Friday, July 3, 2015

Dari UKM ke Harakah (22): Ujian Ramadan dedah siapa sebenar diri kita...

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Wafatkanlah aku dan keadaan Islam dan gabungkanlah aku dengan orang-orang saleh." (Maksud Ayat 101 Surah Yusuf)

MENURUT ulama pada Ramadan, iblis dan syaitan dirantai; namun kita (termasuk sayalah tu) masih teruk perangai dan sikapnya. Mengapa ya? Menurut ulama lagi itulah pedoman bagi menilai diri kita sendiri; itulah diri kita sebenar yang masih tak baik, masih banyak perkara yang perlu dibaiki. Persoalannya sampai bila? Ulama menjawab...sampai kita mati!

Demikianlah kita wajib mengkoreksi diri sepanjang masa, sering benar kita kecundang dalam kehidupan ini. Baru-baru ini saya ke sebuah bank. Sebaik keluar bank, saya 'diterjah' seorang pemuda berketayap yang membuka 'meja bisnesnya' di sisi bank. Dia memberi salam dan mengesyorkan saya 'menempa' (membeli) satu naskhah al-Quran dengan harga RM50 untuk diinfakkan di masjid. 

Saya bersetuju dan selepas urusan itu selesai dia memujuk saya membeli satu set koleksi lima buku agama seorang tokoh pemikir Islam termasyur dengan harga istimewa RM450 sedangkan harga ditulis di buku lebih RM790. Saya tidak tertarik.Namun si penjual pandai memujuk. Akhirnya saya bersetuju membeli sedangkan di poket saya hanya ada RM150.

Punyalah pandai si penjual, akhirnya saya ke bank lain yang jauhnya lebih kurang dua kilometer kerana di bank pertama kad saya tidak boleh digunakan. Di bank itu saya menemui seorang sahabat lama, jadi kami berborak lama. Lebih satu jam. Ketika berbual, si penjual menelefon saya, bertanya mengapa saya begitu lama di bank.

Saya kembali ke bank pertama dan menyelesaikan urusan pembelian. Balik rumah, saya cari sebuah buku tokoh pemikir termasyhur yang saya teringat pernah saya beli. Terkejut besar dan sungguh terkilan saya kerana koleksi buku yang beli dengan harga RM450 itu isinya 'sebijik sama' dengan buku yang sudah lama saya beli itu. Buku lama itu berharga RM40 sahaja!

Koleksi buku yang baru saya beli itu ada dinyatakan cetakan pertamanya pada 2009 dan sudah sampai ke cetakan kelapan pada tahun ini (2015) sedangkan buku yang berharga RM40 itu tercatat di salah satu muka awalnya dicetak pada 2003. Jadi ada yang 'tak kena' dalam hal ini, ya siapa tiru siapa? Subhanallah dalam hal agama pun ada orang sanggup ambil kesempatan.

Serta merta 'saya naik berang'. 'Mendidih' hati saya. Mahu saya kembali ke tempat tadi dan 'menyerang' penjual buku tadi. Ini tak boleh jadi ni - bisik hati saya. Ya, iblis dan syaitan sudah diikat, tetapi macam mana saya naik darah begitu? Itulah sebenarnya diri saya...panas darah, panas baran, 'kedekut' (kerana sudah hilang banyak wang), tidak dapat menerima takdir dan pelbagai sikap negatif lain.

Hati saya 'panas' tetapi syukurlah Ramadan 'berjaya' menyekat saya daripada bertindak 'jahat dan bodoh'. Selepas merenung-renung diri, saya sedar itu 'ujian Ramadan' saya. Sebahagian daripada perangai dan sikap jahat saya terserlah sudah. 'Ya, itulah kau sebenarnya wahai LanH; kau yang panas baran, tidak sabar, tidak tahan diuji...dan terlalu sayangkan harta benda termasuklah wang, sekarang wang engkau sudah melayang...Kerana kau selalu fikir pasal dunia, sekarang dunia sudah tipu kau...demikian antara gerak hati saya. Akhirnya saya matikan saja gelojak hati saya, halalkan saja, beri kemaafan kepada budak penjual itu, anggaplah ia sebagai sedekah...insya-Allah, Allah akan memberikan yang lebih baik kepada kamu!

Ramadan yang penuh barakah, jaminan pengampunan dan pembebasan daripada api neraka itu sudah berada di pertengahan jalan. Sebelum Ramadan ini berakhir, sebagai panduan untuk saya dan pembaca, amat-amati tazkirah seorang ustaz di Balai Islam iaitu sebuah surau yang kerap saya kunjungi ketiga bertugas di Harakah dulu.. Kata ustaz itu, jika keseronokan atau keasyikan Ramadan sudah menguasai jiwa barulah puasa kita membawa erti. Jika tidak, dikhuatiri puasa kita hanyalah sekadar menahan diri daripada makan dan minum atau lebih tinggi sedikit iaitu menahan anggota diri daripada perkara-perkara bukan hak. 

Bagaimana mahu mendatangkan keasyikan Ramadan? Ustaz itu mengkiaskan tingkah laku seorang peminat bola sepak, katakan penyokong tegar Perak. Penyokong ini bekerja di Kuala Lumpur, tetapi kerana fanatiknya kepada pasukan Perak, di mana saja ada perlawanan membabitkan pasukan ini , akan dihadirinya. Jika pasukan Yob ditakdirkan bermain di Pulau Pinang, peminat tegar ini akan melakukan apa saja supaya dia dapat ke sana. 

Kalau perlu menipu untuk mendapat cuti, dia akan lakukan. Kalau tiada kenderaan, yang ada cuma sebuah motosikal Cup, dia sanggup menunggang dari KL ke Ipoh atau Pulau Pinang. Panas, hujan malah sakit, tidak dipedulikannya. Yang penting dia mesti menyaksikan pemain Yob beraksi. Cintanya kepada pasukan Yob sudah menjadikan dia begitu. Dia sudah asyik dengan dunia bola dan Yobnya. 

Bagaimana mahu asyik dengan Ramadan? Ini soalan sukar dijawab. Ustaz itu berkata, orang yang sudah asyik mahsyuk dengan Ramadan, tidak peduli apa lagi. Kuih raya ke, baju raya ke, duit raya ke, cuti raya ke, semuanya tidak ada dalam kamus mereka. Sebaliknya mereka cukup cemas dengan ibadat dan penghambaan terhadap Yang Maha Kuasa kerana Ramadan semakin hari semakin menuju penghabisan! Dia juga cemas sama ada dia mendapat Lailatuqadar yang jika beribadat padanya akan mendapat ganjaran lebih 1,000 bulan (83 tahun empat bulan). Ya, mana nak cari bulan lain yang 'secantik' Ramadan; jadi 'rebutlah' Ramadan ini sebelum ia berlalu pergi...

No comments: