Monday, November 16, 2015

LPT2: 'Lompat' punca tragedi?...

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Patutkah aku menyembah beberapa tuhan yang lain daripada Allah? (Sudah tentu tidak patut, kerana) jika Allah Yang Maha Pemurah hendak menimpakan daku dengan sesuatu bahaya, mereka tidak dapat memberikan sebarang syafaat kepadaku dan mereka juga tidak dapat menyelamatkan daku." (Surah Yaasin, ayat 23)

SABTU, 31 Oktober saya sekeluarga dari Melaka ke Sepang kemudian memasuki Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) ke Kuantan seterusnya memasuki LPT2 sehingga ke susur keluar Gemuruh ke Kuala Terengganu.

Ini bukanlah kali pertama kami menggunakan LPT2. Sudah beberapa kali. Ya 'siapa tak suka' guna LPT2 sebab masih 'free' dan boleh cepat sampai. Lagi pun lebuh rayanya lengang; taklah sesak seperti di jalan raya pesisiran pantai ataupun jalan utama Jabor-Bukit Besi-Ajil-Kuala Berang. 

Ketika ini LPT2 menjadi bahan polemik di media massa dan laman sosial. Banyak kemalangan termasuk nahas maut dilaporkan berlaku. Pelbagai alasan punca kemalangan diberi. Antaranya keadaan fizikal lebuh raya seperti permukaannya yang ada lokasinya 'tak setara' (permukaannya beralun) sehingga ada yang menggelarnya 'Lebuh Raya Paling Teruk (LPT)'.

Ada pula menyatakan faktor kelalaian manusia (pemandu), keadaan fizikal kenderaan, pemanduan terlalu laju dan mutakhirnya ada yang menghubung-kaitkannya alam mistik atau misteri termasuk gangguan makhluk halus seperti langsuir bergayut pada papan tanda, kewujudan lembaga wanita berbaju putih labuh serta berambut panjang dan lembaga besar di sempadan Ajil-Bukit Besi.

Selain faktor-faktor dinyatakan di atas, berdasarkan pengalaman memandu di LPT2, izinkan saya tambah satu lagi iaitu kenderaan kita yang 'melompat sikit' ketika melalui jambatan mungkin menyumbang kepada kemalangan. Ya, LPT boleh juga bermaksud 'lompat punca tragedi'. 

LPT2 merintangi banyak sungai dan anak sungai jadi dengan banyaknya jambatan ini, kerap benar kenderaan kita 'melompat' apabila menaiki dan menuruni jambatan. Ertinya permukaan jalannya tidak rata, apabila kenderaan terhentak, terasa suasana bergoncang dalam kenderaan. Penumpang terasa 'melambung' dan bagi pemandu pula mereka mesti memegang stereng dengan kemas...jika tidak dikhuatiri akan terjadilah tragedi. Ya 'lompat punca tragedi'.

Berhubung dengan dakwaan gangguan makhluk halus, ada pihak menasihatkan pemandu supaya menerapkan akhlak Islamiah seperti berdoa, membaca ayat al-Quran dan berzikir dan berceloteh mengenai hal ini teringatlah saya satu kisah yang menyedarkan kita supaya sentiasa mengingati Allah SWT setiap masa termasuk ketika sedang memandu kerana nyawa kita boleh dicabut-Nya pada bila-bila masa.

Dikisahkan ada seorang anak muda yang gemar memasang lagu-lagu rock ketika memandu dan kadang-kadang dia memasang alat pendengar di telinganya. Jadi sepanjang perjalanan yang berjam-jam lamanya, dia asyik dan khayal dengan lagu-lagu itu sahaja.

Seorang 'syeikh' menegurnya; katanya eloklah dipasang bahan-bahan yang baik untuk pendengaran seperti alunan zikir ataupun bacaan al-Quran. Ini kerana kata 'syeikh' perkara itu mendatangkan kebarakahan dan apa yang 'syeikh' bimbang jika berlaku sesuatu yang buruk seperti kemalangan maut, nauzubillah kita mati dalam keadaan lalai; tidak mengingati Allah sedangkan sebaik-baik kalimah diucapkan pada saat akhir adalah 'La ilaha illallah'.

Malangnya pemuda itu degil, enggan mendengar nasihat 'syeikh'. Ditakdirkan suatu hari dia terbabit dalam satu kemalangan di lebuh raya. Keretanya hancur, dia mati di situ juga tetapi apa yang menakjubkan peralatan elektronik dalam kenderaan itu masih berfungsi dengan lagu-lagu rock masih bergema. 

Ya dia mati jauh daripada mengingati Allah, tidak wajar kita membuat sebarang spekulasi namun kisahnya boleh dibuat teladan dan sempadan oleh pemandu kenderaan terutama anak-anak muda; kita kalau ditakdirkan mati mahu mati begitukah atau mati dalam suasana penuh damai seperti sedang sujud dalam solat dan di dalam masjid pula.

Kepada semua pemandu termasuklah di LPT2, ingatlah maut boleh datang pada bila-bila masa jadi gunakan kesempatan ruang dan waktu untuk berzikir atau mendengar bahan-bahan baik; bukanlah kita mahu berada dalam keadaan terbaik ketika menghadapi Illahi!

No comments: