Wednesday, October 31, 2018

Malaysia Baharu dambakan kerajaan, rakyat penjimat...

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. 

RENUNGAN

"Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah, carilah wasilah yang dapat mendekatkan kepada-Nya, dan berjuanglah di jalan-Nya." (Al-Maidah 5:35)

ALHAMDULILLAH, baru-baru ini ketika ke sebuah masjid saya diberi akhbar MelakaKini keluaran 12-18 Oktober 2018. Akhbar suara kerajaan negeri Hang Tuah kini diterbitkan secara mingguan dan bukan harian seperti sebelum ini.

Jelas tercatat di muka depan akhbar itu perkataan PERCUMA. Dulu ketika rejim lama (Umno-BN) akhbar ini dengan nama Melaka Hari ini (MHI) juga diberikan percuma di premis awam seperti masjid dan sekolah tetapi diletakkan tanda harga RM1.50. Persoalannya siapa yang membayar kos akhbar ini untuk diletakkan secara percuma di premis awam?

Sumber memberitahu pembelian akhbar ini dibiayai daripada duit awam. Bermula Isnin hingga Jumaat akhbar ini dicetak sebanyak 3,000 naskhah setiap hari. Ini bermakna RM4,500 boleh dikutip sehari jika akhbar ini laku semuanya di pasaran. Malangnya akhbar propaganda ini tidak mendapat sambutan di pasaran bebas; jadi banyak naskhah dihantar secara percuma ke premis awam dan amat malang sekali jika duit awam digunakan untuk tujuan itu.

Demikianlah sungguh menyedihkan jika duit awam digunakan sewenang-wenangnya oleh pemimpin dan kerajaan untuk 'berlagak' - mempamerkan apa didakwa kekayaan dan meraih kemasyhuran. Menurut Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari kerajaan Umno-BN mewariskan hutang RM1.8 bilion.

Pemimpin rejim lama hidup berlagak - rumah macam istana, hinggakan bil elektrik kediaman KM lama mencecah RM47,000 sebulan. Adly berkata Hutang Awam Melaka RM850 juta, Hutang Defisit RM600 juta dan Hutang Pendahuluan RM350 juta menjadikannya RM1.8 bilion.

Kini Kerajaan Malaysia Baharu (di sini kerajaan Pakatan Harapan Melaka) dalam usaha menjimatkan wang awam mengambil pendekatan menerbitan akhbar MelakaKini secara mingguan. Menurut sumber akhbar ini cetak 30,000 naskhah pada setiap minggu dan tidak lagi berselindung kononnya menyatakan ia berharga sekian dan sekian sebaliknya menyatakan terus terang bahawa ia akhbar PERCUMA sama seperti akhbar Selangor Kini.

Selain bertindak menjimatkan wang awam, usaha ini satu pendekatan mempamerkan ketelusan. Dua elemen ini tersangat penting yang perlu menjadi amalan kerajaan Harapan yang insya-Allah akan diikuti rakyat. Pemborosan dan pembaziran sudah sinonim dengan kerajaan lama; rakyat sudah muak lantas menolak komponen Umno BN ke jurang kehinaan.

Dulu laporan demi laporan Ketua Audit Negara saban tahun yang mendedahkan pelbagai kelemahan termasuk pemborosan dan pembaziran wang rakyat oleh pemimpin (kerajaan) tak diambil 'pot'; natijahnya berlakulah kehancuran pemimpin dan rejim lama itu.

Misalnya, dulu sesetengah pemimpin setakat ketawa apabila didedahkan sebuah jam dinding RM100 dibeli dengan harga RM3,810 manakala sebuah teropong visi malam pada harga pasaran RM1,940 dibeli dengan harga RM56,350! 

Hanya segelintir pihak dan individu yang peduli; yang lain berkata "apa hendak dirisaukan, itu bukan duit saya dan saya tidak ada kena mengena dengannya." Demikianlah manusia, jika tiada petunjuk dan undang-undang daripada Yang Maha Berkuasa, mereka pula 'berlagak bagaikan Tuhan.' Mereka beramal 'ikut suka aku' (nafsu). Segala serakah nafsu itu hanya boleh ditundukkan dengan undang-undang-Nya. Namun itu tiada di negara ini kerana majoriti pemimpinnya bertuhankan nafsu! 

Selagi pemimpin berciri ini berkuasa, usah bermimpilah kita untuk menemui 'seorang Umar Abdul Aziz' (perkara ini kerap disebut Lim Guan Eng yang kini menjadi Menteri Kewangan). Umar cukup takut menggunakan harta kerajaan tidak pada tempatnya sehinggakan pelita dinyalakan anaknya untuk suatu urusan peribadi dipadamkannya kerana takut menyalahgunakan harta awam.

Tetapi, majoriti pemimpin hari ini tiada kualiti itu iaitu ciri orang beriman yang apabila melakukan sesuatu kesalahan kecil melihatnya bagaikan gunung yang mahu menghempap mereka. Mereka bukan saja tidak melihat ancaman itu bahkan tidak berasa bersalah pun! 

Jadi apa yang boleh mengajar manusia termasuk pemimpin? Cendekiawan Islam seperti Sayyid Abul A'la Maududi menegaskan tidak ada sistem pemerintahan pun yang akan berjaya jika pemimpinnya tidak mempunyai akhlak yang tinggi dan masyarakatnya (rakyat) tidak bertakwa dan amanah. 

Namun hari ini kita dapat saksikan betapa longgarnya pemimpin dari segi akhlak. Amalan rasuah, salah guna kuasa, boros, cakap tak serupa bikin, aneka jenayah dan maksiat semakin menjadi-jadi. Perilaku buruk ini menjadi ikutan rakyat; peribahasa Melayu ada menyebutkan bagaimana acuan begitulah kuihnya ataupun bapa borek anak rintik. 

Ya kita sekarang ini mahu memberhentikan salah laku penyelewengan dan ketidaktelusan seperti  didedahkan saban tahun oleh Laporan Ketua Audit Negara. Kita percaya kerajaan HARAPAN dan pemimpinnya mampu melakukannya; insya-Allah jika pemimpin dan kerajaan menunjukkan teladan, insya-Allah rakyat akan mengikutinya. Inilah yang didambakan Malaysia Baharu!

Tuesday, October 30, 2018

Jangan lari... (14): Kecil dalam pelukan ibu, sudah besar dalam lindungan siapa?

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Langit yang tujuh, bumi dan semua yang ada di dalamnya bertasbih kepada Allah. Dan tidak sesuatu pun melainkan bertasbih dengan memuji-Nya tetapi kamu tidak mengerti tasbih mereka. Sesungguhnya Dia Maha Penyantun, Maha Pengampun." (Surah Al-Isra, ayat 44) 
ALHAMDULILLAH selepas pencen saya dapat 'mencuri' banyak masa mendekati  dan cuba memahami alam...baru-baru ini terpaku saya selama lima minit memerhati gelagat seekor ibu ayam yang 'memayungi' jira-kira 10 ekor anaknya yang agak saya baru menetas.
Kira-kira dua meter dari situ, saya perhatikan seekor kucing hitam yang sederhana besarnya mengendap ibu dan anak-anak ayam itu. Mata si hitam tajam dan posisi tubuhnya dalam keadaan bersedia menerkam si anak ayam.
Alangkah takjubnya ketika kucing itu baru saja menggerakkan badannya, si ibu ayam sudah terlebih dulu terbang menyerangnya. Garang sungguh ayam betina itu, seluruh anggota kepaknya mengembang manakala paruhnya bergerak 'macam roket' ke mata kucing manakala kakinya sedia mencengkam tubuh musuh.
Pergerakan tangkas si ibu ayam menyebabkan si hitam mengelak; melompat menyelamatkan diri. Namun ia tetap tidak berputus asa, masih mengawasi si ibu ayam dan anak-anaknya. Si hitam bersedia menyerang lagi...agaknya mulutnya terkecur menikmati daging lembut si anak ayam! Ya, amat-amatilah si ibu ayam tidak akan sesekali LARI daripada 'tugas dan amanah' menjaga dan membesarkan anak-anak.
Amat hebat si ibu ayam - 10 ekor anak boleh dipayunginya...semuanya bergerak dalam keadaan selamat di bawah kepak sang ibu. Demikianlah Allah SWT meletakkan kasih si ibu ayam kepada anak-anaknya - ia rela mati demi anak-anak tercinta...persoalannya adakah anak-anak ayam mengenang jasa sang ibu apabila mereka besar nanti terutama yang menjadi 'bapak ayam'!
Jika si ibu ayam begitu hebat sekali sayangnya kepada anak-anak, ibu manusia tentu lagi. Seorang anak terutama yang kecil berasa selamat dalam dukungan, pelukan atau dakapan ibunya. Bayi menangis nakkan ibunya, budak-budak pun nak masuk dalam pelukan sang ibu malah seseorang dah besar panjang pun nakkan ibunya. Pendeknya, anak rasa selamat dalam pelukan ibu. Tiada kekhuatiran bagi  si anak jika dalam pelukan ibu.
Ada ulama mengumpamakan sang ibu sebagai keramat hidup...ya syurga seorang anak terletak di kakinya; kedudukan ibu bagi seorang anak adalah tiga kali ganda daripada seorang bapa manakala doanya untuk anak-anak amat mustajab; insya-Allah tidak akan ditolak oleh Allah SWT.
Kata-kata hikmah Melayu ada menyebut 'masa kecil ditimang ibu, sudah besar ditimang gelombang' - benar semakin tua diri semakin hebat pancaroba kita hadapi, jadi bagaimana seseorang itu boleh berasa selamat sama seperti ketika kita kecil dalam pelukan ibu dulu?
Baru-baru ini saya ada mendengar ceramah motivasi yang hebat oleh seorang ustaz. Katanya, sentiasalah berasakan kita berada dalam 'pelukan' (perlindungan) Sang Pencipta kita (Allah SWT). Jika kita berasa aman dalam pelukan sang ibu apa lagi nak diungkapkan jika kita berada dalam 'pelukan' Allah SWT, Pencipta kita Yang Maha Agung, Maha Pemurah, Maha Penyayang, Maha Pelindung dan sebagainya. 
Katanya, rasa sayang dan bertanggungjawab ibu kepada anak-anak yang Allah campakkan di kalangan makhluknya seperti ayam seperti dinukilkan di atas atau manusia (ibu) yang mempunyai rahim bagi mengandungkan anak, hanyalah sekelumit daripada Pemurah dan Penyayangnya Allah SWT...ada ulama menyatakan ia hanya 1 (satu) peratus; 99 peratus disimpan oleh Yang Maha Kuasa.
Persoalannya sekarang bagaimana kita hendak berasa sentiasa berada dalam perlindungan Allah SWT atau benar-benar berada dalam naungan-Nya. Itulah kata sang ustaz, rajin-rajinlah tuntut ilmu. Ilmulah yang menyuluh jalan ke arah itu.
Apabila sudah berada dalam 'pelukan' Allah SWT apa lagi hendak dibimbangkan dengan dunia ini. Jika bayi atau budak kecil boleh damai dalam pelukan ibunya, apa yang lebih besar atau hebat daripada anugerah perlindungan daripada Yang Maha Berkuasa, Pencipta kita?


Ingatlah akan 7 (tujuh) golongan manusia yang akan mendapat naungan (perlindungan) Allah pada hari yang tidak ada naungan kecuali naungan-Nya. Usahakan untuk menjadi pemimpin yang adil, pemuda yang tumbuh di atas kebiasaan ibadah kepada Rabbnya, lelaki yang hatinya terpaut dengan masjid, dua orang yang saling mencintai kerana Allah sehingga mereka tidak bertemu dan tidak juga berpisah kecuali kerana Allah, lelaki yang diajak (berzina) oleh seorang wanita yang mempunyai kedudukan lagi cantik lalu dia berkata, ‘Aku takut kepada Allah’, orang yang bersedekah dengan sembunyi-sembunyi, hingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diinfakkan oleh tangan kanannya dan orang yang berzikir kepada Allah dalam keadaan sendiri hingga kedua-dua matanya basah menangis takutkan Allah. (HR. Al-Bukhari nombor 620 dan Muslim nombor 1712)

Friday, October 26, 2018

Mengusahakan kebarakahan untuk KL, Malaysia...

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32

ALHAMDULILLAH sejak Pakatan Harapan (HARAPAN) berkuasa Mei lalu, media massa arus perdana Malaysia yang selama ini 'dikongkong kejap' rejim lama, mulai menunjukkan perubahan positif.

Percambahan pemikiran diharapkan membawa perubahan dalam masyarakat Malaysia Baharu - pemimpin dan rakyatnya perlu berjiwa besar, tidak lagi dikongkong di bawah tempurung rejim lama yang merasakan dia saja betul lantas tidak memberi sekelumit peluang pihak berlainan pandangan mengutarakan pandangan mereka.

Ya, pada keluaran kali ini, saya mengajak pembaca berfikir sejenak ke satu sisi yang mungkin tidak dipersetujui sesetengah khalayak. Hal ini difikirkan selepas ada yang bertanya adakah kemungkinan negara kita dan khasnya ibu kota yang kita sayangi KL menghadapi bencana alam besar-besaran seperti yang menimpa negara jiran, Indonesia.

Kita berdoa agar Yang Maha Kuasa menjauhi kita daripada bahana itu tetapi hal itu tidak cukup jika kita berterusan membiarkan anggota masyarakat kita berterusan melakukan perbuatan mungkar yang mengundang kemurkaan Allah SWT. Apabila Yang Maha Kuasa murka, yang baik dan jahat turut menerima akibatnya.

Ada hadis dan huraian bijak pandai mengenai hal ini. Andaikan jika kita menaiki sebuah kapal, penumpang di dek bawah apabila berkehendakkan air menebuk kapal itu tetapi tiada yang melarang termasuk mereka di atas, akibatnya semua orang dalam kapal itu akan 'binasa'.

Demikianlah kita mengundang bala daripada Yang Maha Kuasa apabila  berani menganjurkan pesta larangan-Nya seperti parti arak. Melanggar perintah Allah SWT menyegerakan kehancuran walaupun pada hakikatnya semua 'benda baharu' (manusia, tamadun dan semua yang ada di alam ini) akan musnah jua akhirnya.

Tidak lama dulu ketika menghadiri satu majlis ilmu di masjid yang pengajarnya membicarakan kitab 'Hikam', terpegun saya apabila Tuan Guru bersyarah, menyatakan tiada sesuatu yang baharu boleh kekal, semuanya akan musnah. Perkara baru dimaksudkan di sini adalah alam ini (selain daripada Allah SWT). 

Tersentak saya apabila Tuan Guru berkata, orang berakal tidak melihat pada apa-apa yang bersifat kebendaan, semuanya tidak kekal, semuanya akan hancur, semuanya akan musnah. Hanya orang tidak berakal yang menyanjung kehebatan kebendaan, memikirkannya tidak akan musnah, mahukan ia kekal dan terus kekal. 

Orang berakal akan berfikir bukan saja apa-apa yang hebat itu seperti kota Kuala Lumpur, malah New York, London atau Istanbul, semuanya akan musnah. Kejahatan sesetengah rejim sudah memusnahkan kota Baghdad, Kabul dan Baitulmaqdis.

Sebagai 'makhluk baharu' diri kita sendiri akan musnah, jadi apa nak dihairankan sangat jika Kuala Lumpur musnah atau hancur lebur. Bukti sudah ada depan mata, tetapi kita buat-buat tak pandang dan tak ingat. Bukankah sikit masa dulu, Banda Aceh musnah, dihancurkan oleh tsunami yang melanda ganas, menyebabkan hampir 200,000 orang mati? Bangunan yang hebat-hebat di Aceh runtuh, mayat-mayat bergelimpangan. Sekarang ini gempa dan tsunami menghancurkan bandar lain di Indonesia seperti Palu di Sulawesi.

Jika Banda Aceh yang terletak di seberang Selat Melaka boleh musnah secara mengejut, Allah boleh melakukan apa saja termasuk terhadap Kuala Lumpur dan Malaysia. Kepada-Nya kita berserah diri, usah asyik mengejar kebendaan yang pasti musnah suatu hari nanti. Hari kiamat juga akan menyusul, memusnahkan segala-galanya. 

Dalam al-Quran pun ada kisah kaum-kaum hebat, yang membina bangunan dan tamadun tinggi tetapi musnah akhirnya. Kaum Tsamud begitu hebat, mengukir bangunan dalam batu akhirnya lebur juga. Demikian juga kerajaan Sabak di Yaman, begitu hebat projek pembangunannya termasuk membina empangan Ma'rib yang masyhur itu, akhirnya musnah. 

Firaun dan Haman yang mendakwa diri hebat itu akhirnya musnah juga. Demikian juga Qarun, Abu Jahal dan sebagainya. Dunia akan hancur, apa nak dihairankan, kata Tuan Guru. Semua barang berharga atau tidak berharga, akan hancur, akan rosak. 

Orang ada akal, kata Tuan Guru akan mengejar akhirat. Ini kerana semua yang ada di dunia akan rosak. Semua kehebatan dunia akan hancur. Bangunan akan hancur, Mercedes yang kita sayangi akan binasa, tiada apa yang akan tinggal. 

Orang yang sempurna akal, kata Tuan Guru tidak menganggap dirinya warga dunia. Dia rindu menjadi warga akhirat. Dia siapkan dirinya untuk menjadi warga akhirat. Orang paling rugi dan tak berakal adalah yang tidak menyiapkan bekalannya ke akhirat, asyik dan gila dengan kelazatan dunia yang akan musnah. 

Jika kita meneliti kehancuran kaum Tsamud dan kerajaan Sabak, kedua-duanya dimusnahkan disebabkan kedurhakaan penduduknya kepada Allah SWT. Kemajuan dan kehebatan mereka dalam urusan dunia seperti membina bangunan dan empangan menyebabkan penduduknya lupa akan kebesaran Allah SWT. 

Kuala Lumpur malah Malaysia mengundang kemusnahkan jika kehidupan penduduknya tiada kebarakahan. Maksiat menjadi-menjadi, penyelewengan sudah sebati manakala pemimpinnya bagaikan serigala, mencari saat mencengkam golongan miskin. Saat kehancuran akan tiba jika rasuah dan riba dianggap urusan halal seperti berjual beli. 

Semakin hari, gejala moral semakin teruk di tanah air tercinta. Sudah banyak kes luar biasa seperti ibu bunuh anak, anak bunuh ibu bapa tetapi pemimpin dan rakyat terus hanyut dalam aneka kemewahan dan hiburan yang melalaikan. Sewajarnya kes luar biasa ini dijadikan iktibar, mencetuskan rasa bimbang dan cemas di hati, apa agaknya dosa-dosa dan kesalahan kita sehingga negara dilanda suasana begitu teruk sekali. 

Monday, October 22, 2018

Jangan lari... (13): Syukurlah, dapat berbasikal 56 km pada usia 56 tahun

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. *********************** Renungan **************************** "Patutkah aku menyembah beberapa tuhan yang lain daripada Allah? (Sudah tentu tidak patut, kerana) jika Allah Yang Maha Pemurah hendak menimpakan daku dengan sesuatu bahaya, mereka tidak dapat memberikan sebarang syafaat kepadaku dan mereka juga tidak dapat menyelamatkan daku." (Surah Yaasin, ayat 23
SELEPAS bermalam di stesen minyak Petronas, subuh itu saya solat berjemaah di sebuah masjid berhampiran. Usai solat, saya mencapai basikal tua saya, lantas bermulalah kembali kembara ke utara.
Udara pagi sungguh menyegarkan, sambil menggayuh saya berzikir, berdoa dalam hati semoga Allah SWT mempermudahkan perjalanan saya; menjauhkan  segala bahaya daripada insan kerdil ini.
Sungguh indah pemandangan; kelihatan kehijauan pemandangan kampung, kebun dan ladang sepanjang perjalanan. Alhamdulillah, kayuhan tidak mencabar kerana kebanyakan kawasan tanah rata namun biasalah ada kawasan berbukit dan detik paling mengerah tenaga adalah mengayuh mendaki sebuah jambatan berjejambat yang merentangi landasan kereta api.
Namun menuruninya sungguh menyeronokkan, basikal dapat bergerak tanpa dikayuh mungkin 500 meter jauhnya. Di kejauhan kelihatan Gunung Tampin yang menghijau, ia merupakan mercu tertinggi Banjaran Titiwangsa di bahagian paling selatan. Selepas jambatan itu, perjalanan adalah di tanah rata sehinggalah sampai di Simpang Kendong yang terletak di sempadan Melaka-Negeri Sembilan.
Alhamdulillah, akhirnya saya telah memasuki Negeri Adat Pepatih - ini 'suatu pencapaian hebat' - eelah...apalah nak dibangga sangat memasuki Negeri Sembilan, mungkin saya telah 'melakukannya' ratusan malah ribuan kali tetapi semuanya adalah dengan cara menunggang motosikal, memandu kereta atau menaiki bas dan kereta api tetapi kali ini buat pertama kali dalam hidup saya menunggang basikal di Negeri Sembilan!
Namun kegembiraan saya tak lama - hujan rintik-rintik yang bermula di sempadan Melaka-Negeri Sembilan bertukar 'keras' dan akhirnya begitu lebat menyebabkan saya tergesa-gesa mencari tempat perlindungan. Alhamdulillah, 'sasaran' saya tepat - saya 'tersadai' di sebuah kedai kopi - apa lagi bersarapanlah saya dengan 'tenang dan damai' bagi menunggu hujan teduh.
Maka 'melepaklah' saya menikmati nasi lemak dengan air kopi panas berasap; sambil itu membaca bahan-bahan yang dibawa. Memang ketika kembara, saya membawa sejumlah bahan bacaan, jadi detik menunggu hujan teduh dapat dimanfaatkan sepenuhnya. Dah tua ini ada kalanya saya manfaatkan masa lapang dengan berzikir...yalah saya masih ingat pesanan beberapa orang ustaz...kalau kita tak berzikir kita macam monyet; tak berwirid tak dapatlah 'warid' (nur, cahaya).
Sejam kemudian, hujan berhenti...dapatlah saya sambung 'journey'. Sungguh segar udara selepas hujan itu. Saya pun terus mengayuh dan mengayuh sehingga sampai ke pekan Kota. Jam menunjukkan 9 pagi...kebiasaannya ketika di rumah pada waktu ini saya solat dhuha, jadi saya pun mencari surau atau masjid untuk 'landing'. Namun sebelum itu sempat juga saya beli senaskhah akhbar di pekan Kota untuk dibaca ketika 'kesepian' dalam perjalanan.
Saya membersihkan diri, solat dan berehat di sebuah surau di pinggir pekan Kota, kemudian meneruskan perjalanan. Banyak kampung saya lepasi...di satu persimpangan ada papan tanda jalan menuju Gunung Datok yang terkenal di Rembau. Lama dulu saya pernah cuba mendaki gunung ini tetapi taklah sampai ke puncak. Juga dilepasi adalah kedai Zol Tolo; terkenal kerana jualan telur berharga murah.
Saya terus mengayuh dan mengayuh; panas mentari mula membakar diri. Beberapa kilometer sebelum sampai pekan Rembau jalan melalui kawasan berbukit...saya tak larat mengayuh, jadi saya menolak basikal sampai ke puncak. 
Kemudian dengan 'happy' saya menaiki basikal untuk perjalanan menurun...ertinya saya tak perlu mengayuh tetapi nak dijadikan cerita, tiba-tiba saya terdengar roda belakang basikal saya berbunyi keng...keng...keng. Mula-mula perlahan tetapi makin lama makin kuat. Akhirnya saya turun...ya Allah basikal tu dah pancit!
Apa pilihan yang ada...saya tolaklah basikal itu. Maka berpeluh-peluhlah menolaknya sekilometer dua sehingga sampai di sebuah gerai. Saya singgah untuk menghilangkan penat dan makan tengah hari. Saya bertanya si penjual; adakah kedai basikal berhampiran dan berapa jauh tempat itu ke pekan Rembau. Dia menjawab tiada kedai basikal dan pekan Rembau lima kilometer dari situ.
Fikir-fikir punya fikir...akhirnya saya membuat keputusan nekad menjual basikal itu dengan harga RM20 saja. Mereka yang berada di tempat itu kehairanan tetapi syukurlah akhirnya seorang peniaga sanggup membelinya. Ketika menyerah duit, dia menambah RM5 lagi...mungkin dia kesian kat saya. Akhirnya berpisahlah saya dengan basikal kesayangan itu yang telah puas saya pakai lebih lima tahun.
Saya pun menapak menuju sebuah perhentian bas berhampiran, apabila berpaling untuk melihat basikal tua saya buat kali terakhir, saya terpandang papan tanda jalan besar di seberang jalan. Antara ditulis di papan tanda itu...Melaka 55 kilometer. 
Ini bermakna saya telah berbasikal sejauh 55 kilometer dan ditambah satu dua kilometer dari rumah saya ke bandar Melaka; saya sudah mengembara lebih kurang 56 kilometer...alhamdulillah dalam usia 56 tahun saya dapat berbasikal 56 kilometer...demikianlah niat saya untuk merasai apa dirasakan oleh mereka yang berbasikal ke Makkah yang jaraknya lebih 10,000 kilometer dari sini tamat pada jarak 56 kilometer saja. Mungkin pada masa depan, kembara berbasikal saya akan lebih jauh lagi...harap-harap ratusan atau ribuan kilometer, insya-Allah!

Friday, October 19, 2018

Suu Kyi kini tak lagi 'suci'...

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

Daripada Aisyah r.a., berkata: "Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Semua manusia dikumpulkan tanpa memakai alas kaki, telanjang dan belum dikhatan.' Aisyah bertanya; 'Apakah antara lelaki dan perempuan akan saling melihat antara satu dengan yang lain?' Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Urusan pada hari itu lebih dahsyat daripada mementingkan hal-hal seperti itu.'" (HR. Bukhari dan Muslim)

MYANMAR (Burma) adalah anggota Asean ke-10 (terakhir). Sekarang ini jika kita teliti gambar-gambar pemimpin negara Asean, terlihatlah  Aung San Suu Kyi yang duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan mereka. Suu Kyi (dibunyikan Suci) kini tokoh paling berkuasa di Myanmar tetapi perlu diketahui beliau bukan presiden atau perdana menteri negara itu!

Sekalipun parti pimpinannya, Liga Kebangsaan Untuk Demokrasi (NLD) menang besar pada pilihan raya umum lalu, mengikut perlembagaan Myanmar, Suu Kyi iaitu anak tokoh kemerdekaan, Aung San, tidak layak menjadi presiden kerana dia berkahwin dengan seorang warga Inggeris, Michael Aris (kini mendiang) malah pernah lama tinggal di luar negara dengan anak-anaknya adalah warga British.

Selepas pilihan raya, Suu Kyi di ambang menjadi Presiden baru Myanmar tetapi pihak tentera pimpinan Jeneral (ketika itu Presiden) Thein Sein dengan keras merujuk satu fasal dalam perlembagaan (Bab 3, nombor 59 (f) yang menghalang beliau berbuat demikian.

Sekalipun terhalang, Suu Kyi tetap menjadi tokoh paling berkuasa di Myanmar dengan dirinya dilihat sebaris dengan pemimpin-pemimpin Asean yang lain. Sekalipun partinya (NLD) melantik Htin Kyaw, 69, sebagai Presiden, Suu Kyi menyatakan: "Hal ini tidak menghalang saya daripada membuat semua keputusan sebagai ketua parti yang memperolehi kemenangan!" Hakikatnya dia adalah pemimpin tertinggi (paling berkuasa) dengan gelaran 'State Counsellor' (Konselor Negara).

Sekalipun muncul pemimpin paling berkuasa di Myanmar, Suu Kyi kini dipandang 'sinis' oleh masyarakat antarabangsa. Dulu sebelum berkuasa, beliau terkenal  pejuang kemanusiaan dan keadilan sehingga dianugerahkan Hadiah Nobel Keamanan tetapi hari ini dunia mengecam beliau kerana sikap tidak pedulinya berhubung kezaliman ke atas golongan minoriti Rohingya.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad lantang menyatakan Malaysia tidak lagi menyokong Suu Kyi. Beliau mendakwa Suu Kyi sudah menjadi 'a changed person' (seseorang yang sudah berubah; tidak 'suci' lagi) kerana sejak menjadi pemimpin Myanmar, beliau membisu seribu bahasa berhubung kezaliman rejim negaranya ke atas orang Rohingya.

Benar Suu Kyi kini selepas berkuasa 'tak semurni lagi' berbanding semasa beliau 'merempat' tiada kuasa. Sejumlah negara luar menyedari hal ini, beberapa hari lalu Kanada melucutkan kewarganegaraan kehormat kepada beliau. Suu Kyi yang dulunya bercakap berapi-api mengenai keadilan sekarang ini apabila sudah berkuasa 'cakapnya tidak serupa bikin'.

Akibat dizalimi di tanah air sendiri (Rakhine, dulunya Arakan) jumlah pelarian Rohingya sentiasa meningkat, sehingga lebih 1.3 juta orang keluar dari kampung halaman yang diporak-perandakan tentera rejim Myanmar malah oleh penduduk bukan Muslim.  Mereka terpaksa mendapatkan perlindungan di negara lain terutama jiran terdekat Bangladesh malah ada yang 'ditolak' ke laut sehingga hanyut ke Malaysia, Indonesia dan Thailand.

Perkembangan ini langsung tidak memberi kesan kepada kerajaan Myanmar diterajui Suu Kyi walaupun hampir seluruh dunia mengecam krisis kemanusiaan paling teruk itu.

Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) memaklumkan situasi di Rakhine masih teruk bagi orang Rohingya menyebabkan ribuan pelarian terus memasuki Bangladesh bagi mendapatkan perlindungan dan keselamatan.

Ya, Suu Kyi tidak lagi 'suci' selepas mendapat kuasa, di tanah air kita berdoa dan berharap tidak ada pemimpin seperti ini - mereka bagaikan kacang lupakan kulit atau lebih teruk lagi menepati peribahasa 'harapkan pegar, pegar makan padi'!

Monday, October 15, 2018

Jangan lari... (12): Terkenang mabit berbumbungkan langit di Mudzalifah...

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu dengan meninggalkan isteri-isteri (hendaklah para isteri itu) menangguhkan dirinya (beredah) empat bulan 10 hari." (Maksud ayat 234 Surah Al-Baqarah)
PADA keluaran lalu saya mencelotehkan perihal saya bermalam di sisi bangunan stesen minyak Petronas di Simpang Ampat, Alor Gajah selepas pada siang harinya penat berbasikal dari pinggir bandar raya Melaka ke pekan di sempadan Melaka/Negeri Sembilan itu.
Ketika merenung langit dan bintang-bintang bertaburan di angkasa raya, teringat pengalaman lama saya bermabit dalam kegelapan malam di Mudzalifah ketika menunaikan haji tidak lama dulu. Terfikir di benak saya bagus juga kita 'praktis' kehidupan keras seperti tidur di luar rumah kerana nanti apabila mengerjakan haji kita akan merasai sedikit sebanyak kepayahan hidup seperti kerap berjalan kaki dan berhimpit-himpit dalam lautan manusia.
Jadi dalam merenung-renung dalam kegelapan malam itu, terasa ada kebaikan pada diri sendiri saya 'mengambil jalan susah' seperti mengembara dengan basikal...ya jika ada orang ke Tanah Suci menunggang basikal takkan saya tak boleh 'try' berbasikal di negara sendiri.
Pada diri ini, kehadiran di Arafah (Wukuf) pada 9 Zulhijah 1426, memberi kesempatan terbuka untuk muhasabah diri. Menangislah saya sepuas hati, mengenang segala dosa dan kesilapan lalu. Hari Wukuf atau Hari Arafah dikatakan saat seseorang hamba itu tersangat dekat dengan Tuhannya. Mintalah keampunan-Nya dan berdoalah, semoga selepas haji, kita menjadi hamba-Nya dalam pengertian sebenar-benarnya. 

Keberangkatan dari Arafah ke Mudzalifah bermula selepas solat Asar tetapi saya dipilih melakukannya selepas maghrib. Perjalanan Arafah-Mudzalifah menguji ketahanan diri – sama ada dari segi mental dan fizikal. Apabila ratusan ribu jemaah berhimpun, berlaku ketidak-tentuan yang menguji keimanan dan kesabaran diri.

Mudzalifah adalah tempat di mana jemaah berhenti sebentar untuk mengutip batu-batu kecil untuk dilontar di jamrah kemudiannya. Mulai tahun 2005, pihak berkuasa Arab Saudi memperkenalkan sistem baru yang menghendaki jemaah berada di situ selepas mereka keluar dari Arafah sehinggalah keberangkatan sekali lagi ke Mina yang bermula selepas tengah malam.
Jemaah berada di sebuah kawasan terbuka yang dipagar di Mudzalifah untuk mabit. Di situlah jemaah berehat, berbaring berlantaikan tikar dan beratapkan langit. Sambil baring-baring, sesekali sekala terbau najis binatang, mungkin pada siangnya tempat itu menjadi lokasi persinggahan kumpulan unta.

Jika mahu tidur, tidurlah berbantalkan beg atau lengan. Jika mahu bersandar, bersandarkanlah belakang isteri atau peluklah lutut sendiri, sambil itu sedarlah diri betapa banyak dosa yang sudah dilakukan.

Suasana malam begitu dingin, menggigit hingga ke tulang. Hanya kepada Allah tempat pergantungan pada malam itu, jadi perbanyakanlah solat dan doa sekalipun diri berada dalam lautan manusia.

Berusahalah untuk menjaga wuduk kerana untuk memperbaharuinya atau ke tandas, selain jaraknya yang jauh, terpaksa menempuh ribuan manusia, kemudian beratur panjang. Bersabar dan terus bersabarlah sepanjang malam itu.

Dalam keadaan sesak itu, untuk bergerak payah. Di depan orang, di belakang orang, di kedua-dua sisi pun orang. Jadi untuk ketenangan diri, berzikir dan terus berzikir sepanjang malam. Penat duduk, baring; penat baring, berdiri sambil menguakkan anggota tubuh.

Pada malam yang dingin itu, akan terasalah seseorang itu akan kekerdilan dirinya. Sedarlah, siapakah dirinya dalam lautan manusia itu. Semuanya sama, yang lelaki berihram putih manakala perempuan berbungkus, bertelekung seperti ketika bersolat.

Angin malam yang menyentuh diri dalam keadaan berihram (hanya dua kain tidak berjahit membalut diri) begitu sejuk terasa. Apabila berpakaian begitu tentulah ada anggota badan terdedah. Misalnya kepala tidak dapat ditutup. Untuk berselimut bagi menahan kesejukan, tidak boleh sebab ketika itu berada dalam ihram. Rasanya sudah tidak tahan berkeadaan begitu, tetapi keyakinan akan janji-Nya membantu memantapkan diri.
Semakin larut malam, suasana semakin dingin. Kabus sudah kelihatan di udara. Jemaah terus mabit, menunggu kedatangan bas untuk mengangkut mereka ke Mina. Sebelum berlepas, jemaah sudah siap mengumpul batu-batu kecil dalam uncang masing-masing.

Apabila berembun di Mudzalifah, ramai jemaah yang sebelum ini batuk-batuk dan selesema, semakin parah sakit mereka. Senggal-senggal dan lenguh anggota usah cerita. Demikianlah sebahagian cabaran Mudzalifah yang perlu dilalui semua jemaah haji kerana mabit di situ adalah salah satu wajib haji.