Tuesday, September 8, 2015

Merdeka: Akhiri penjajahan sesama bangsa

***************************** DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. ***************************** Renungan ****************************** "Kalau sekiranya perempuan ahli syurga (termasuk bidadari) datang kepada penduduk bumi, nescaya akan disinarinya dunia antara langit dan bumi dan terpenuhinya dengan bau harum semerbak. Sesungguhnya tutup kepalanya lebih baik daripada dunia dan isinya." (HR. Bukhari) ********************************* 

NABI Muhammad s.a.w. berbangsa Arab Quraisy. Selepas berdakwah selama 13 tahun di Makkah tetapi menghadapi tentangan hebat orang Quraisy, baginda s.a.w. berhijrah ke Madinah. Sepuluh tahun selepas hijrah, baginda s.a.w dan ratusan ribu pengikutnya kembali ke Makkah untuk membebaskan (memerdekakan) masyarakatnya daripada cengkaman jahiliah Quraisy.

Pemerintah Quraisy adalah orang Arab Quraisy demikian juga Nabi Muhammad s.a.w. Mereka adalah sebangsa, tetapi mengapa perlu Nabi Muhammad s.a.w. dan mengikut kembali ke Makkah bagi memerdekakan masyarakatnya? Kenapa perlu merdeka sedangan 'ketuanan' dipegang oleh orang sebangsa?

Bagi membahaskan isu merdeka (negara kita sedang menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-58), kita perlu rujuk kepada perkataan 'merdeka' itu sendiri. Kamus Perwira mendefinasikannya sebagai 'bebas' (bahasa Inggerisnya 'independent') manakala Kamus Dewan Dewan pula merujuknya sebagai bebas daripada penjajahan, kurungan, naungan dan sebagainya serta lepas daripada tebusan dan tuntutan, berdiri sendiri, tidak bergantung kepada yang lain.

Cendekiawan Islam pula sering merujuk erti merdeka kepada perbualan antara wakil panglima tentera Islam, Asim ibn Amir dengan jeneral tentera Parsi, Rustam pada zaman pemerintahan Khalifah Al-Khattab. Asim menegaskan bahawa kedatangan Islam adalah untuk membebaskan manusia daripada penghambaan sesama manusia kepada pengantungan sepenuhnya kepada Yang Maha Kuasa (Allah SWT).

Katanya, Islam menawarkan keadilan kepada semua berbanding kezaliman pemerintah; ada sebuah hadis daripada 'Aisha yang menyebut Nabi s.a.w. sebagai berkata jika anak kesayangannya Fatimah mencuri, akan juga dipotong tangannya.

Membicarakan isu kemerdekaan negara, kita tertarik kepada 'dakwaan terlampau' PM Najib Tun Razak baru-baru ini bahawa bangsa Melayu 'terbangsat' jika tidak ada Umno. 

Sekalipun jika benar apa yang didakwanya, ia bermakna orang Melayu perlu 'bertuan' atau 'bertuhankan' Umno dulu, kini dan selamanya. Sudah pasti ini sama sekali menyalahi ajaran Islam dan jika dirujuk kepada kata-kata Asim ibn Amir, 'hancur leburlah' dakwaan Najib kerana kedatangan Islam adalah bagi membebaskan manusia daripada penghambaan sesama manusia kepada pengantungan sepenuhnya kepada Allah SWT.

Jika dilihat secara fakta pun, kenyataan Najib itu tidak dapat dipertahankan. Umno baru saja muncul pada zaman moden ini iaitu menjelang negara mencapai kemerdekaan, tetapi Melayu adalah suatu bangsa yang hebat (bukan bangsat apatah lagi terbangsat) sejak ribuan tahun lalu. Empayar lama seperti Langkasuka, Srivijaya, kemudian Melaka, Aceh, Johor, Patani, Brunei dan sebagainya adalah berdaulat dan membuktikan kehebatan ketamadunan Melayu.

Faktanya, ketika zaman itu tidak ada Umno, jadi adakah 'terbangsat' bangsa Melayu ketika itu? Kemudian pada zaman moden ini, kalau kita rujuk kepada Malaysia saja (tidak payah menyebut Brunei, Indonesia dan sebagainya) 'terbangsatkah' Melayu kerana Umno gagal menerajui kerajaan negeri Kelantan malah dihalang daripada ditubuhkan di Sarawak.

Jelas sekali, mendakwa Melayu 'terbangsat' jika tiada Umno, adalah 'rayuan cemas PM Umno-BN terakhir' bagi kesinambungan satu legasi satu bangsa (Melayu-Umno) yang menjajah bangsanya sendiri. Semua orang mahu 'di-Umnokan' atau setidak-tidaknya mengikut segala kehendak dan perintah mereka, jika tidak mereka akan 'menerima padah yang tersangat teruk'.

Ya, penjajah Barat sudah lama meninggalkan tanah jajahan sama ada di Asia, Afrika dan Amerika Selatan. Namun apakah negara-negara di dunia ketiga ini sudah merdeka dalam erti kata sebenarnya?

Kita saksikan, selain dikongkong gergasi dunia (Amerika Syarikat) dalam segala tindak tanduknya, rakyat kebanyakan negara-negara ini masih dikuasai oleh golongan feudal yang mahu berkuasa melalui parti politik bikinan masing-masing dulu, kini dan selamanya.

Lihatlah di Tunisia, Mesir, Yaman dan negara-negara Arab lain; hampir semuanya diperintah oleh golongan ini; mereka naik melalui parti yang memerintah dan selepas mendapat kuasa, bertukar menjadi diktator yang rejimnya berterusan menindas rakyat kebanyakan.

Diktator dunia Arab seperti Zein el-Abidin Ben Ali (Tunisia), Hosni Mubarak (Mesir), Ali Abdullah Salleh (Yaman), Muammar Gaddafi (Libya) memerintah berdekad-dekad lamanya. Di negara mereka bukan tidak ada pilihan raya, cuma keputusannya sudah diketahui dengan tokoh-tokoh ini mencatatkan hampir 100 peratus sokongan.

Diktator Saddam Hussein (Iraq) bukan digulingkan rakyat sendiri tetapi melalui serangan Amerika tetapi kini diktator dunia Arab mahu digulingkan oleh rakyat mereka sendiri. Rakyat mulai sedar bahawa selama ini mereka dijajah bukan oleh kuasa asing lagi tetapi boneka Barat yang menjelma sebagai pemimpin negara masing-masing.

Diktator seagama dan bangsa ini melakukan penindasan terlalu dahsyat terhadap rakyat sendiri. Mereka hidup dalam kegemerlapan harta benda dan kemewahan sedangkan rakyat diperah kudrat mereka manakala harga barangan keperluan melambung tinggi di luar jangkauan orang kebanyakan. Apabila digulingkan barulah terbongkar aset mereka yang terlalu banyak hasil penindasan terhadap rakyat.

Penjajahan sesama bangsa ini bukan terhad di dunia Arab. Namun di dunia Arab, ditunjukkan secara jelas bagaimana penjajahan jenis ini perlu diakhiri dengan merujuk sirah Nabi Muhammad s.a.w. Apabila seruan kebenaran dibawa Nabi Muhammad s.a.w., baginda dipulau oleh orang sebangsa, seterusnya diburu sehingga ke Madinah.

Di Madinah baginda Nabi Muhammad s.a.w. berjaya mendirikan sebuah negara dan kemudian kembali semula ke Makkah bagi membebaskan bangsa Arab daripada penjajahan sesama bangsa. Bangsa Arab dimerdekakan daripada fahaman jahiliah kepada Islam yang tidak tunduk sesama makhluk tetapi hanya kepada Yang Maha Esa.

Kini penjajahan sesama bangsa dan agama termasuk di rantau kita berterusan dengan golongan pemerintah yang kononnya mendapat mandat dalam pilihan raya melakukan penindasan terhadap rakyat. Orang kebanyakan dibebankan dengan kenaikan harga barangan keperluan manakala kaum kerabat pemerintah atau lebih jelas lagi kroni membalun projek malah melalui 'derma' bernilai jutaan malah berbilion ringgit.

Penjajahan bentuk ini mudah saja – kamu sokong dan undi kami, kamu akan ditimbuni kemewahan (realitinya tidak begitu kerana pemimpin membaham daging sedangkan penyokong tepian hanya diberi tulang) tetapi jika kamu menentang kami, kamu akan terima akibatnya. TPM Muhyiddin Yassin dan menteri kanan, Shafie Apdal sudah mengetahui hakikatnya.

Itulah sebabnya ada negeri yang didakwa diperintah pembangkang, walaupun hampir semua rakyatnya sebangsa dan seagama dengan pemerintah, dianak-tirikan dalam pelbagai segi. Seolah-olah dikatakan kepada mereka: “Itulah bahananya tidak menyokong kami, biarlah kamu mundur dulu, kini dan selamanya.”

Kini dengan kebangkitan rakyat di dunia Arab yang menolak penjajahan sesama bangsa dan agama ini, sewajarnya menyedarkan semua pihak agar menamatkan segera amalan jahiliah ini.

Ingatlah Nabi Muhammad s.a.w. memerdekakan kota Makkah daripada manusia sebangsa yang terlalu dahsyat amalan jahiliahnya termasuklah rakus kepada kuasa, harta dan perempuan. Baginda tidak membebaskan kota Makkah daripada taklukan Rom atau Parsi tetapi membebaskannya daripada orang sebangsa iaitu Arab Quraisy!

No comments: