Monday, October 31, 2016

Perihal aktivis PAS, Afghanistan dan Amerika…

***
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Maafkanlah dan suruhlah (mengerjakan) yang makruf dan berpalinglah daripada orang-orang yang jahil." - Q.S. Al-A'raf: 199)
***

PADA bulan ini (Oktober) 15 tahun lalu (2001) Amerika Syarikat menyerang Afghanistan. Perang masih berlanjutan, Taliban yang ditewaskan Amerika dulu semakin berpengaruh; menurut laporan jika tidak kerana 'perlindungan' tentera Amerika, Taliban akan sekali lagi dapat menguasai negara miskin dan mundur ini.

Rakyat Amerika yang akan menyaksikan pemilihan Presiden 8 November ini, tergamam apabila didedahkan kerugian besar yang mereka alami di Afghanistan. Seramai 2,216 askar Amerika 'tewas' (terbunuh), 20,049 cedera parah dan ribuan lagi menjadi gila. 

Seramai 1,173 askar upahan (mercenaries) Amerika turut terbunuh manakala kos perang Amerika di Afghanistan dan Iraq dianggarkan AS$6 trilion. Ada pihak menganggarkan kos perang bagi setiap warga Amerika sebanyak AS$33,000!

Nampaknya Amerika akan menyertai senarai penyerang kuasa besar yang gagal di Afghanistan. Ya, mereka akan menyertai empayar British dan Soviet Union yang tewas di tangan pejuang-pejuang Afghan terutama bangsa Pashtun yang sekalipun bersenjata 'kuno' amat garang mempertahankan tanah air dan agama mereka!

Tidak lama selepas serangan Amerika ke atas Afghanistan, PAS menghantar sukarelawannya ke sempadan negara itu dengan Pakistan dan Iran. Saya turut dihantar ke sempadan Afghanistan-Pakistan; memori di Peshawar
mengamit saya menulis artikel ini. Sayang seribu kali sayang, petugas PAS yang bersama-sama mengorbankan tenaga, masa dan sebagainya sudah 'berpecah dua' - ada yang istiqamah dengan parti dan ada menyertai wadah baharu.

Sewajarnya, 'tragedi' Afghanistan menginsafkan kita. Ketika tumbangnya rejim Najibullah di Afghanistan pada 1992, dunia Islam berharap kerajaan baru Mujahidin yang ditubuhkan di Kabul akan menjadi contoh kegemilangan tamadun Islam zaman moden. 

Ditambah kemunculan enam republik Islam di Asia Tengah (Azerbaijan, Turkmenistan, Kyrgyzstan, Uzbekistan, Tajikistan dan Kazakhstan), selepas kehancuran Soviet Union pada 1991, harapan kembali berbunga bahawa tamadun Islam akan kembali bersinar selepas hancurnya daulah Islamiyah Uthmaniyah Turki pada 1924, gara-gara 'permainan licik' Kamal Ataturk. 

Malangnya impian itu menjadi igauan apabila Afghanistan menjadi 'neraka dunia'. Penduduknya yang sudah melalui kesengsaraan perang berikutan campur tangan Soviet Union terus menderita. Kali ini di tangan saudara seagama dan kemudian oleh si penjarah Amerika.

Di Afghanistan, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang diamanahkan untuk memastikan sejahteraan ummah, gagal meleraikan kumpulan Mujahidin yang bertelagah. Pada awal dekad 1990-an, ketua kumpulan Hizb-I-Islami, Gulbuddin Hekmatyar terus memerangi Presiden Burhanuddin Rabbani sekalipun diberikan jawatan perdana menteri. 

Kemunculan kumpulan pelajar, Taliban adalah di luar jangkaan, tetapi mereka mendapat so
kongan rakyat. Pada pertengahan dekad 1990-an, mereka berjaya menguasai hampir keseluruhan bumi Afghanistan. 

Kesungguhan Taliban melaksanakan hukum-hakam Islam, menyebabkan mereka dicemburui Barat. Suatu ketika tindakan mereka menghancurkan patung purba Buddha di Bamiyan, mencetuskan kemarahan dunia Barat. 

Apabila tercetus Peristiwa 11 September 2001, tidak semena-mena Taliban menjadi sasaran. Taliban didakwa melindungi pemimpin Al-Qaeda, Osama bin Laden. Lanjutan dendam Barat kepada Taliban, Amerika menggunakan kesempatan itu untuk 'menguji' senjata-senjata canggihnya di bumi yang hampir musnah itu. 

Hasilnya Afghanistan hancur tetapi Amerika dengan bongkaknya berkata demokrasi sedang berkembang selepas meletakkan bonekanya, Hamid Karzai sebagai presiden. 

Hari ini Hamid Karzai bukan lagi presiden. Beliau digantikan oleh Ashraf Ghani pada 2014. Namun Ashraf tetap boneka Amerika yang menurut sesetengah penganalisis politik boleh jatuh bila-bila masa saja di tangan Taliban. Namun 'perlindungan' bala tentera Amerika membantu menyelamatkannya daripada segera disingkirkan oleh rakyatnya sendiri.

Dulu Presiden Barack Obama menjanjikan untuk mengundurkan hampir semua tentera Amerika dari Afghanistan pada 2016. Namun ia tidak terlaksana sebaliknya lebih banyak tentera dihantar bagi menyelamatkan rejim boneka Ashraf Ghani.

Bagi Presiden baharu Amerika (sama ada Hillary Clinton atau Donald Trump), beliau akan 'mewarisi mimpi ngeri' Afghanistan - lebih banyak askar Amerika akan mati manakala bumi Afghanistan 'hancur lebur' sebahagiannya disebabkan rakyatnya begitu payah bersatu!

1 comment:

Unknown said...

Pinjaman untuk pelbagai tujuan
Kami menawarkan jumlah minimum 10,000.00 euro untuk 10 juta dolar
Pada kadar faedah yang rendah sebanyak 2%
pinjaman
tempoh: sehingga 25 tahun bergantung kepada jumlah pinjaman yang anda perlukan.
pelanggan mesti
Melebihi usia o f 18 tahun
Urus niaga ini adalah 100% selamat untuk semua clents
Untuk maklumat lanjut mengenai kredit, sila hubungi kami melalui e-mel:
(Daviesruthfirm@gmail.com)