Friday, August 23, 2013

'Saya budak baru belajar, kalau salah tolong tunjukkan...'

******************** Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. ******************** Renungan ********************* Hadis riwayat Abu Hazim, daripada Abu Hurairah yang dikeluarkan oleh Muslim, bermaksud: "Tidak akan hancur dunia ini (kiamat) hingga ada seorang laki-laki yang melewati kuburan lalu ia berguling-guling di atasnya seraya berkata, 'alangkah baiknya sekiranya aku berada di tempat penghuni kubur ini.' Hal ini bukan kerana faktor agama tetapi kerana adanya musibah." ******************** BEBERAPA ketika sebelum Ramadan lalu, seekor anak kucing kurap berwarna keperang-perangan secara tiba-tiba muncul di kawasan rumah saya. *********************** Kucing itu dengan pantas 'mengadaptasi' suasana - berkawan malah menumpang kasih dengan sejumlah kucing sedia ada. Malah paling mengejutkan saya sekeluarga ialah anak kucing itu 'menyusui' seekor kucing jantan kami yang bernama 'Momok'. Dan 'Momok' menyukainya pula! *********************** Hari ini anak kucing yang digelar 'Merah' oleh isteri saya 'sedang membesar' menjadi seekor kucing jantan gagah perkasa tetapi 'manja'. Bulunya cantik berkilat berkat dimandi dan 'disyampu' oleh anak isteri saya. Hampir setiap kali saya pulang dengan kereta, anak kucing itu akan mengikuti saya; apabila saya membuka pintu rumah, ia melompat masuk mendahului saya. *********************** Suatu hari, ketika saya membuka pintu, seekor cicak terjatuh ke lantai namun dengan pantas cuba menyelamatkan diri. Si merah, bagaikan 'hero' menerkam ke arah cicak. Terkamannya tersasar, cicak menyelinap di celah-celah bungkusan plastik; si merah turut menyelusup sama. ***************************** Akhirnya, di dalam longkang tidak berair, si merah berjaya memekap si cicak. Namun 'senjata terakhir' si cicak mengelirukan si merah. Ekornya yang diputuskan dan melenting-lenting menyebabkan si merah tersilap - tubuh cicak dilepaskan sebaliknya ekor itu menjadi tumpuannya. Akibatnya cicak melarikan diri sementara si merah berterusan bermain-main dengan ekor itu sehingga akhirnya ia terberhenti menyebabkan si merah 'kebingung-bingungan'. ******************************** Ya, si merah gagal kali ini; mungkin ia suatu pengajaran kepadanya supaya lain kali tidak terpedaya. Kucing itu 'masih muda', ada banyak masa lagi untuk ia belajar sepak terajang kehidupan. Dalam kehidupan manusia pula, khasnya di kalangan masyarakat Melayu ada satu pantun bagi menggambarkan kesediaan anak muda melengkapkan diri dalam meniti penghidupan. Pantun itu berbunyi: ***************************** Buah cempedak di luar pagar, Ambil galah tolong jolokkan, Saya ini budak baru belajar, Kalau salah tolong tunjukkan. **************************** Ya, dalam sesetengah isu termasuk Syiah yang cuba diperbesar-perbesarkan sesetengah pihak sekarang ini, ramai termasuklah saya 'bagaikan budak-budak' kurang jelas atau lebih tepat lagi tak tahu. **************************** Saya percaya jika ditanya orang awam secara spontan apa itu Syiah dan apa itu Ahli Sunnah Wal-Jamaah, ramai akan 'tergagap-gagap'. Namun yang sedihnya, hampir tiada penjelasan mengenai perkara ini kepada orang awam, kecualilah sesekali dinyatakan secara umum dan ringkas di kelas-kelas pengajian di masjid. **************************** Mungkin bagi golongan terpelajar, mereka boleh mencari jawapan melalui pertanyaan kepada ustaz dan melalui pembacaan melalui buku dan internet (yang juga dikhuatiri kesahihannya), tetapi orang awam bagaimana? Cukupkah kita menyatakan itu dan ini menyeleweng tanpa berlandaskan ilmu termasuk hujah. ********************************** Seorang pembaca menyatakan hal ini dalam e-mel kepada saya yang mungkin dapat mengilhamkan pihak berkuasa dan berkaitan untuk mengambil langkah sewajarnya. Sama-samalah kita fikirkan. *************************** Assalamualaikum, Baru-baru ini semasa saya berhari raya dari rumah ke rumah, saya berkesempatan berborak bersama seorang yang berfahaman Syiah. ************************* Ketika saya bertubi-tubi bertanya mengenai Syiah, dia mengambil keputusan untuk tidak bicara banyak, sebaliknya dia menyuruh saya melayari ceramah-ceramah di Youtube yang disampaikan oleh seorang ulama Syiah bernama Syed Ammar Nakshawani. ***************************** Selepas balik ke rumah, saya pun mula mendengar beberapa tajuk ceramah ulama tersebut di Youtube. Dan saya dapati ceramahnya memang 'power' dan sesiapa yang jahil tentang 'Ahli Sunnah Wal Jamaah' pasti akan terpengaruh dengan gaya/isi/hujah/alasan/ ceramah ulama itu. ******************************** Setiap ceramahnya, akan diberi hanya satu tajuk khusus mengenai masalah Syiah... dan akan dikupas hampir sejam dengan nas-nas dan hujah-hujah daripada al-Quran dan hadis dengan lancar dan bersistematik. Beliau tidak memakai teks langsung, termasuk semasa merujuk ayat-ayat al-Quran. ******************* 1. Masalah isteri Nabi yang dianggap kafir, dia rujuk surah At Tahrim. ********************* 2. Masalah menyeksa badan semasa Hari Asyura, dia rujuk surah Yusuf. ************************ 3. Masalah mut'ah, dia rujuk surah AN-Nisa dan begitulah seterusnya. *************************** Untuk menimbulkan perasaan emosi di kalangan pendengar, di akhir setiap ceramahnya, beliau akan menangis apabila tajuknya dihubungkan dengan pembunuhan cucu Rasulullah s.a.w. di Karbala. *************************** Saya khuatir kawan-kawan saya menyokong Syiah selepas mengikuti ceramah-ceramah Syed Ammar ini. Bagi saya yang diberi Allah sedikit ilmu, saya dapat merasakan bahwa hujah-hujahnya hanyalah tafsiran-tafsiran mereka sahaja, namun bagi mereka yang jahil...hampir pasti dirasakan hujah-hujah beliau boleh diterima. *************************** Masalah ulama-ulama dan ustaz-ustaz kita ialah...mereka terlampau nak buat lawak, tajuk ceramah akan lari daripada topik dan hujah-hujah mereka tak mantap. Mereka hanya tahu menyerang puak Syiah/Wahabi/sesat dan sebagainya tanpa penerangan mantap berdasarkan hujah Quran dan hadis. ********************************* Sebab itu saya yakin bahawa isu Syiah ini akan 'selesai tanpa kesudahan', seperti mana isu Wahabi dan sebagainya. Selagi ulama-ulama dan ustaz-ustaz kita tidak membetulkan ceramah/kuliah mereka, selagi itulah masyarakat Islam akan dipengaruhi fahaman-fahaman lain termasuk Syiah. - Neff

No comments: