Friday, September 19, 2014

Pengajaran 'bocor' di Selatan

*****
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

Setiap kata yang diucapkan, tentu di sampingnya ada malaikat pencatat. (Surah Qaf 50: 18)

*****

PAS di negeri-negeri Selatan (Negeri Sembilan, Melaka dan Johor) gagal 'membocorkan' penguasaan Umno-BN sehinggalah Dr Mohd Ramli Md Kari menjadi wakil rakyat Dun Senggarang selepas diisytiharkan menang tanpa bertanding dalam pilihan raya umum (PRU) Mac 2004.

Pada PRU 2008, kejayaan PAS di Johor 'dilebarkan' lagi dengan 'kewibawaan' Dr Mohd Taslim yang menang di Dun Sungai Abong manakala Dr Sheikh Ibrahim Sheikh Salleh menang di Sungai Abong.

Melalui PRU terakhir (2013) PAS sudah ada empat (4) kerusi Adun di Johor manakala di dua negeri lain di selatan; Negeri Sembilan kosong (0) manakala di Melaka satu (1). 

PAS Negeri Sembilan dalam PRU 2008 berjaya 'membocorkan' kubu Umno-BN dengan kemenangan Taufik Abdul Ghani di Dun Paroi tetapi kini kembali kosong tetapi di Melaka adalah kebalikannya iaitu daripada kosong pada 2008; pada 2013 'membocorkan' rekod Umno-BN kepada satu (1) kerusi apabila Dr Mohd Khalid Kassim menang di Bukit Baru (dalam Parlimen Bukit Katil) menewaskan Karim Yaakob iaitu 'ayam tambatan' Ketua Menteri ketika itu, Mohd Ali Rustam.

Malah Mohd Ali sendiri tersungkur di Bukit Katil kepada pemimpin muda dan peneraju KeADILan negeri, Shamsul Iskandar Md Yakin. Namun perlu diingat, Dr Khalid hanya menang dengan majoriti 48 undi manakala Shamsul 5,447 undi di sebuah kawasan Parlimen besar yang mempunyai hampir 100,000 pengundi.

Menjelang dan masa Muktamar PAS dirasakan sesuai untuk rakan-rakan seperjuangan dalam Pakatan Rakyat memuhasabah (mengkoreksi diri) bahawa ada kekhuatiran untuk PAS dan KeADILan Melaka akan 'menangisi' nasib PAS Negeri Sembilan yang walaupun menang satu kerusi pada PRU 2008 tetapi kembali kosong pada PRU 2013.

Berdasarkan tinjauan dan perbualan dengan pemimpin dan individu akar umbi parti-parti dalam Pakatan Rakyat, mereka menyatakan cukup bimbang Umno-BN akan kembali merampas Dun Bukit Baru dan terutama lagi Parlimen Bukit Katil pada pilihan raya berikutnya jika 'loceng kecemasan' (termasuk tulisan) ini tidak diambil peduli. 

Perlu diingat bahawa Ketua Umno Bukit Katil masih Dato' Seri (malah kini bergelar Senator) Mohd Ali Rustam yang sudah diketuai umum sangat berpengaruh dan mesra di kalangan rakyat. Tindakan beliau hadir di hampir setiap 'suasana kesedihan' rakyat seperti kematian dan 'kegembiraan' seperti perkahwinan bukan dogengan; inilah yang memukau golongan marhain.

Sesetengah individu tajam sekali sindirannya terhadap wakil rakyat; kata mereka jika dia seorang ustaz berperananlah dia di majlis keagamaan orang kampung seperti kenduri kendara dan kematian tetapi persoalannya apa yang boleh boleh dibuat oleh wakil rakyat golongan lain pada ketika mereka dinafikan hak untuk mendapat peruntukan (terutama kewangan) semata-mata mereka adalah pembangkang.

Alhamdulillah, Adun PAS Bukit Baru, Dr Khalid seorang doktor, jadi dia dapat menggunakan pengalaman itu dalam khidmatnya kepada orang kampung, syabas kita ucapkan kepadanya atas kerja keras beliau dan pasukannya tetapi maaflah bagi Parlimen Bukit Katil mereka tidak nampak apa yang wakil rakyat mereka sudah buat. "Takkan dah jadi Ahli Parlimen pun masih nak anjur demo bantah sana bantah sini, itu sebelum jadi wakil rakyat bolehlah buat, sekarang buatlah kerja..."

Betul mungkin ahli Parlimen sudah buat kerja, tetapi penduduk tak nampak. Mungkin tiada media arus perdana dan juga alternatif melaporkannya. Namun kata seorang pemimpin, pada era langit terbuka ini, buatlah sesuatu agar rakyat nampak kebajikan kita. Selagi mereka tak nampak, mereka akan cop kita tak buat kerja. 

Ya, kali ini 'kita' adalah ahli Parlimen tetapi tunggulah; pilihan raya berikutnya mereka sedia memangkah tokoh lama yang DILIHAT banyak jasanya. Ikhlas atau daripada mana sumber kewangan pesaing bukan persoalannya, mereka dilihat begitu mesra dan banyak membantu rakyat.

Apabila faktor-faktor ini difikirkan termasuklah larinya undi sesetengah rakan kita dalam Pakatan kerana perkembangan terkini parti-parti gabungannya, kita cukup khuatir PAS dan KeADILan akan kembali kosong di negeri Hang Tuah sama seperti nasib dialami PAS Negeri Sembilan; daripada satu menjadi kosong sekalipun telah 'membocorkan' dan mencalar rekod Umno-BN!

Ya, 'senang cerita'; 'loceng amaran' sudah dibunyikan untuk PAS dan KeADILan Melaka dan mungkin juga Negeri Sembilan, berdoakan agar tidak kembali KOSONG pada PRU berikutnya!

No comments: