - 'Kesah Sa-ribu Satu Malam' - Penggal X (buku ini menggunakan ejaan lama). Saya  pernah membacanya pada zaman kanak-kanak dulu; mengulang membacanya kali ini membawa pengertian baharu.

Kisah pertama adalah mengenai Saudagar Masror dan Zainul Mawasif. Diceritakan betapa cantiknya Zainul Mawasif sehingga Saudagar Masror sanggup berbuat apa saja untuk memilikinya. Harta,pangkat, kedudukan semuanya digadaikan untuk memenangi Zainul Mawasif. Hatta dia sanggup menjadi hamba Zainul Mawasif asalkan dia dapat menatap wajah si jelita itu sepanjang masa.

Zaman muda dulu saya membaca kisah ini dengan penuh perasaan dan perasan - akulah Saudagar Masror alangkah bagusnya jika aku berjaya dapat menakluk wanita cantik seperti Zainul Mawasif. Kisah ini terbawa-bawa dalam kehidupan, kita bagaikan terawang-awangan di alam fantasi dengan segala 'syok sendiri' dan 'mahysuk'nya.

Tetapi membacanya pada ketika usia 'tak berapa muda' ini - 'saya menjadi tak berapa suka'. Kisah-kisah seperti ini 'auta' saja - tak berpijak di alam nyata, fikir saya. Ia menghabiskan waktu saya yang amat berharga itu. Umur semakin 'suntuk', tak ada masa lagi untuk melayan 'kisah angau' seperti ini. Tak ada masa untuk layan kisah 'cintan-cintan sebegitu rupa'. Lantas saya 'mencampakkan' buku 1,001 malam itu, tidak melihatnya lagi sehinggalah saya menulis celoteh ini bagi menjadikannya sebagai rujukan.

Dulu masa muda, saya 'syok' dengan kisah-kisah 'merapu' ini, sebahagiannya disebabkankan kurang ilmu. Mengisafi kejahilan diri, membawa saya menadah ilmu di surau, masjid dan di mana dan ketika saja jika ada kesempatan. 

Ya, suatu malam ketika membicarakan satu bab dalam kitab 'Hikam', terpegun saya apabila Tuan Guru bersyarah, menyatakan tiada sesuatu yang baru boleh kekal, semuanya akan musnah. Perkara baru dimaksudkan di sini seluruh alam ini (selain daripada Allah SWT). Jadi kaya, kacak, tampan, cantik, lawa, 'cun' - semuanya akan berakhir dan musnah...untuk apa dikejar bagai nak gila akan hal-hal yang akan musnah ini.

Tersentak saya daripada tidur yang panjang apabila Tuan Guru berkata, orang berakal tidak melihat pada apa-apa yang bersifat kebendaan, semuanya tidak kekal, semuanya akan hancur, semuanya akan musnah. Hanya orang tidak berakal yang menyanjung kehebatan kebendaan, memikirkannya tidak akan musnah, mahukan ia kekal dan terus kekal.

Bukan individu dan hal berkaitan dengannya seperti kecantikan, kekayaan dan sebagainya akan musnah, sesebuah kerajaan hatta sebuah empayar pun akan musnah apabila sampai waktunya.

Dalam al-Quran ada kisah kaum-kaum hebat, yang membina bangunan dan tamadun tinggi tetapi musnah akhirnya. Kaum Tsamud begitu hebat, mengukir bangunan dalam batu gunung akhirnya lebur juga. Demikian juga kerajaan Sabak di Yaman, begitu hebat projek pembangunannya termasuk membina empangan Ma'rib yang masyhur itu, akhirnya musnah.

Firaun dan Haman yang mendakwa diri hebat itu akhirnya musnah juga. Demikian juga Qarun, Abu Jahal dan sebagainya. Bagi yang cantik dan perasan cantik seperti Cleopatra, Helen of Troy, Marilyn Monroe dan Puteri Diana menjadi mayat, busuk dan hancur. 

Ya, Zainul Masawif (heroin dalam 1,001 Malam) yang cantik jelita itu juga akan tua kerepot,seterusnya mati. Jadi apa nak 'disyokkan' sangat dengan Zainul Masawif ini seperti ditunjukkan Saudagar Masror.

Dunia akan hancur, apa nak dihairankan, kata Tuan Guru. Semua barang berharga atau tidak berharga, akan hancur, akan rosak.

Orang ada akal, kata Tuan Guru akan mengejar akhirat. Ini kerana semua yang ada di dunia akan rosak. Semua kehebatan dunia akan hancur. Bangunan akan hancur, Mercedes yang kita sayangi akan binasa, tiada apa yang akan tinggal. Bini kita yang 'cun melecun' itu pun akan menjadi tua kerepot malah kita yang 'handsome' ini juga akan masuk tanah, di makan ulat.

Orang yang sempurna akal, kata Tuan Guru tidak menganggap dirinya warga dunia. Dia rindu menjadi warga akhirat. Dia siapkan dirinya untuk menjadi warga akhirat. Orang paling rugi dan tak berakal adalah yang tidak menyiapkan bekalannya ke akhirat, asyik dan gila dengan kelazatan dunia yang akan musnah. Oleh itu tiada ertinya gila Saudagar Masror kepada Zainul Masawif...membaca kisah ini membuang masa saja!

Sunday, November 3, 2019

Rumah tangga 16: Anak bunuh ibu bapa; bala apa menimpa masyarakat?

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

Demi masa sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang beriman, beramal salih dan berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran. - Surah Al-Asr 1-3


SEKARANG ini kerap kita mendengar berita menakutkan mengenai rumah tangga (keluarga). Terbaru seorang suami disyaki membunuh isterinya, memotong mayat dan mencampakkanya ke dalam semak.

Demikian juga ada kes isteri disyaki membunuh sang suami; anak membunuh ibu bapa terutama dalam kes ketagihan dadah. Ada kes anak 'membuang' orang tua mereka dan lebih menghiriskan ada anak yang sanggup mengheret ayah sendiri ke mahkamah.

Dalam keadaan masyarakat yang semakin kompleks hari ini, ikatan persaudaraan semakin longgar, dan ini termasuklah hubungan antara anak dengan ibu ayahnya dan juga sesama adik beradik.

Keadaan menjadi semakin buruk apabila ada anak yang sanggup menyaman bapa sendiri seperti kes membabitkan seorang artis perempuan ternama, manakala ada gadis bertindak menyaman bapa kerana tidak membenarkan mereka mengahwini lelaki pilihan sendiri. Pendeknya perbezaan pendapat telah mengakibatkan hubungan tegang sesama anak beranak.

Perbezaan pendapat dibenarkan selagi ia tidak membabitkan hukum, tetapi memutuskan siraturahim adalah haram. Demikianlah sering kali kita diingatkan jika kita rajin mengikuti kelas-kelas pengajian di surau, masjid atau di pejabat.

Di samping itu kita juga sering diingatkan supaya memuliakan ibu bapa di samping mendoakan mereka sepanjang masa. Jalan ke syurga adalah dengan restu dan reda ibu bapa, lebih-lebih lagi si ibu.

Jika 'orang tua' sudah meninggal dunia, anak-anak terus dituntut berbakti kepada mereka seperti berakhlak mulia sehinggalah kepada amalan menziarahi sahabat taulan mereka yang masih hidup, apatah lagi layanan yang wajib diberi ketika mereka masih hidup.

Jika demikian kewajipan besar kepada ibu bapa, adalah amat memilukan jika ada anak-anak yang sanggup membunuh, menyaman ibu bapa serta mendedahkan keburukan keluarga sendiri termasuk yang telah meninggal dunia.

Kita ingin bertanya, apakah yang diingini anak-anak dengan mendedahkan kisah-kisah orang tua mereka yang sudah meninggal dunia?

Sewajarnya sebagai anak, kita mendoakan ibu bapa kita agar ditempatkan di kalangan mereka yang diredai-Nya.

Dalam Islam, anak-anak juga diajar untuk memuliakan ibu bapa sekalipun mereka belum memeluk Islam. Ringkasnya, hubungan kekeluargaan tetap utuh tetapi apa yang berlaku hari ini amat menyedihkan.

Melalui pelbagai ceramah termasuk forum agama di TV, sering kali panel mengingatkan mengenai betapa besarnya kewajipan dan tanggungjawab anak-anak terhadap ibu bapa dan keluarga.

Berdasarkan perkembangan semasa, anak-anak sekarang sudah jauh terpesong daripada mengamalkan ajaran Islam dalam kehidupan mereka.

Jika dalam sejarah sahabat dan Sirah Nabi ada dikisahkan seorang anak yang tidak dapat mengucap dua kalimah syahadah ketika akan menghadapi sakratulmaut kerana tidak mengendahkan ibunya, anak-anak hari ini nampaknya mendengar saja kisah itu tetapi gagal menjadikannya iktibar dalam mereka menjalani kehidupan.

Demikian juga amaran Allah agar anak-anak tidak membantah ibu bapa selagi bukan dalam perkara maksiat malah berkata 'aaahhh' pun tidak dibenarkan, nampaknya dijadikan halwa telinga saja.

Dalam menghadapi perbezaan pandangan, anak-anak sewajar berhemah dalam menghadapi karenah dalam keluarga. Di sini letaknya perbezaan antara insan berilmu dan tidak berilmu.

Seseorang yang tidak berilmu akan bertindak mengikut nafsu tetapi mereka yang berilmu serta mengamalnya sudah pasti akan bertindak berdasarkan hukum-hakam yang terkandung dalam agama. Apa yang dibolehkan itulah yang dibuat dan apa yang diharamkan, perkara itu dijauhi.

Berdasarkan apa yang berlaku dalam masyarakat Islam hari ini, kita berpendapat amat penting (wajib) untuk mereka terutama ketua keluarga mendalami ilmu, terutama yang bersangkutan dengan penghidupan sebagai seorang Muslim sejati.

Jika seseorang itu sudah tahu hukum-hakam agama, kita percaya masalah masyarakat seperti perpecahan dalam keluarga, pulau-memulau dan sebagainya dapat dibendung.

Ini jika kita sudah ditunjuki 'jalan yang lurus' seperti yang kita ucapkan dalam setiap rakaat solat, insya-Allah kita akan dapati kebenaran berada di depan mata! Allahuakbar.