Tuesday, May 5, 2015

Kemantapan Pakatan didambakan hadapi 2 PRK

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Kalau sekiranya perempuan ahli syurga (termasuk bidadari) datang kepada penduduk bumi, nescaya akan disinarinya dunia antara langit dan bumi dan terpenuhinya dengan bau harum semerbak. Sesungguhnya tutup kepalanya lebih baik daripada dunia dan isinya." (HR. Bukhari) 

ALHAMDULILLAH memasuki gelanggang pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh dan Rompin menyaksikan Pakatan Rakyat kian kukuh bagi menghadapi dominasi Barisan Nasional (BN)  yang memperalat jentera kerajaan semaksimum mungkin dan diyakini hanya dapat ditewaskan jika Pakatan Rakyat mantap. Kejituan itu terserlah dalam pertemuan tiga pemimpin kanan parti Majlis Setiausaha Pakatan Rakyat yang masing-masing diwakili Mustafa Ali (PAS), Rafizi Ramli (KEADILAN) dan Anthony Loke (DAP).

Jentera Pakatan Rakyat yang akan memberikan komitmen penuh diharapkan dapat 'melemahkan' jentera BN yang banyak memperalat kemudahan kerajaan. Gandingan kukuh parti-parti dalam Pakatan Rakyat amatlah didambakan pada saat getir ini kerana sebagaimana pilihan raya umum (PRU), PRK juga perlu dihadapi dengan Pakatan Rakyat sebagai komponen parti mantap bagi menyaingi BN. Tanpa Pakatan Rakyat yang mantap tentunya akan memudahkan BN-Umno terus bermaharajalela dengan slogan bobroknya 'dulu, kini dan selamanya'.

Bagi PRK kali ini calon KEADILAN akan bertanding di Permatang Pauh manakala di Rompin oleh calon PAS.Ketiga-tiga parti telah menyatakan komitmen untuk saling bantu membantu semaksimum mungkin dengan Mustafa Ali menyatakan sebarang keputusan dan tindakan peringkat kawasan PAS (seperti yang diputuskan oleh PAS Kawasan Permatang Pauh) adalah terbatal dengan langkah tegas diambil oleh pimpinan Pusat. Katanya, tidak timbul lagi untuk PAS tidak mahu memberi kerjasama.

Komitmen PAS diperkukuh lagi oleh kenyataan Timbalan Presidennya yang juga Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Mohamad Sabu bahawa pihaknya menyokong penuh calon KEADILAN bagi PRK Permatang Pauh malah mengarahkan jentera parti di empat negeri di utara Semenanjung agar segera membantu kempen Pakatan.

Keberadaan dua komponen parti yang kuat (Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional) dalam PRK Permatang Pauh dan Rompin adalah dinanti-nanti oleh rakyat pendukung demokrasi tulen, malah perkembangan seumpama itulah mereka dambakan bagi negara ini. Sejak sekian lama selepas kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957, hanya ada satu komponen parti saja yang dominan iaitu Barisan Nasional (dulunya Perikatan) dan situasi ini membolehkan ia dengan angkuh mahu berkuasa 'dulu, kini dan selamanya'.

Apakah Pakatan Rakyat mahu membiarkan hal ini terus berlaku sedangkan sudah jelas terlalu banyak penyelewengan dilakukannya dan antara yang terbaharu rakyat kebanyakan begitu sengsara apabila kerajaan daripada komponen parti dominan ini memaksakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) ke atas mereka?Diharapkan isu GST ini dapat menjadi platform menyatu-padukan Pakatan Rakyat untuk melonjakkan sokongan rakyat seterusnya membawa kompenan parti ini ke Putrajaya.
Jika ditinjau perkembangan politik di sesetengah negara maju, keberadaan dua parti politik yang kuat diyakini dapat membawa keuntungan (rahmat dan manfaat) kepada semua rakyat.

Hujah kita adalah berdasarkan contoh pilihan raya Amerika Syarikat dan Britain di mana hanya dua parti dominan bersaing untuk mentadbir negara. Di Amerika, persaingan adalah antara Republikan dan Demokrat manakala di Britain adalah antara Konservatif dan Buruh. 

Adalah menarik untuk melihat bagaimana sistem dua parti (Republikan dan Demokrat) mendominasi pemikiran rakyat Amerika. Tentunya sistem dua parti sukar terlaksana di Malaysia tetapi dengan terbentuknya Pakatan Rakyat yang disertai PAS, KEADILAn dan DAP selepas PRU12 pada 2008, ia adalah komponen parti terbaik sejak Merdeka untuk menghadapi dominasi Barisan Nasional. Asas yang kukuh sudah ada, apakah sesetengah pihak termasuk kepimpinan parti-parti dalam Pakatan Rakya sanggup melihat kehancuran kerjasama ini?

Berdasarkan keputusan pilihan raya umum Mei 2013 (PRU13), jelas sebahagian besar rakyat sudah muak dengan legasi pemerintahan dan propaganda murahan BN. Kajian menunjukkan kira-kira 53 peratus sokongan pengundi (undi popular) adalah kepada Pakatan Rakyat manakala BN 47 peratus. Namun disebabkan sistem politik negara berasaskan perolehan jumlah kerusi Parlimen, BN terus mengekalkan kuasa tetapi dalam keadaan amat tertekan.

Rakyat pada alaf baru ini, terutama generasi muda adalah kaya maklumat yang tidak lagi mendapat menerima slogan-slogan murahan kompenan parti pemerintah seperti 'BN menang rakyat senang', 'Selamat, Aman dan Makmur' serta 'Umno - dulu, kini dan selamanya'. 

Rakyat bukan lagi dapat didendangkan dengan filem-filem Hindustan yang melekakan sebaliknya mahukan bukti. Sebagai contoh, jika 'BN menang rakyat senang', betulkan rakyat boleh senang pada ketika harga barangan, tol dan minyak semakin meningkat dan yang mutakhir GST) membelit mereka?

Apabila rakyat menolak propaganda murahan mainan Umno-BN dengan menafikan majoriti dua pertiganya di Parlimen di samping berkuasa di beberapa negeri, terbukalah ruang kepada situasi seakan sama dengan sistem politik dua parti di negara maju seperti Amerika Syarikat dan Britain.

Kewujudan dua parti (atau dua komponen parti) yang kuat adalah landasan ke arah usaha penambahbaikan kehidupan rakyat. Misalnya, semua institusi termasuk di bidang pendidikan seperti universiti boleh diusahakan untuk dibebaskan daripada cengkaman politik kepartian sebaliknya dijadikan pusat keilmuan dan keintelektualan. Akan timbul peluang terbaik untuk menghapuskan kegiatan pantau memantau yang hanya menjejaskan kesuburan keintelektualan sebaliknya menjumudkan modal insan (siswazah). 

Kewujudan dua komponen parti yang kuat juga boleh mengakhiri ketakutan, kejumudan dan 'ketololan' dalam bidang media massa. Media massa perlu bebas dalam laporan mereka. Tidak timbul lagi isu media massa menjadi budak suruhan BN, tetapi ia bebas memberi liputan kepada kedua-dua pihak kerana yang dipentingkan wibawa dan 'track record' calon dan parti. Media massa Amerika, British malah negara jiran Indonesia, mungkin dapat dijadikan sempadan. 

Kejayaan pemerintahan Pakatan Rakyat di negeri-negeri telah membantu menghapuskan ketakutan dan fobia di kalangan rakyat. Slogan-slogan seperti 'Hanya BN mampu memerintah', 'pembangkang cetus huru-hara' dan ugutan 'kalau pembangkang menang, rakyat makan ubi kayu' mula terhapus daripada minda rakyat. Sehubungan itu melalui pencapaian cemerlangnya pada PRU12 dan PRU13, gabungan PAS, KEADILAN dan DAP perlu membuktikan kemampuan mereka memerintah lebih baik daripada BN.  Berdasarkan ini setiap parti perlu berusaha keras memberi yang terbaik kepada rakyat. 

Apabila gagal, mereka akan disingkirkan pada pilihan raya berikutnya. Perkembangan ini akan mewujudkan perimbangan (check and balance), memberi keuntungan kepada rakyat sepanjang masa. Inilah antara ciri-ciri negara demokrasi maju idaman rakyat namun amat malang seandainya cita-cita murni Pakatan Rakyat terburai di tengah jalan dengan adanya ahli malah pemimpin yang tidak dapat bertolak ansur. Buktikan Pakatan Rakyat boleh di Permatang Pauh dan Rompin malah pada PRU berikutnya!

No comments: